Sejarah Perisikan di Malaysia membincangkan berbagai aspek berkaitan perisikan yang telah berlaku di negara ini. Kajian berkaitan dengan perisikan boleh sahaja dilihat daripada berbagai-bagai perspektif, namun sering dikaitkan dengan kajian keselamatan dan strategik. Berdasarkan disiplin tersebut, biasanya akan diperkuat dengan berbagai-bagai bentuk teori tentang perisikan. Walau bagaimanapun, pembaca buku ini pasti akan kecewa sekiranya perkiraan tersebut yang diambil kerana buku ini sama sekali tidak mengetengahkan sebarang teori tentang perisikan. Sebaliknya, buku ini ditulis berasaskan kajian sejarah yang tidak terlalu bergantung pada teori dan seumpamanya. Sebagai kajian sejarah, penekanan diberikan kepada kepentingan peristiwa itu serta hubungannya dengan pelbagai peristiwa lain yang berkaitan.
Buku ini juga bertujuan mengembangkan skop kajian sejarah itu sendiri. Hal ini bermakna sejarah itu tidak harus beku dengan sekadar memberikan perhatian kepada hal-hal berkaitan dengan politik semata-mata, malah masih banyak tema yang belum diceburi dan perlu diberikan perhatian. Hal ini amat disedari oleh penulis kerana hasil daripada pemerhatian setelah berkecimpung dalam pengajaran sejarah di universiti, didapati buku-buku sejarah masih terikat dengan keperihalan berkaitan politik. Masih tidak banyak kajian yang keluar daripada lingkungan tersebut hingga menyebabkan sejarah di negara ini berkaitan dengan politik semata-mata. Kajian-kajian sejarah tentang gender, sukan, jenayah, undang-undang, kemiskinan, perjudian dan sebagainya masih belum ada di pasaran.
Berasaskan keadaan ini, sejarah perisikan termasuk dalam kategori tersebut. Pada asasnya, buku ini ditulis berdasarkan tema-tema tertentu yang membabitkan pelbagai kes perisikan. Buku ini mengandungi 16 bab kesemuanya. Bab-bab yang disusun dalam buku ini memberikan perhatian kepada aktiviti dan kes-kes perisikan yang berlaku di negara ini. Perbincangan juga banyak ditumpukan ketika era Perang Dunia Kedua kerana dalam tempoh ini, aktiviti perisikan melibatkan pelbagai pihak, sama ada Jepun mahupun British bergerak secara jelas di negara ini. Selain era Perang Dunia Kedua, beberapa bab dalam buku ini turut memberikan perhatian kepada aktiviti perisikan membabitkan zaman Darurat dan Parti Komunis Malaya. Selain itu, isu membabitkan aktiviti perisikan ketika zaman Konfrontasi turut dimuatkan dalam buku ini.
Sejarah perisikan, penggunaan perisik serta hal-hal yang berkaitan dengan dunia perisikan seperti penyuluhan, tipu helah, sabotaj, subversif mahupun propaganda dibincangkan dalam buku ini. Setiap bab melihat secara terperinci kisah-kisah perisikan yang pernah berlaku di negara ini. Harus juga diakui bahawa kisah-kisah yang dipaparkan dalam buku ini, meskipun dikaji dan ditulis berdasarkan kaedah kajian ilmiah dan akademik, menggunakan bahan-bahan yang sebahagiannya—hanya terdapat di arkib negara, namun dari sudut pengisiannya adalah bersifat popular dan relevan dengan perkembangan yang berlaku hari ini.
Reviews
There are no reviews yet