Fasisme: Fikiran dan Tindakan 25 June 2020 – Posted in: Essays
Tajuk kita pada malam ini ialah “Fasisme: Konsep, Sebab dan Fungsi.”
Untuk menghuraikan tajuk istimewa ini, ada baiknya kita memulakan perbincangan mengenai fasisme dengan takrif terlebih dahulu.
Kita, umumnya, boleh menerima dan memahami bahawa fasisme sebagai suatu gerak fikiran dan gerak tindakan yang bersifat ultra. Walau bagaimanapun, gerak fikiran dan tindakan ini tidak hanya terbatas dalam aspek nasionalisme semata-mata, seperti yang boleh kita bayangkan dengan mudah. Hakikatnya, gerak ini berupaya merangkumi ragam ideologi lain—rentas agama, kaum dan mazhab. Justeru itu, kata kunci fasisme di sini ialah ultra, atau istilah lain, ekstrem.
Dengan memakai takrif umum ini, maka kita boleh meneruskan perbincangan mengenai fasisme ini dalam dua bentuk yang boleh-wujud: fikiran dan tindakan.
Fasisme dan Fikiran
Untuk fikiran, idea-idea ekstrem yang membuka ruang kepada kekerasan (violence) dan keganasan (terrorism) adalah bibit kepada setiap tindakan ekstrem, yang kemudiannya membuahkan fasisme.
Dalam memahami garis pemisah antara “idea yang ekstrem” dan “idea yang tak-ekstrem,” apa yang perlu menjadi perhatian kita ialah persoalan “kebebasan bersuara.” Bagi saya, sebarang unsur yang membataskan suara/pendapat boleh dianggap sebagai pembuka jalan kepada tindakan fasisme. Lazimnya, pembatasan ini dilakukan oleh kerajaan/pemerintah. Namun, dalam waktu-waktu tertentu, dan dibakar lagi oleh semangat populisme, pembatasan ini boleh juga dilakukan oleh rakyat, atau lebih tepat lagi, oleh khalayak khusus yang boleh kita namakan sebagai “kawanan” (swarm).
Menyedari kemungkinan ini, maka apakah sebenarnya garis pemisah antara “yang dibolehkan” dengan “yang tidak dibolehkan” dalam persoalan “kebebasan bersuara” ini? Noam Chomsky ada memberi sedikit panduan yang bijaksana:
“Goebbels was in favor of free speech for views he liked. So was Stalin. If you’re really in favor of free speech, then you’re in favor of freedom of speech for precisely the views you despise. Otherwise, you’re not in favor of free speech.”
Noam Chomsky, dalam Manufacturing Consent: Noam Chomsky and the Media
Inspirasi daripada panduan ini, maka untuk memiliki kebebasan bersuara yang sejati adalah bererti kita mestilah bersedia untuk berbeza. Persoalannya: sejauh manakah suatu kawanan,—misalnya, mereka yang percaya kepada idea nyahsarana (deplatforming)—bersedia menerima pandangan yang dibencinya? Ini boleh jadi antara mauduk perbincangan kita di sini nanti.
Fasisme dan Tindakan
Baik, kita telah bahaskan persoalan fasisme daripada aspek fikiran ekstrem, yang mana ini akhirnya berupaya melahirkan tindakan ekstrem. Untuk perbahasan fasisme dalam fikiran, izinkan kita berhenti di sini terlebih dahulu. Seterusnya, apa yang ingin kita bahaskan pula adalah mengenai fasisme dalam bentuk tindakan, suatu perbincangan yang barangkali lebih nyata kerana terselit di situ unsur aksi, drama dan performatif.
Pertamanya, fasisme dalam bentuk tindakan tidak boleh lari daripada dimensi sosial dan politik (sebenarnya lebih tepat lagi adalah politik sahaja) lantaran—kononnya, menurut sesetengah kawanan—semua hal boleh diertikan sebagai bersifat politik (political).
Daripada segi perbincangan struktur politik, fasisme boleh bererti sebagai suatu struktur sosial yang terpusat kepada identiti politik yang sangat khusus. Betapa khususnya struktur politik ini, jelas tercermin dalam pengalaman sejarah totalitarianisme itu: fasisme yang berpusatkan kepada tokoh, parti dan ideologi tertentu; politik tertentu yang menjadi penakrif atas segalanya, termasuklah atas ekonomi, agama, kesehatan, dan lain-lain. Perbezaan tindakan (apatah lagi perbezaan dalam berpendapat) adalah “dosa besar” tanpa ampun.
Fasisme: Sejarah dan Budaya
Setakat ini, kita boleh menerima betapa fasisme mempunyai strukturnya yang tersendiri, yakni suatu struktur yang berasaskan sistem politik berpusat. Walau bagaimanapun, struktur politik fasisme ini tidak lahir begitu sahaja: di baliknya ada sejarah dan budaya yang tersendiri.
Untuk sejarah, perkara yang menjadi penekanan untuk setiap gerakan fasisme ialah penguasaan dan pemanipulasian masa (time). Politik masa boleh bertukar menjadi politik sejarah dan politik ingatan. Kita boleh lihat perkara ini menerusi usaha kawanan tertentu yang cuba untuk membuat pemilihan (selection) tertentu dalam penentuan sejarah dan ingatan semasa khalayaknya. Dalam perkara ini, adalah tidak mustahil suatu sejarah yang awalnya diterima sebagai fakta, lalu diubah pula kepada suatu mitos yang mesti diterima sebagai iman.
Itu untuk sejarah. Bagaimana pula untuk budaya?
Untuk budaya, apa yang boleh kita fikirkan ialah dengan mengembangkan lagi perbincangan mengenai “kawanan” ini.
Kita boleh bermula dengan membezakan antara kawanan dengan massa, awam (public), rakyat, kerumunan (crowd), dan masyarakat. Kawanan, bagi beberapa pemikir, adalah istilah yang bersifat biologi. Dalam konteks fasisme, kawanan adalah sekelompok mereka yang fanatik (ikut babi buta) serta enggan menerima perbezaan. Kawanan memiliki garis jelas antara “mereka” dan “kita.”
Salah satu takrifan budaya, dalam literatur kajian budaya, ialah wujudnya pembahagian ketara antara “the self” dan “the others.” Budaya ini disempitkan, dengan aplikasi dalam konteks fasisme, tatkala “the self” menjadi kumpulan kecilnya (kawanan) manakala “the others” menjadi selain daripada kumpulannya tersebut. Tiada wilayah kelabu.
Untuk memahami lebih baik mengenai kawanan ini, maka kita boleh mengenalpasti budaya sebagai suatu set peristiwa (event) dan nilai (value). Setiap peristiwa dan nilai ini memiliki corak dan tarikan yang khusus, sehingga corak dan tarikan tersebut bukan dapat bertahan dalam persekitarannya, bahkan, dapat memperbesarkan lagi kawanannya tersebut.
Persoalannya: bagaimana kawanan dalam persekitaran fasisme ini dapat mempertahankan nilai fasisme ini dalam beberapa tempoh (yang mungkin lama)? Salah satu jawapannya: mereka memanipulasikan satu slogan yang bermata dua yakni perpaduan (unity).
Perpaduan, sama seperti kebersamaan (solidarity), adalah istilah yang mudah dimanipulasikan oleh kawanan dan tokoh dalam kawanan tersebut. Perpaduan diertikan mereka, manakala selain mereka adalah perpecahan.
Tapi, untuk memperoleh perpaduan, apa yang mereka lakukan ialah menekan-nekankan perihal kestabilan, lagi dan lagi. Bagi mereka, kestabilan adalah satu perkara yang sentiasa diukur daripada keberdayaan dan kebolehterimaan kawanan ini dalam konteks sosial yang lebih luas.
Lantaran itu, di sini, fasisme sebagai suatu tindakan politik boleh berjaya sekiranya dapat menukarkan masyarakat (yang sosial) kepada kawanan (yang biologis). Dalam hal ini, biologis bererti tanpa fikiran, dan tanpa perbezaan. Biologis, juga bererti non-sosial, yang lebih bersifat imitasi (imitation). Panik sosial adalah antara contoh tindakan imitasi dalam waktu yang pendek. Tapi, fasisme, pula adalah tindakan imitasi dalam tempoh yang lebih lama.
Berbalek dengan persoalan perpaduan ini, maka apa cara yang selalu digunakan oleh gerakan fasisme untuk memastikan kelestarian perpaduan dan kestabilan ini?
Paling ketara, mereka cenderung menggunakan bahasa yang bersifat biologi: kaum, atau etnik. Mengapa? Sebab, kita ingat kembali, bahawa setiap gerakan fasisme tidak ada wilayah kelabu. Seluruh komunikasi sosial adalah antara satu titik hujung yang dianggap cerah dengan selain titik hujung tersebut. Bermakna, merekalah yang paling asli, paling tulen, dan paling benar. Ini adalah bahasa kegemaran kaum fasisme. Dalam keadaan ini, setiap dialog boleh saja berakhir dengan kekerasan dan keganasan, sama secara lisan mahupun secara tindakan.
Kesimpulan
Rumusannya, dalam menghayati perbezaan, sama ada dalam struktur mahupun budaya, kita mestilah menyediakan diri untuk menerima perbezaan apa-apa pun. Jadi, tanpa siap menerima perbezaan ini, maka kita hanyalah menyemai kepada fasisme untuk berputik, sama ada dalam bentuk fikiran mahupun tindakan.
Namun begitu, sejarah sudah memberi maklum kepada kita, betapa mengamalkan perbezaan tidaklah semudah dengan menabur kata-kata manis untuk menerima perbezaan. Kerana itu, fasisme hakikatnya tidak mengenal kumpulan; mereka yang menuduh kumpulan lain fasis sebenarnya boleh juga menjadi fasis, malah lebih fasis daripada musuh sasarannya.
Untungnya, dengan memakai sukatan yang sama ini, kita dapat juga mengenalpasti mereka (yang kononnya bermuka anti-fasisme) yang diam-diam beriman dengan berhala fasisme.
Esei ini disediakan oleh Aqil Junaidi, Felo Penyelidik di Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS), UKM dan dibincangkan semasa Wacana DKB pada 24 Jun 2020 di Mandala Kawah Buku, Bandar Baru Bangi.