Watak dan Perwatakan dalam Sastera membincangkan perihal usaha pengembalian tradisi persuratan Melayu-Islam melalui Novel Persuratan, dalam wacana Persuratan Baru yang membentuk naratif alternatif dengan membariskan watak dan perwatakan besar dan bijaksana, iaitu watak yang teguh keyakinannya, tinggi ilmunya, luhur nilainya, dan mulia pekertinya. Kedatangan Islam ke rantau Nusantara membawa bersamanya tradisi persuratan yang menggariskan tatatertib pengkaryaan yang santun dan dinamik. Tatatertib tersebut diperlihatkan melalui aspek akidah, syariah, akhlak dan jamāliyyah. Dengan kesignifikanan sebagai konsep penting, pengkaryaan difahami sebagai ibadah yang disandarkan kepada fundamental Islam, dan mempunyai peraturan dan panduannya tersendiri. Pemanfaatannya pula menghormati kemuliaan kalamullah dan nubuwah. Tatatertib dan kesantunan inilah yang mendasari tradisi persuratan Melayu-Islam yang mencapai kemuncaknya pada kurun ke-16 dan ke-17.
Namun tradisi ini dicabar dan terhakis apabila Barat menjajah rantau ini. Bagi naratif berbentuk prosa, penulis Melayu memilih bentuk Novel Realis ala Barat dengan tumpuannya kepada yang bobrok dan hina-dina. Sastera Melayu moden lantas memperagakan penipu, pelacur, penzina, dan pemimpin korup sebagai protagonis atau watak penting. Tegasnya, sastera Melayu mewujudkan sebuah galeri penyangak atau a rogues’ gallery.
Watak dan perwatakan merupakan antara elemen terpenting dalam pembangunan sesebuah kisah. Elemen tersebut diperlukan untuk pelbagai fungsi daripada yang sangat asas kepada yang fundamental seperti memastikan majunya cerita ke depan, menentukan hala tujunya, menghadirkan aksi untuk membangunkan peristiwa, mencorakkan reaksi khalayak, mendukung dan mentafsir idea, fikiran atau gagasan, menegakkan keyakinan, kebenaran serta nilai luhur, dan sebagainya. Sering dihujahkan bahawa dalam sejarah perkembangan naratif sebagai bentuk pengkaryaan, elemen plot yang pernah satu ketika dulu menjadi tonggak sesebuah kisah kini diganti oleh elemen watak dan perwatakan.
Hal ini dikatakan sangat ketara terutamanya dalam novel realis yang muncul sekitar kurun ke-19, yang rata-rata tidak lagi menggembleng watak-watak tipa tetapi menekankan keindividualan watak dan perwatakan. Berkait dengan perkara itu juga, perkembangan disiplin psikologi sekitar penghujung kurun ke19 yang menekankan soal tatalaku, pemikiran dan perasaan individu, dilihat sebagai membantu ke arah menyerlahkan lagi kepentingan watak dan perwatakan dalam rangka membangunkan sebuah kisah manusia dan kehidupannya. Ternyata, elemen watak dan perwatakan memainkan peranan yang sangat penting dalam naratif dan pengkaryaannya.
Dalam konteks pentingnya watak dan perwatakan dalam pengkaryaan, buku ini menangani elemen naratif tersebut dari perspektif Islam, Barat dan juga Melayu. Tiga perspektif ini sangat penting diberi perhatian dan difahami memandangkan betapa konvensi dan teori sastera Barat memainkan peranan dalam karya sastera Melayu yang rata-rata menonjolkan dan menggambarkan watak Melayu beragama Islam, hasil nukilan penulis Melayu beragama Islam, yang khalayak pembacanya pula rata-rata terdiri daripada pembaca Melayu beragama Islam. Justeru, tulisan kreatif dan kritikan sastera menjadi medan bertembungnya tiga perspektif tersebut, dengan itu menggariskan peri pentingnya difahami ketiga-tiga perspektif berkenaan, guna membolehkan kita menghayati dan membuat penilaian yang adil dan saksama terhadap karya yang terhasil terutama watak dan perwatakan yang diperagakan.
Begitu besar cabaran penggunaan Novel Realis sehinggakan satu gagasan baharu dicetuskan untuk menangani masalah yang timbul, yang difikirkan sangat perlu diatasi dengan segera. Lantas muncullah gagasan Persuratan Baru. Matlamat Persuratan Baru adalah jelas iaitu untuk mengembalikan peranan ilmu yang benar dalam persuratan Melayu, seperti yang mencirikan pengkaryaan para ulama dan bijaksana Melayu rantau ini khususnya pada kurun ke-16 dan ke-17, dan merupakan tradisi dan warisan kita yang sah. Persuratan Baru tidak menolak bentuk novel sebagai wahana kreatif tetapi menawarkan bentuk naratif alternatif kepada novel realis seperti yang difahami dan diamalkan oleh penulis tempatan. Dengan bertunjangkan tauhid dan bertitiktolakkan taklif, Persuratan Baru memastikan bentuk alternatif ini dicorakkan dan dilenturkan oleh tasawur Islami, dengan itu merupakan satu anjakan yang fundamental.
Anjakan fundamental ini tidak dapat tiada mengubah keseluruhan konsep novel secara khusus dan pengkaryaan secara umum, daripada keyakinan yang mengawal selia kegiatan penulisan (kreatif dan kritikan), sehinggalah kepada tuntutan tatacara naratif distrukturkan dan dimanifestasikan, dan tatatertib kritikan yang menganalisis dan menilai penstrukturan dan manifestasi tersebut, Penelitian terhadap karya kreatif yang terhasil daripada acuan Persuratan Baru khususnya aspek watak dan perwatakan, dan juga tulisan kritikan yang menerapkan kerangka Persuratan Baru, menunjukkan keberkesanan gagasan Persuratan Baru apabila karya kreatif dan juga kritikan jelas tidak tersasar daripada batasan pengkaryaan Islam. Seterusnya, sesuai dengan matlamatnya untuk mengembalikan ilmu yang benar dalam persuratan Melayu, bentuk naratif ini memberi prioriti sewajarnya kepada ilmu, pemikiran dan wacana. Bentuk naratif alternatif yang ditawarkan oleh Persuratan Baru dipanggil Novel Persuratan.
Reviews
There are no reviews yet