Syed Syeikh al-Hadi: Cendekia dan Sasterawan Ulung membincangkan sejarah kehidupan, ketokohan. dan sumbangan Syed Syeikh al-Hadi dalam pelbagai perspektif seperti pengaruh, pemikiran, perjuangan, pengembaraan, sastera dan bahasa dalam kerangka seorang tokoh yang perlu diketahui dan teladani. Syed Syeikh al-Hadi adalah cendekia Melayu pada awal abad ke-20 yang diterima sebagai tokoh tersohor yang memberi sumbangan besar kepada pergerakan reformasi Islam sebelum merdeka. Beliau terkenal melalui tulisan-tulisan yang membawa obor pembaharuan Islam dan pandangan progresifnya terhadap peranan wanita dalam masyarakat pada ketika itu.
Syed Syeikh al-Hadi dilahirkan di Kampung Hulu, Melaka pada tahun 1867 bersamaan dengan 1281 Hijrah. Beliau berketurunan Melayu-Arab. Melalui jurai keturunan bapanya, iaitu Syed Ahmad Hassan al-Hadi yang mempunyai pertalian dengan keluarga Raja Ali Haji dan Yang di-Pertuan Besar Riau, Syed Syeikh al-Hadi telah mendapat beberapa kelebihan. Setelah berpindah ke Pulau Penyengat (Riau) mengikut keluarganya, beliau telah dijadikan anak angkat oleh Yang di-Pertuan Besar Riau-Lingga. Bermula di Melaka dan kemudian ke Kuala Terengganu dan kembali semula ke Pulau Penyengat, Syed Syeikh al-Hadi mula mengasah fikirannya. Di Melaka, Syed Syeikh al-Hadi mendapat pendidikan awal sekolah agama. Di Pulau Penyengat beliau mendapat pendidikan sekolah Melayu.
Seterusnya beliau dihantar ke Kuala Terengganu yang terkenal dengan sekolah-sekolah pondoknya pada ketika itu untuk mempelajari agama Islam. Menyedari sistem sekolah pondok pada ketika itu yang tidak menggalakkan pelajar berfikir, Syed Syeikh al-Hadi kembali ke Pulau Penyengat untuk mendalami ilmu agama, kebudayaan dan bahasa Arab. Pada ketika itu Riau menjadi pusat kegiatan kesusasteraan Melayu yang tersohor. Kemudian Syed Syeikh al-Hadi ke Timur Tengah kerana mengiringi atau melawat keluarga diraja Riau yang menuntut di sana. Kesempatan ini mendorong beliau mendalami lagi pengetahuan agama Islam dan bahasa Arab.
Semasa di Kaherah, Syed Syeikh al-Hadi dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran progresif tentang Islam melalui pergerakan pembaharuan Islam yang dikemudikan oleh tokoh-tokoh terkenal seperti Syeikh Muhammad Abduh (1849-1905). Bermula dari saat itu, pemikiran Syed Syeikh al-Hadi terus diwarnai gerakan pembaharuan Islam.
Bersama-sama dengan beberapa kawannya, Syed Syeikh al-Hadi telah meniup angin perubahan pemikiran progresif ke dalam masyarakat Melayu pada waktu itu melalui sebuah majalah bertajuk Al-Imam (1906) yang diterbitkan di Singapura, kemudian Al-Ikhwan (1926) dan akhbar Saudara (1928) di Pulau Pinang. Syed Syeikh al-Hadi melihat bidang penulisan, sama ada melalui bidang kewartawanan ataupun kesusasteraan, boleh membawa gelombang pembaharuan Islam dengan lebih berkesan. Maka banyak tulisan yang membawa semangat pembaharuan Islam telah dihasilkan melalui pelbagai media penerbitan seperti majalah, akhbar dan karya kreatif.
Bidang penulisan menjadi lebih rancak apabila Syed Syeikh al-Hadi mempunyai syarikat percetakannya sendiri, iaitu Jelutong Press yang didirikan di Pulau Pinang. Selain bidang penulisan, Syed Syeikh al-Hadi juga terlibat dalam bidang pendidikan melalui pembinaan beberapa institusi pendidikan seperti madrasah. Antara madrasah-madrasah itu ialah Madrasah al-Hadi (1917) di Melaka dan Madrasah al-Mashoor (1919) di Pulau Pinang.
Sungguhpun Pulau Pinang menjadi tempat terakhir Syed Syeikh al-Hadi bergiat dalam bidang penulisan dan pendidikan pembaharuan Islam, namun kesan dan sumbangannya pada waktu itu kepada masyarakat Melayu tidak boleh dinafikan. Tidak dinafikan pemikiran beliau mendapat tentangan daripada golongan ulama yang mentadbir dan menguasai institusi agama (Kaum Tua), namun Syed Syeikh al-Hadi tetap dikenang sebagai reformis Islam tahun 1920-an di Malaysia.
Reviews
There are no reviews yet