Terengganu dari Batu Bersurat hingga Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah adalah suatu rakaman sejarah mengenai perkembangan undang-undang Islam yang telah wujud di Negeri Terengganu Darul Iman. Undang-undang yang bertaburan di sana-sini jika tidak dihimpunkan dengan rapi akan mudah dilupakan. Malahan, lebih parah lagi jika ia tidak boleh dicari dan dirujuk oleh generasi akan datang. Sejarah perundangan Islam di Negeri Terengganu agak menarik, kerana dia bermula dengan perundangan yang diukir pada batu, iaitu Batu Bersurat Terengganu dan berakhir dengan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 1423 H / 2002 M.
Apa yang paling penting juga adalah di samping mempunyai Undang-undang Diri Kerajaan yang mempunyai pengaruh Islam, Terengganu juga adalah negeri yang terawal melaksanakan undang-undang tatacara bagi Mahkamah Syariah, iaitu Undang-undang Mahkamah Terengganu. Kajian mengenai undang-undang tersebut dibuat oleh Zubir Embong pada tahun 1978. Fakta tersebut akan menjawab pandangan setengah pihak yang beranggapan bahawa tatacara di Mahkamah Syariah pada masa kini adalah hampir sama dengan Tatacara Mahkamah Sivil. Selain itu, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 boleh dijadikan telaah dalam kesibukan masyarakat membicarakan pelaksanaan hudud sama ada di Negeri Kelantan, di Brunei Darussalam dan di Acheh.
Pemerintah di Ulu Terengganu bernama Raja Mandalika telah memeluk Islam. Beberapa lama selepas itu, agama Islam diisytiharkan menjadi agama rasmi Negeri Terengganu. Berkemungkinan Batu Bersurat dibuat sempena dengan perisytiharan tersebut. Tetapi agak sukar untuk memastikan kesahihan fakta tersebut kerana pada batu tersebut terdapat catatan beberapa undang-undang mengenai hukuman ke atas perbuatan mencuri, berzina dan juga hukum hutang-piutang. Pada Batu Bersurat tersebut masih terdapat pengaruh Hindu. Misalnya, tidak terdapat perkataan Allah SWT, sebaliknya digunakan gelaran Dewata Mulia Raya.
Undang-Undang Diri Negeri Terengganu Pada 11 Zulkaedah 1329 H bersamaan 2 November 1911 M selesai ditulis Undang-Undang Diri Negeri Terengganu. Undang-undang ini mengandungi 53 fasal, satu mukadimah dan satu khatimah. Undang-undang ini diluluskan pada zaman Sultan Zainal Abidin III dan diberi nama Itqan al-muluk bi ta’dil al-suluk. Bermaksud pemerintah yang bersungguh-sungguh dengan akhlak yang adil. Atau boleh juga difahami sebagai kesungguhan pemerintah dengan (untuk) memperbaiki akhlak.
Perundangan Islam di Malaysia buat masa kini menuju ke arah undang-undang bertulis. Tetapi di Negeri Terengganu agak unik kerana bermula dari Batu Bersurat Terengganu hingga ke Enakmen Jenayah Syariah telah terdapat beberapa undang-undang Islam bertulis. Tidak hairanlah jika keadaan sedemikian berlaku di Negeri Terengganu kerana kekuatan Islam yang bertunjangkan kesultanan dan para ulama’ merupakan suatu keadaan yang kondusif untuk terus melangkah maju. Terdapat tiga perkara yang menarik, iaitu di Terengganu telah terdapat Undang-undang Mahkamah yang berteraskan hukum syarak dibuat pada Zaman Sultan Zainal Abidin II. Malahan, Terengganu mempunyai Undang-undang Diri Negeri Terengganu yang mempunyai unsur-unsur Islam. Walau bagaimanapun, dalam kekalutan masyarakat mempertikaikan hukum hudud, Terengganu sudahpun mempunyai Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas), walaupun perlaksanaannya tergantung, namun sekurang-kurangnya sudah berada dalam sejarah negeri tersebut.
Reviews
There are no reviews yet