Putrajaya: Manifestasi Seni Bina Kuasa bertujuan mendidik masyarakat tentang konsep “seni bina kuasa politik” dengan memberikan pembacaan terhadap bahasa seni bina bangunan pentadbiran Melayu, kolonial dan Islam dalam sejarah. Kebanyakan bangunan silam dibina dalam konteks teknologi dan sistem pemerintahan waktu itu. Contohnya, sebuah istana Melayu dibina besar dan tinggi panggungnya kerana saiz tersebut amat perlu bagi fungsi perjumpaan dengan pegawai besar istana, perjumpaan dengan kumpulan pemerintah yang lain, perjumpaan keluarga yang besar dan penghunian pengawal peribadi. Istana dibina tinggi berpanggung bagi mempertahankan raja daripada diserang oleh musuh. Seni bina sedemikian tidak semestinya diikuti oleh sesebuah kerajaan yang menggunakan sistem demokrasi berparlimen kerana perdana menteri atau presiden tidak memegang kuasa seumur hidup, sebaliknya boleh diturunkan dengan kuasa undian rakyat atau wakil rakyat. Oleh itu, konsep pemerintahan sedemikian perlu mempunyai refleksi hubungan rakyat pemimpin yang lebih sempurna.
Buku ini melihat proses transformasi seni bina kuasa ke arah melahirkan seni bina yang beridentitikan Malaysia, berdasarkan aspek sejarah latar belakang, pengaruh dan kesan sistem politik. Kebanyakan penulisan sebelum ini merupakan penulisan persejarahan yang bersandarkan pengamatan atau pemerhatian terhadap nilai fizikal sesuatu seni bina. Dengan kata lain, penekanan diberikan lebih kepada persoalan bentuk daripada persoalan yang lebih utama, iaitu tentang nilai dan inti pati. Penulisan yang dilakukan oleh Mubin Sheppard dan Abdul Halim Nasir tentang seni bina Melayu ialah sebuah tulisan tipologi sejarah yang berdasarkan pemerhatian dari aspek fizikal. Pendekatan yang sama juga digunakan oleh Jacques Dumarcay dalam tulisan beliau tentang istana di Asia Tenggara walaupun penekanannya lebih kepada sejarah latar belakang pembinaannya. Penulisan sebegini tidak berupaya mengupas makna dan nilai di sebalik pembinaan sesebuah bangunan, apatah lagi memahami aspek spiritual pembinaannya. Pendekatan ini tidak menunjukkan pengembangan teori dan pemikiran bagi pembentukan nilai baharu untuk perancangan seni bina kuasa berjiwa kebangsaan.
Penulisan yang dilakukan oleh Lai Chee Kien pula lebih cenderung melihat bangunan dan seni bina pentadbiran dalam konteks kronologi sejarah. Genre penulisan sebegini juga adalah penting, terutama dalam mendalami dan memahami rentetan dan kesinambungan sejarah. Pun begitu, pendekatan sebegini terlalu subjektif dan tidak berupaya memberikan nilai yang objektif dalam menghasilkan pemikiran bagi membentuk dasar perancangan seni bina.
Oleh itu, Putrajaya: Manifestasi Seni Bina Kuasa akan mendokumentasikan pelbagai pendekatan, pemikiran dan idea dalam rangka pembentukan teori dan dasar perancangan seni bina berjiwa kebangsaan, khususnya bagi bangunan awam. Penulisan ini penting untuk mengisi kekosongan wacana identiti seni bina nasional yang menyeluruh bagi melahirkan satu semantik seni bina yang dinamik. Penulisan buku ini bertujuan melakukan analisis, sekali gus membuat dokumentasi terhadap pelbagai teori, falsafah, pemikiran, idea dan pendekatan seni bina demokrasi dalam lingkungan serta kerangka pembentukan teori dan pendekatan seni bina. Hal ini akan menyentuh dasar dan prinsip pembangunan seni bina yang sesuai dan selari dengan matlamat pembinaan identiti kebangsaan. Oleh itu, buku ini diharapkan dapat memberikan sumbangan terhadap pengembangan teori dan pemikiran seni bina yang lebih maju dan dinamik
Penulisan buku ini juga bertujuan menggalakkan perbincangan, perbahasan dan pengarahan tulisan lanjutan. Bukan bertujuan memberikan jawapan pasti atau mutlak terhadap permasalahan seni bina, tetapi sebagai satu landasan ke arah mencari kepelbagaian pendekatan dalam persoalan identiti seni bina itu sendiri.
Reviews
There are no reviews yet