Penyelidikan Sains Sosial Malaysia Pascamerdeka bertujuan memberikan gambaran tentang perkembangan penyelidikan sains sosial Malaysia, khususnya dalam tempoh kira-kira enam dekad semenjak kemerdekaan pada 1957, dan lebih-lebih lagi setelah tahun 1980-an. Setakat ini, hanya terdapat sebuah buku yang melakarkan perkembangan sains sosial Malaysia bertajuk Social Science Research in Malaysia karya Tham Seong Chee yang diterbitkan pada 1981. Buku Tham Seong Chee boleh dianggap sebagai karya perintis yang menggarap pelbagai penyelidikan sains sosial Malaysia yang dilaksanakan dalam tempoh 1970-an dengan sedikit sebanyak penyelidikan sebelum itu. Buku ini sangat berguna bagi memahami sejarah perkembangan sains sosial negara kita bagi tempoh tersebut.
Memandangkan kajian seterusnya perlu dilakukan, penulis menjadikan buku Tham Seong Chee sebagai asas bagi memperoleh maklumat bagi tahun-tahun awal kemerdekaan. Selanjutnya, bahagian utama buku ini memanfaatkan maklumat yang terkumpul daripada Kajian Inventori Sains Sosial Malaysia yang dilakukan sebanyak dua kali, masing-masing pada tahun 2003 dan 2008 dengan tajaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kedua-dua Laporan Inventori ini memang penting dan berguna, namun ia mempunyai kekurangannya sendiri. Hal ini kerana ia hanya melaporkan penyelidikan-penyelidikan yang dijalankan dalam tempoh kajian (1981-2005), dan tidak dapat mengesan penerbitan seperti buku dan artikel yang telah dihasilkan dalam tempoh berkenaan dan juga selepasnya.
Justeru gambarannya masih tidak lengkap apalagi sempurna. Untuk mengatasi masalah ini, penulis melakukan kajian lanjutan dengan meneliti pelbagai penerbitan seperti buku dan artikel yang telah dihasilkan mengenai pelbagai tema yang dianggap relevan untuk buku ini. Sementara laporan inventori meliputi tempoh 25 tahun (1980-2005), data mengenai penerbitan yang dianalisis meliputi masa yang lebih panjang iaitu sehingga 2010. Dengan melihat pelbagai penerbitan yang sudah tersedia, maka buku ini diharap akan lebih lengkap walaupun tidak sempurna.
Reviews
There are no reviews yet