Simbolisme dalam Motif Songket Melayu Terengganu

ARBA’IYAH AB. AZIZ adalah Profesor Madya di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM. Beliau banyak menghasilkan karya seputar kajian seni songket dan tekstil Melayu.

Dewan Bahasa dan Pustaka (Cetakan pertama, 2018)
224 halaman, termasuk Indeks dan Bibliografi

RM100.00

In stock

Simbolisme dalam Motif Songket Melayu Terengganu merupakan intisari kepada aspek falsafah dan huraian makna di sebalik ragam hias seni tenunan songket. Kajian ini boleh dianggap penting di negara ini kerana seni tenunan songket menjurus kepada aspek dalaman atau pemaknaan. Seni tenunan songket tidak hanya berkisar tentang aspek permukaan dari sudut luaran semata-mata, tetapi memenuhi kelompongan kajian oleh penyelidik tempatan sebelumnya.

Konsep Simbolisme dalam Motif Songket Melayu Terengganu adalah untuk pembacaan umum yang berkaitan dengan tenunan songket. Songket ditakrif sebagai ratu fabrik Melayu yang sangat halus serta tinggi mutu keasliannya. Bersandarkan kepada kualiti dan keunikanya, songket tidak sekadar indah pada permukaannya semata-mata tetapi kaya dari sudut makna dan falsafah. Rata-rata masyarakat di dunia tidak kira dalam kelompok mana pun mempunyai pakaian tekstil tertentu yang dapat mengetengahkan ciri-ciri kemegahan identiti dan jati diri.

Secara tidak langsung, paparan imej atau simbol pemakaian songket mampu menjelaskan tentang keunikan dan keistimewaan budaya sesuatu bangsa menerusi pemahaman dan penghayatannya. Walau bagaimanapun, skop perbicaraan dalam buku ini adalah mencakupi aspek kemelayuan yang merentasi batas-batas sempadan ilmu, geograh dan gugusan Melayu.

Sandaran Simbolisme dalam Motif Songket Melayu Terengganu adalah tertumpu kepada seni tenunan songket Melayu Terengganu khususnya berkaitan dengan motif flora. Motif flora merupakan pola atau reka corak yang paling dominasi dalam seni tenunan songket. Motif yang terdapat dalam tenunan songket terdiri dari bunga-bungaan, buah-buahan, dedaunan, pokok dan cendawan. Menariknya, tumpuan motif flora bukan sahaja terletak pada kelopak bunga semata-mata tetapi juga pada daun, pucuk, biji, tampuk dan keseluruhan bahagian tanaman.

Seorang pereka motif Melayu lazimnya memilih sesuatu motif itu berdasarkan kriteria tertentu seperti dari segi keunikan dan kecantikan rupa bentuk, kewangian (bauan), tempat diperoleh serta kebagusan dan keistimewaan nya. Semua aspek ini adalah menyumbang kepada nilai psikologi, falsafah dan budaya Melayu.

Kewujudan makna dan falsafah dalam setiap corak rekaan songket Melayu sebenarnya mempunyai fungsi berganda yang boleh dijadikan sebagai kiasan, penyebarluasan nilai pendidikan dan keilmuan serta sebagai doktrin kepercayaan seperti penolak bala atau pembawa berkat. Ini adalah kerana manifestasi kerjasama antara manusia dengan alam memang terdapat pada perlakuan orang Melayu tradisi khususnya dalam kegiatan seharian mereka. Dalam hal ini, orang Melayu mempergunakan segala kepandaian dan kebolehan daya fikir untuk membuat sesuatu rincian penganalisaan dan perbandingan dalam konteks penghidupan mereka. Menariknya, akal dalam minda orang Melayu dilihat bersebati dengan nilai budi dalam kehidupan mereka.

Langkah dan keperluan untuk mencari, mengumpul dan mentafsir makna motif flora untuk songket Melayu ini dilakukan bertujuan menyuburkan budaya, untuk mengenali nilai tradisi serta mengelakkannya daripada terus tenggelam bersama-sama arus kemajuan atau perubahan persepsi masyarakat pada masa hadapan khususnya mengenai warisan seni budaya bangsa.

Dari segi peristilahannya, songket berasal daripada perkataan Melayu, menyongket yang bermaksud menyulam dengan menggunakan benang emas dan perak. Lidi merupakan alat untuk menyongket benang bagi membentuk motif hias pada permukaan songket, manakala kek pula merupakan peralatan khas yang digunakan untuk tujuan menenun ini. Menenun merupakan perusahaan tradisional yang terdapat di Terengganu dan Kelantan dengan menggunakan alat kek berkaki.

Songket Terengganu dan Kelantan merupakan antara songket yang terbaik berbanding dengan tekstil Melayu yang lain. Songket terbahagi kepada dua jenis iaitu songket tekat tiga dan songket tekat lima. Nama tekat-tekat itu berkait dengan penggunaan bilangan lembaran benang sutera serta jarak antara lembaran benang emas yang disongket. Tekat tiga lebih sukar serta rumit berbanding dengan tekat lima dan hasil penciptaannya lebih halus. Penggunaan benang emas yang dikembarkan dua dilakukan dengan selembar benang sutera menghasilkan tenunan yang lebih bermutu dari segi teknik dan hasil.

Ragam hias dalam tenunan songket disusun dan diolah secara tertib dan berharmoni sehingga membentuk corak-corak yang menarik. Corak dan motif pada kain songket pula memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu. Menenun juga merupakan aktiviti terpenting dalam kalangan wanita dan gadis di Kelantan dan Terengganu pada masa dahulu. Oleh yang demikian, seni tenunan songket tidak menjadi lengkap jika tidak dihiasi dengan motif atau ragam hiasnya.

Weight1.12 kg
Dimensions26.2 × 26 × 1.6 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.