Ulasan Buku: Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan 25 November 2019 – Posted in: Book Reviews
Ulasan buku Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan berikut merupakan ulasan yang ditulis dan disediakan sendiri oleh penulis buku tersebut, iaitu Mohamad Salleh Lamry, yang diterbitkan semula dengan izin penulis dengan mengekalkan hampir keseluruhan teks asal, kecuali sedikit suntingan untuk kesilapan beberapa ejaan.
—
Oleh kerana saya akan membicarakan buku saya sendiri, maka pembicaraan ini akan saya bahagikan kepada dua bahagian utama sahaja, iaitu latar belakang buku, dan kandungan atau isi buku. Beberapa pandangan atau ulasan ringkas akan saya sampaikan sambil membicarakan dua perkara itu.
Latar belakang buku
Buku Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan, setebal 203 halaman diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia pada awal tahun 2006. Penerbitan buku ini tertangguh agak lama, lebih setahun, malah hampir tidak jadi diterbitkan oleh Penerbit UKM, oleh sebab timbulnya kontroversi tentang penerbitan buku memoir Shamsiah Fakeh oleh Penerbit UKM sebelum itu (2004).
Penerbitan buku ini dikhuatiri oleh pihak Penerbit UKM akan menimbulkan kontroversi juga. Akan tetapi, setakat ini nampaknya belum menimbulkan kontroversi apa-apa. Malah kelahiran buku ini, setakat ini, masih “seperti batu jatuh ke lubuk” sahaja.
Mengapa buku ini dikhuatiri akan menimbulkan kontroversi? Barangkali ada empat sebab utama:
- Tajuknya gerakan kiri mungkin kurang disenangi oleh sesetengah pihak yang tidak mahu perjuangan gerakan kiri ditonjolkan dan diberi pengiktirafan. Penonjolan perjuangan gerakan kiri mungkin tidak selari dengan perspektif arus perdana, yang mahu menonjolkan dan membesar-besarkan peranan gerakan kanan, khasnya UMNO sahaja, dalam perjuangan kemerdekaan.
- Walaupun buku ini diberi tajuk Gerakan Kiri Melayu, tetapi tumpuan buku ini sebenarnya adalah terhadap satu kelompok sahaja daripada golongan nasionalis kiri Melayu, iaitu kelompok yang menyertai perjuangan bersenjata bersama-sama dengan PKM. Dengan perkataan lain, tema buku ini lebii tertumpu kepada perjuangan “komunis Melayu” sahaja, bukan perjuangan golongan kiri Melayu secara keseluruhan. Jadi walaupun memang tidak dirancang, tajuk buku ini telah “menyembunyikan” isinya yang sebenar.
- Dari segi perspektif yang digunakan, sedapat mungkin saya cuba menggunakan perspektif aktor sejarah yang dikaji, iaitu perspektif komunis Melayu itu sendiri -perspektif orang-orang yang terpinggir dan dipinggirkan, dan terkeluar dari arus perdana. Oleh itu, data yang dipakai pun banyak diambil dari temu ramah dengan mereka dan dari beberapa dokumen yang dikeluarkan oleh PKM.
- Sehubungan dengan perkara (c) kelompok komunis Melayu yang berjuang secara bersenjata itu tidak saya labelkan sebagai pengganas atau pengganas komunis, tetapi sebagai tentera pembebasan, iaitu istilah yang lebih neutral, yang digunakan oleh mereka sendiri.
Buku Gerakan Kiri Melayu ini saya tulis dengan menggunakan pendekatan sejarah, dan agaknya bolehlah dianggap sebagai “buku sejarah”. Walau bagaimanapun, saya harus akui bahawa saya penulisnya adalah seorang ahli sosiologi, bukan ahli sejarah. Dengan itu, buku ini hanya menggunakan bahan rujukan yang mudah didapati, dan tidak melibatkan kajian arkib yang mendalam. Apatah lagi saya memang tidak berpeluang untuk mengkaji dokumen-dokumen yang mungkin terdapat di London, Belanda dan sebagainya.
Kandungan Buku
Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan mengandungi 11 bab, termasuk kesimpulan, seperti berikut:
- Gerakan antikolonial sebelum perang dunia kedua
- Gerakan politik masa pendudukan Jepun
- Gerakan politik masa aman (1946-194 8): nasionalis kiri Melayu
- Gerakan politik masa aman (1946-194 8): Parti Komunis Malaya
- Darurat dan perjuangan kemerdekaan secara bersenjata
- Pengunduran strategik ke Selatan Thailand
- Gerakan awal di sempadan
- Perundingan Baling
- Antara Baling dan Haadyai
- Haadyai: Perjanjian Perdamaian dan implikasinya
- Kesimpulan
Bab 1 cuba memberi huraian ringkas terhadap kemunculan dan perkembangan dua gerakan politik yang wujud sebelum perang dunia kedua, iaitu Gerakan Komunis dan Gerakan Kiri Melayu. Tentang gerakan kiri Melayu, tumpuannya adalah terhadap kemunculan Kesatuan Mela Muda (KMM) yang ditubuhkan oleh Ibrahim Yaakob dan kawan-kawannya pada tahun 1938. Iengan menghuraikan kemunculan dan perkembangan dua gerakan politik yang penting ini, saya kira bab ini sudah membayangkan bahawa perjuangan antikolonial dan kemerdekaan di negara ini pada dasarnya dipelopori oleh golongan kiri Melayu dan bukan Melayu.
Bab 2 melanjutkan huraian dalam bab 1 dengan memberi tumpuan kepada peranan, dan aktiviti. Parti Komunis Malaya (PKM) dan KMM pada masa pendudukan Jepun.
Antara fakta yang terpenting, yang mempengaruhi perkembangan politik Malaya pada masa itu ialah PKM telah menubuhkan pasukan bersenjatanya, iaitu MPAJA untuk bergerak di bawah tanah menentang Jepun. KMM pula telah dibubarkan oleh Jepun tidak lama selepas Jepun memerintah. Oleh itu, ada bekas anggota KMM yang bekerjasama dengan MPAJA dalam perjuangan menentang Jepun. Pada masa yang sama, KMM juga terus cuba memperjuangkan matlamatnya sendiri, iaitu untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Jepun, walaupun tidak mendapat reaksi yang positif daripada pihak Jepun.
Selain itu, bab ini juga telah memperkenalkan tiga orang kader komunis Melayu yang kemudiannya muncul sebagai tokoh komunis Melayu yang penting, iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D. dan Kamarulzaman Teh. Mereka merupakan orang-orang Melayu yang komited dengan perjuangan PKM dan telah ditugaskan memimpin Jabatan Kerja Melayu yang ditubuhkan oleh PKM pada akhir 1946.
Bab 3 terutamanya menghuraikan secara terperinci tentang kedudukan dan aktiviti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) antara tahun 1946-1948, iaitu tentang penubuhan dan perkembangannya, tindakannya menyokong dan kemudian menentang Malayan Union, peranannya sebagai salah sebuah organisasi yang turut menubuhkan UMNO dan kemudian berpisah daripada UMNO, tindakannya menentang Cadangan Perlembagaan Persekutuan, dan tindakannya menyokong gerakan politik Islam yang berpusat di Gunung Semanggol. Seterusnya dihuraikan aktiviti beberapa badan yang merupakan sekutu atau badan gabungan PKMM, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BATAS). Sedikit huraian tentang Pembela Tanah Air (PETA), iaitu badan kiri yang ditubuhkan selepas API diharamkan juga dikemukakan dalam bahagian akhir bab ini.
Dalam hubungan ini patut ditegaskan bahawa adalah jelas PKMM tertubuh lebih dahulu daripada UMNO, malah merupakan satu badan yang turut menaja penubuhan UMNO. Oleh itu, PKMM sebagai penyambung perjuangan KMM merupakan parti yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan lebih awal daripada UMNO.
Bab 4 pula menghuraikan pelbagai peranan dan tindakan yang dimainkan oleh PKM dalam masa aman, 1946-1948, termasuk matlamat dan taktik perjuangannya, strategi “barisan bersatu” yang dimainkannya, peranannya menubuhkan PKMM, menyusun kaum buruh, melakukan gerakan secara terbuka dan gerakan bawah tanah.
Di sini barangkali wajar disebut satu fakta yang menarik, bahawa ketika bergerak secara terbuka, PKM banyak “bekerjasama” dengan golongan nasionalis Melayu. Kerjasama yang rapat ini dapat dilihat apabila orang-orang PKM bekerjasama dengan golongan nasionalis ketika menubuhkan PKMM pada akhir tahun 1945. Pada tahun 1947 Rashid Maidin, seorang komunis pernah berceramah ke seluruh negara bersama-sama dengan Dr. Burhanuddin. Dua orang tokoh Melayu PKM, iaitu Rashid Maidin dan Musa Ahmad pula bekerjasama dengan golongan agama, dengan menghadiri beberapa persidangan anjuran golongan agama yang diadakan di Gunung Semanggol pada tahun 1948.
Kerjasama golongan komunis dengan golongan nasinalis juga dapat dilihat apabila Abdullah C.D. menjadi ahli jawatankuasa PKMM, Musa Ahmad menjadi Ketua BATAS, Shamsiah Fakeh menjadi Ketua AWAS dan Kamarulzaman Teh menjadi Ketua API Pahang
Walaupun ada sesetengah penulis yang mendakwa antara tahun 1946-1948 ini golongan komunis telah menguasai atau mempengaruhi golongan nasionalis Melayu, tetapi saya lebih cenderung menyatakan bahawa kedua-dua golongan itu “bekerjasama” dalam perjuangan menentang penjajah, dan golongan nasionalis bukan di “dikuasai” atau “pengaruhi” oleh komunis. Saya berpendapat demikian, kerana saya tidak yakin seorang yang mempunyai pegangan agama yang kuat seperti Dr. Burhanuddin, atau seorang yang terpelajar seperti Ishak Haji Mohamad, atau seorang yang egoistik seperti Ahmad Boestamam begitu mudah dikuasai atau dipengaruhi oleh komunis!
Ketika bergerak di bawah tanah pula, PKM telah menubuhkan Jabatan Kerja Melayu yang dipimpin oleh kader Melayunya, seperti Abdullah C.D., Rashid Maidin, Kamarulzaman Teh dan Musa Ahmad. Memang kader-kader PKM ini ada merekrut sebahagian pengikut mereka menjadi ahli PKM Akan tetapi, yang menjadi ahli PKM itu umumnya terdiri daripada aktivis biasa sahaja, bukan tokoh atau pemimpin utama golongan nasionalis.
Kemudian menjelang perisytiharan Darurat pada bulan Jun 1948, PKM telah menghimpunkan kader-kader Melayu mereka di Kem Se-Malaya, di Temerloh, untuk mengikuti “kursus perkaderan” (kursus politik dan ketenteraan), sebagai persiapan untuk melancarkan perjuangan bersenjata.
Mulai Bab 5 dan seterusnya huraian dan perbincangan dalam buku ini ditumpukan kepada peranan dan aktiviti PKM dan kader-kader Melayu PKM sahaja. Inilah tema penting buku ini yang barangkali telah diselindungkan oleh tajuknya.
Bab 5 memulakan huraiannya tentang perubahan dasar PKM, iaitu dari strategi perjuangan secara damai melalui “barisan bersatu” kepada perjuangan bersenjata, setelah strategi “barisan bersatu” itu dianggap telah gagal. Dengan perubahan dasar PKM ini, maka kader-kader Melayu PKM telah menubuhkan Lasykar Rakyat, menubuhkan Pasukan Tentera Asas, dan kemuncaknya menubuhkan Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya yang semua anggotanya terdiri daripada orang Melayu. Rejimen Ke-10 pernah mempunyai anggota sehingga kira-kira 400 orang, yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu Temerloh, Pahang pada awal tahun 1949. Selepas itu selama kira-kira 5 tahun, dari 1948-1953, kader-kader Melayu PKM yang terdiri daripada Abdullah C.D., Musa Ahmad dan Wahi Anwar telah memimpin perjuangan bersenjata menentang kerajaan penjajah Inggeris, terutamanya melalui taktik “perang gerila” (kecuali Wahi Anwar hingga 1949 sahaja). Dalam perang gerila itu mereka agak berjaya di peringkat awal, tetapi mereka menghadapi kekalahan yang serius, yang hampir memusnahkan kekuatan mereka dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan di satu tempat bernama Padang Piul pada tahun 1949. Di Padang Piul itulah juga Wahi Anwar ditangkap oleh pasukan keselamatan.
Pasukan tentera PKM, termasuk Rejimen Ke-10 yang dianggotai oleh orang-orang Melayu, membuat keputusan meninggalkan negeri Pahang dan “berundur” ke Selatan Thailand pada tahun 1953, setelah menghadapi serangan yang hebat daripada pasukan keselamatan. Inilah yang dihuraikan dalam Bab 6.
Anggota Rejimen Ke-10 yang berpindah ke Selatan Thailand itu, yang diberi nama Pasukan Hang Jebat kira-kira 60 orang sahaja. Ada anggota Rejimen Ke-10 yang tidak berpindah ke Selatan Thailand dan terus tinggal di Pahang, khasnya di Pahang Timur, tetapi jumlahnya tidak dapat dipastikan.
Proses pengunduran Pasukan Hang Jebat ke Selatan Thailand, yang memakan masa hampir 2 tahun (1953-1955) melalui beberapa tahap, yang saya bahagikan kepada empat tahap, iaitu dari Semantan ke Jerkoh, dari Jerkoh ke Cameron Highland, dari Cameron Highland ke Ulu Kinta dan dari Ulu Kinta ke kawasan sempadan. Perjalanan mereka yang melalui hutan belantara, sungai dan gunung-ganang itu bukanlah perjalanan yang mudah. Mungkin saya tidak dapat menggambarkan kesukaran dan susah payah yang terpaksa mereka hadapi. Sebelum sampai ke kawasan sempadan, mereka pernah menghadapi kekurangan makanan dan pernah juga menghadapi serangan pasukan keselamatan. Mujur di tempat-tempat tertentu, di Kelantan misalnya, mereka mendapat bantuan makanan daripada Orang Asli.
Bab 7 saya gunakan untuk menghuraikan secara ringkas gerakan awal Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan. Setelah mendapat arahan daripada Chin Peng, Setiausaha Agung PKM yang sampai lebih dahulu ke Thailand, dan ketika itu tinggal di Betong, antara perkara yang mereka lakukan ialah mengemaskan organisasi dan “menyusun massa”. Dalam usaha mengemaskan organisasi itu, Jabatan Kerja Melayu telah dibubar an, dan pemimpinnya yang terdiri daripada Abdullah C.D., Rashid Maidin dan Musa Ahmad telah diserapkan menjadi anggota Jawatankuasa Pusat PKM. Dalam usaha “menyusun massa” pula pada pokoknya apa yang mereka lakukan ialah menjalin hubungan baik dengan penduduk sekitarnya, dengan cara memberi pelbagai perkhidmatan kepada mereka, sehingga penduduk sekitar itu bersedia menyokong perjuangan mereka, dan ada yang bersedia masuk ke hutan untuk direkrut menjadi anggota Rejimen Ke-10.
Dalam Bab 8 saya cuba meninjau Perundingan Baling tahun 1955 antara PKM dengan kerajaan Malaya. Delegasi PKM dipimpin oleh Chin Peng dan turut disertai oleh Rashid Maidin, seorang tokoh Melayu PKM. Delegasi kerajaan Malaya pula diketuai oleh Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Malaya, dan disertai oleh David Marshal, Ketua Menteri Singapura. Antara lain saya huraikan peristiwa yang membawa kepada perundingan di pihak PKM dan di pihak kerajaan Malaysia, proses perundingan dan mengapa perundingan itu gagal. Saya menyimpulkan perundingan itu telah gagal, kerana kedua-dua pihak berpegang teguh dengan pendirian yang berbeza: PKM hanya mahu meletakkan senjata, jika kewujudannya diberi pengiktirafan dan anggotanya tidak di soal siasat, manakala kerajaan Malaya pula tidak bersetuju dengan pendirian PKM. Bagaimanapun, ada maklumat yang menyatakan bahawa Tunku memang tidak berniat untuk menjayakan perundingan itu. Sebaliknya beliau ingin menggunakan faktor komunis itu sebagai alat tekanan kepada kerajaan British apabila beliau berunding dengan kerajaan British tidak lama selepas itu.
Bab 9 cuba menghuraikan pclbagai aktiviti PKM di Selatan Thailand dalam masa yang agak panjang, iaitu antara Perundingan Baling pada 1955 dengan Perjanjian Perdamaian Haadyai pada tahun 1989. Sudah tentu tidak semua perkara dapat dihuraikan dalam bab ini. Oleh itu, huraian da am bab ini hanya dapat ditumpukan kepada beberapa perkara penting sahaja, antaranya pengukuhan pasukan bersenjata, pengukuhan pangkalan mereka di kawasan sempadan, perluasan badan pimpinan Rejimen ke-10, penubuhan Sekolah Parti, kerja bawah tanah, tindakan pasukan penggempur mara ke selatan (memasuki kawasan Malaysia), bertahan secara aktif dan menjaga hubungan dengan pihak Thailand.
Di sini patut dijelaskan, bahawa Rejimen Ke-10 bukanlah rejimen yang besar. Pada tahun 1989, ketika Perjanjian Perdamaian ditandatangani, jumlah anggotanya hanya kira-kira 350 orang, dan kebanyakannya ialah warganegara Thai bukan orang yang berasal dari Malaysia, yang pada asalnya hanya kira-kira 60 orang. Oleh itu, dalam banyak keadaan mereka hanya mampu bertahan secara aktif: maknanya tidak menyerang kalau tidak diserang, dan hanya membalas apabila diserang. Dengan itu, pasukan penggempur yang mara ke selatan itu hanya terdiri daripada beberapa platun sahaja.
Antara tahun 1960-an dan 1980-an Rejimen Ke-10 memang banyak kali diserang secara besar-besaran oleh tentera Thailand, sama ada secara bersama dengan tentera Malaysia atau secara bersendirian. Untuk menghadapi serangan itu, antara taktik yang digunakan oleh Rejimen Ke-10 ialah mengosongkan kem untuk mengelakkan pertempuran, tetapi memasang pelbagai periuk api dan membentuk regu-regu penggempur untuk melakukan pertempuran bela diri. Dengan taktik seperti itulah mereka dapat bertahan di Selatan Thailand itu selama hampir 40 tahun.
Bab 10 menghuraikan perundingan antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand, yang membawa kepada termeterainya Perjanjian Perdamaian, dan menghuraikan beberapa implikasi dari Perjanjian Perdamaian itu. Perundingan itu terbahagi kepada dua peringkat—peringkat rendah dan peringkat tinggi—dan memakan masa kira-kira satu tahun. Ada maklumat tentang perundingan peringkat rendah yang mungkin kurang diketahui umum, yang patut saya tegaskan di sini, iaitu siapakah yang merintis perundingan itu? Mereka ialah Mokhtar bin Mahmud Baginda, bekas wartawan Utusan Melayu dan bekas Setiausaha Akhbar MB Pahang, Tun Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Bagi perundingan peringkat tinggi pula, antara tokoh yang dianggap telah memainkan peranan penting ialah Dato’ Rahim Nor (Pengarah Cawangan Khas yang kemudian menjadi Ketua Polis Negara).
Tentang implikasi dari Perjanjian Perdamaian itu, saya telah kemukakan dua perkara. Pertama lahirnya Kampung Perdamaian yang menempatkan bekas anggota Rejimen Ke-10 yang memilih mahu menetap di Thailand. Di situlah Abdullah C.D., isterinya Suariani, dan Abu Samah Mohamad Kassim (ketiga-tiganya ahli Jawatankuasa Pusat PKM) serta Siti Norkiah (isteri Abu Samah) menetap hingga sekarang bersama-sama dengan sebahagian orang yang masih hidup, yang berasal dari Malaysia. Di sini patut disebut, seorang lagi tokoh PKM, iaitu Rashid Maidin yang meninggal dunia pada 1 September 2006 yang lalu, tinggal di tempat lain (di Yala).
Kedua, dengan termeterainya Perjanjian Perdamaian, bekas anggota Rejimen Ke-10 yang ingin pulang ke Malaysia juga dapat berbuat demikian, setelah meninggalkan tanah air lebih daripada 40 tahun. Salah seorang daripada mereka ialah Ibrahim Chik (bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PKM) yang sekarang menetap di Temerloh bersama isteri dan 2 orang anaknya, yang lahir dalam hutan di Selatan Thailand.
Bab 11 sebagai bab kesimpulan pada pokoknya cuba menjawab dan merumuskan empat persoalan utama yang saya kemukakan dalam bab Pendahuluan, iaitu:
- Di mana letaknya perjuangan golongan nasionalis kin’ Melayu yang terlibat dengan perjuangan bersenjata itu dari segi sejarah? Setakat mana pentingnya perjuangan mereka?
- Apakah sumbangan mereka kepada perjuangan kemerdekaan? Setakat manakah benarnya dakwaan mereka bahawa British telah mempercepat pemberian kemerdekaan kepada negara ini kerana adanya perjuangan bersenjata itu?
- Mengapa dan bagaimana mereka menamatkan perjuangan bersenjata yang berlanjutan selama lebih 40 tahun; sehingga melahirkan apa yang dinamakan Perjanjian Perdamaian?
- Adakah orang-orang yang terlibat dengan perjuangan bersenjata itu boleh dianggap sebagai komunis, atau pun sebenarnya mereka adalah golongan nasionalis, tetapi menggunakan gerakan komunis yang mereka sertai sebagai alat untuk mencapai matlamat perjuangan mereka?
Di sini saya hanya hendak mengulas persoalan keempat sahaja, kerana inilah persoalan yang saya rasakan paling menarik, tetapi sukar untuk dijawab, dan mungkin saya pun tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan.
Oleh kerana mereka telah menjadi ahli, bahkan kader dan pimpinan PKM, dan telah mempelajari teori-teori Marxis-Leninis dan pemikiran Mao Tze-Dong dengan agak mendalam, dan pernah melabelkan diri mereka sendiri sebagai komunis, maka tentulah tidak kena pada tempatnya jika mereka tidak dianggap sebagai komunis.
Akan tetapi, berbeza barangkali dari komunis Cina atau Russia yang telah meninggalkan agama dan menjadi atheis, mereka tidak pernah keluar dari agama mereka (Islam) atau meninggalkan Islam, dan jauh sekali dari mengatakan mereka tidak lagi beragama Islam. Bahkan selepas tinggal di kamptmg Perdamaian, mereka dengan cepat membina masjid dan naik haji.
Walaupun mereka telah mempelajari materialism dialektik dan materialisme sejarah yang merupakan teras ajaran Marx, tetapi mereka tampaknya hanya menggunakannya sebagai teori untuk menganalisis sejarah dan perkembangan masyarakat dan sebagai senjata perjuangan, bukan sebagai akidah yang setaraf dengan agama. Oleh itu, dari segi ini, perwatakan mereka menunjukkan bahawa label yang tepat diberi kepada mereka tidak lain daripada komunis-Islam.
Pada satu tahap yang lain, mereka juga berpegang pada faham internasionalisme dan nasionalisme, dan kerana itulah mereka berjuang menentang penjajah dan penindasan. Dengan itu, mereka boleh pula dianggap sebagai orang-orang nasionalis yang tetap berpegang pada ajaran Islam, tetapi menggunakan fahaman Marxis-Leninis dan ajaran Mao-Tze Dong sebagai teori, strategi dan taktik perjuangan politik.
Apa yang dapat diperhatikan, pegangan dan perwatakan mereka membayangkan semacam Sinkretisme antara komunisme, nasionalisme, internasionalisme dan Islam. Dengan demikian, mungkin agak secocok dengan kenyataan, jika dikatakan bahawa pada masa yang sama, atau secara serentak, mereka bolehlah dianggap sebagai komunis, Islam dan nasionalis.
Beli buku Ini
-
Memoir Shamsiah FakehRM30.00
-
Memoir Abdullah CD (Bahagian Pertama)RM35.00 – RM45.00
-
Siti Norkiah MahmudRM20.00
-
Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan KemerdekaanRM35.00