Sejarah Singapura yang dihidangkan dalam buku ini dititikberatkan kepada peristiwa-peristiwa bersejarah yang telah berlaku di pulau itu sebelum tahun 1824. Pada tahun 1824 itulah tarikh mulanya pulau itu lucut daripada tangan Raja-raja Melayu diambil oleh Inggeris menerusi helah yang telah dijalankan oleh Residen Inggeris di Singapura masa itu bernama John Crawfurd daripada tangan Sultan Husain Shah dan Temenggung Abdul Rahman Seri Maharaja.
Sebelum tahun 1824, iaitu beratus-ratus tahun sebelum itu, sejak sejarah Singapura diketahui orang sebagai sebuah pulau kecil di tengah-tengah Kepulauan Melayu, pulau itu dipunyai oleh orang-orang Melayu dan sejarah zaman itulah yang hendak dikemukakan dalam buku ini, supaya sejarah Singapura tidak dilupakan oleh generasi yang akan datang.
Sejarah Singapura dari tahun 1824 hingga sekarang, memang telah banyak ditulis dengan lanjut dan lengkap dalam buku-buku, terutama buku-buku yang ditulis oleh orang-orang Inggeris; kerana sejak tahun 1824 itu, sejarah Singapura itu banyak sangkut pautnya dengan kegiatan-kegiatan orang Inggeris di pulau itu hingga menjadikan keadaan pulau itu seperti keadaannya yang ada sekarang; bahkan bolehlah dikatakan sejarah Singapura masa itu ialah sejarah Inggeris di Singapura.
Dalam pada itu, kisah-kisah sejarah yang telah berlaku di Singapura dari tahun 1824 hingga sekarang, diteruskan juga huraiannya dalam buku ini dengan agak ringkas, 1aitu sekira-kira dapat difahami perjalanan sejarah yang telah ditempuh oleh pulau itu, dan akan bersambunglah sejarahnya mengikut peristiwa peristiwa yang berlaku di pulau 1tu untuk dituliskan pula kelak.
Sejarah Singapura sebelum Kurun Masihi yang keempat belas (sebelum tahun 1300), tidaklah banyak dapat dihidangkan dalam buku ini, kerana boleh dikatakan hampir tidak ada didapati sumber-sumber pengambilan kisahnya. Sejarah Singapura dalam Kurun Masihi ke-14 dan ke-15 pula, mujurlah ada didapati kisahnya dalam hikayat Sejarah Melayu, dan setelah ditapis dongeng-dongengnya, dapatlah diketengahkan kisah. kisah yang menunjukkan bahawa selama lebih kurang satu abad lamanya, dalam Kurun Masihi yang ke-14 itu, Singapura telah ada kerajaannya diperintahkan oleh turun-temurun lima orang Raja-raja Melayu (bukan Islam) yang berasal dari Palembang.
Setelah runtuh kerajaan Melayu Singapura, pada akhir Kurun Masihi ke-14, tinggallah pulau itu sebagai suatu tempat yang tiada bererti lagi dalam pergolakan politik dan perniagaan masa itu; kerana pergolakan politik dan perniagaan di bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu, sejak awal Kurun Masihi yang ke-15, berpusat di bandar Melaka di bawah perintah Raja-raja Melayu (Islam) Melaka yang berasal dari Singapura Sepanjang Kurun Masihi yang ke-15 itu pun, pada masa Melaka di kemuncak kebesarannya, tinggallah Singapura sebagai sebuah kampung kecil didiami oleh Orang-orang Laut, dan menjadi daerah pegangan kerajaan Melayu Melaka pula.
Sejak awal Kurun Masihi yang ke-16, apabila kerajaan Melayu Melaka diambil oleh orang-orang Portugis, Raja-raj? Melayu dari Melaka itu telah mendirikan kerajaan Johor, dan Singapura telah bertukar tangan pula masuk ke bawah perintah kerajaan Johor. Sejak itu (awal Kurun Masihi ke-16) hingga lebih kurang tiga ratus tahun lamanya (1512-1819), Singapura yang dalam pegangan kerajaan Johor itu masih tinggal sebagai sebuah pulau yang tiada mempunyai apa-apa kepentingan dalam politik dan perniagaan; hanya dijagai oleh seorang Syahbandar kerajaan Johor yang memungut cukai-cukai daripada Orang-orang Laut yang menangkap ikan di situ; tetapi pelabuhannya sekali-sekala disinggahi juga oleh kapal-kapal besar yang hendak meneruskan pelayarannya ke tempat lain.
Dalam Kurun Masihi ke-16 dan ke-7 itu, kerap kalilah pula pelabuhan dan laut-laut di sekitar Singapura itu dijadikan medan pertempuran antara kapal-kapal perang Acheh yang berlawan dengan kapal-kapal perang Portugis kerana berebut kuasa di laut-laut bahagian barat Nusantara. Pada masa itu, selain daripada bandar Melaka yang diperintahkan oleh Portugis kemudian Belanda, tempat-tempat yang ramai perniagaannya di bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu ialah di tebing Sungai Johor, iaitu di tempat-tempat yang bernama Pekan Tua, Sayung, Panchur, Makam Tauhid, Johor Lama, dan di selatan Singapura pula ialah di Pulau Riau.
Setelah lebih kurang empat ratus tahun lamanya (dari Kurun Masihi ke-15 sampai Kurun Masihi ke-18) Singapura tinggal sebagai sebuah kampung tempat kediaman Orang-orang Laut penangkap ikan, sejak awal Kurun Masihi ke-19, apabila Inggeris dan Belanda menambah kegiatan-kegiatan mereka dalam perniagaan dan penjajahan di Nusantara, mereka telah dapat memecahkan kesatuan kerajaan empayar Johor yang besar itu (Johor-Riau-Lingga-Pahang) hingga Inggeris dapat mengambil Singapura daripada perintah kerajaan Johor dengan cara melantik Tengku Husain (Tengku Long) jadi Sultan di Singapura dan telah menggunakan baginda itu sebagai alat untuk memisahkan Singapura daripada kerajaan Johor lalu mencekup Singapura dijadikan kepunyaan Inggeris. Dan orang-orang Belanda pula telah dapat menguasai Kepulauan Riau-Lingga.
Sejak itu (1824) hingga seterusnya, seperti dikatakan tadi, sejarah Singapura ialah sejarah Inggeris di pulau itu yang telah berjalan lebih kurang selama seratus lima puluh tahun. Ada sebentar, dalam tahun 1942-1945, Singapura seperti juga negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu, telah diperintahkan oleh tentera Jepun yang telah berjaya menghalaukan Inggeris dan sekutunya dari bumi Malaya. Lepas itu baliklah Singapura menjadi jajahan takluk Inggeris hingga tahun 1963. Pada 16 hari bulan September tahun 1963 apabila tertubuh negara Malaysia,
Singapura telah dapat dimerdekakan daripada perintah Inggeris (seperti Sabah dan Sarawak juga) dan dimasukkan menjadi anggota dalam negara Malaysia. Tetapi pada 9 hari bulan Ogos tahun 1965, Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia lalu berasing sendirinya dengan kemerdekaan yang telah diberi itu menjadi sebuah negara republik hinggalah sekarang.
Reviews
There are no reviews yet