Keling, Benggali, Ceti dan Chettiar 11 December 2018 – Posted in: Book Excerpts

Dua perkataan yang pernah menimbulkan perdebatan di Malaysia ialah ‘Keling‘ dan Benggali. Secara umumnya panggilan Keling digunakan bagi merujuk masyarakat India keturunan Tamil sementara perkataan Benggali digunakan untuk merujuk masyarakat Punjabi Sikh. Penggunaan perkataan ‘Keling’ bagi merujuk masyarakat Tamil melahirkan kontroversi yang berpanjangan di negara ini, malah isu ini pernah dibawa ke mahkamah. Penggunaan perkataan ini dilihat membawa makna memalukan dan mengaibkan terhadap masyarakat Tamil. Walau bagaimanapun, perkataan ‘Keling‘ atau ‘Kling‘ sebenarnya mempunyai makna sejarah yang cukup penting. Perkataan ini digunakan bagi merujuk India sebagaimana yang digunakan oleh teks-teks Melayu seperti Sejarah Melayu.21

Istilah ‘benua Keling’ bukan bertujuan untuk mengaibkan penduduk benua tersebut sebaliknya merujuk kepada India. Malah dalam teks-teks ini, benua Keling disifatkan sebagai sebuah negara dan kerajaan yang hebat dan kehebatan inilah yang telah membawa masyarakat Tanah Melayu mengunjungi negara tersebut. Istilah itu hadir melalui pemahaman masyarakat mengenai sebuah wilayah iaitu Kalinga yang difahami sebagai tanah asal orang India yang datang ke Tanah Melayu. Apabila jumlah orang India besar di Melaka, maka diwujudkan sebuah perkampungan dinamakan Kampung Keling.

Istilah Kling [Keling] berasal daripada istilah ‘Kalinga’ yang pernah disebut dalam Sejarah Melayu dan telah digunakan untuk merujuk kepada orang India Selatan secara umum pada zaman Melaka. Walau bagaimanapun, disebabkan kebanyakan orang India Selatan yang awal datang dari Pantai Coromandel maka istilah Chulia telah digunakan untuk merujuk kepada semua orang India Islam. Walau bagaimanapun, apabila semakin ramai orang India datang dari bahagian tengah dan pantai barat India, maka istilah Keling digunakan bagi menggantikan Chulia dalam konteks rasmi bermula dari tahun 1871 hingga 1881. Kedatangan orang India Hindu kemudian menyebabkan istilah Keling juga digantikan dengan istilah Tamil untuk merujuk kepada orang India Islam dan Hindu.22

Dalam konteks yang lain pula, perkataan Keling turut digunakan oleh penduduk beberapa negeri termasuk di pantai timur seperti Terengganu untuk merujuk masyarakat Tamil. Perkataan Tamil sangat asing kepada orang Terengganu dan Kelantan sebaliknya perkataan yang akrab untuk merujuk mereka ialah Keling. Dalam hal ini, tidak timbul soal mengaibkan sebagaimana yang pernah menjadi isu. Walau bagaimanapun, kesan daripada perkembangan zaman dan kontroversi penggunaan perkataan itu, maka didapati pada hari ini, ia sangat jarang digunakan. Penting juga untuk disebutkan bahawa perkataan Keling itu sendiri mempunyai signifikasi sejarahnya yang sangat tua, sama tuanya dengan hubungan antara negara ini dengan India. Panggilan Keling ini juga didapati bukan sekadar merangkumi masyarakat di Semenanjung Malaysia kerana hasil daripada penelitian, didapati masyarakat India di Sumatera juga dikenali sebagai masyarakat Keling. Malah, penulis juga dapati ada sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Keling di Padang, Sumatera Barat. Apabila ditanyakan pada orang tempatan, masjid tersebut dikenali sebagai Masjid Keling kerana pada asalnya menjadi tumpuan masyarakat India Muslim di Padang.23 Dalam konteks ini, maka jelaslah bahawa panggilan Keling itu bukan sekadar bersifat setempat, tetapi telah diterima dan digunakan bagi merujuk masyarakat India terutamanya orang Tamil di seluruh Alam Melayu.24

Perkataan Benggali pula digunakan untuk merujuk orang Punjabi Sikh. Perkataan ini lahir daripada pemahaman bahawa orang Sikh datang ke Tanah Melayu dari Bengal. Oleh yang demikian, bila ditanyakan mengenai orang Punjabi Sikh ini, maka rujukan yang sering digunakan ialah Benggali. Berdasarkan hakikat ini, secara langsung didapati bahawa penggunaan perkataan Benggali untuk merujuk masyarakat Punjabi Sikh merupakan salah dan tidak kena pada tempatnya.

Menyentuh mengenai kedua-dua istilah ini, ia seharusnya dilihat dengan fikiran terbuka. Sejarah telah mencatatkan pentingnya masyarakat ‘Keling’ ini dalam perkembangan Melaka dan juga telah membuktikan bahawa mereka merupakan golongan yang sangat berpengaruh. Jika perkataan ini dilupakan atau ditinggalkan, maka hilanglah jalinan sejarah yang telah dibawa oleh masyarakat ini ke negara ini. Perkataan Benggali pula merujuk kepada masyarakat Sikh. Meskipun penggunaannya agak mengelirukan, namun ia juga mempunyai perkaitan sejarahnya yang tersendiri. Menarik juga, orang Punjabi Sikh sendiri tidak menentang penggunaan perkataan tersebut, maka sehingga ke hari ini ia masih digunakan.

Selain dua perkataan ini, terdapat dua lagi perkataan yang saling bertindan antara satu sama lain iaitu Ceti dan Chettiar. Masyarakat umum sering melihat kedua-dua perkataan ini merujuk pada masyarakat yang sama. Realitinya, perkataan Ceti digunakan untuk merujuk masyarakat Ceti atau Peranakan Hindu, manakala Chettiar pula merupakan golongan pemberi pinjaman wang. Permasalahan ini ada alasannya tersendiri. Misalnya, Kamus Dewan tidak menyatakan mengenai perkataan Chettiar, malah perkataan Ceti yang terdapat dalam kamus ini merujuk kepada ‘golongan pemberi pinjaman wang’. Kamus Dewan mengatakan Ceti ialah “peminjam (pelepas) wang keturunan India yang mengenakan bunga yang tinggi” atau “orang India dari Koromandel atau Malabar (selalunya berniaga)”.25 Bunyi perkataan yang hampir sama antara Ceti dan Chettiar berkemungkinan besar menjadi faktor timbulnya salah pemahaman ini.

Rujukan

21. A. Samad Ahmad (peny.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 218 menyebutkan mengenai Hang Nadim diperintahkan oleh Sultan Mahmud ke Benua Keling (India) untuk membeli kain.
22. Noriah Mohamed, “Bahasa Pertuturan ]awl Peranakan di Pulau Pinang: Satu Tinjauan”, dlm. Omar Yusoff dan Jamaluddin Aziz (eds.), Jawi Peranakan di Pulau Pinang: Ekspresi Sebuah Identiti, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2010, hlm. 38.
23. Maklumat ini diperoleh dari lawatan ke Muzium Adityawarman, Padang pada 4 November 2010.
24. Lihat Tuanku Luckman Sinar Basarsyah-ll, SH, Orang India di Sumatera Utara (The Indiana in North Sumatera), Medan: Forkala-Sumut, 2008.
25. Lihat Kamus Dewan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, hlm. 221.

Sumber Petikan

“Pengenalan.” Introduction. Sejarah Masyarakat India Di Malaysia. By Azharudin M. Dali. 2nd ed. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2016. 12-14. Print.

Tentang Penulis

AZHARUDIN MOHAMED DALI adalah pensyarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Bidang pengkhususan beliau ialah sejarah Asia Tenggara, sejarah India, pengajian Asia Tenggara. Antara karya beliau termasuklah Sejarah Perisikan di Malaysia (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014), Sejarah Islam di India: Abad ke-8 hingga Abad ke-20 (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014).

Buy This Book

  • Sejarah Masyarakat India di Malaysia

    Sejarah Masyarakat India di Malaysia

    RM53.00