Rustam A. Sani, sosok yang terlambat saya kenali 12 August 2021 – Posted in: Essays

Pak Rustam telah pergi agak awal iaitu lebih kurang 13 tahun yang lalu, pada 23 April 2008. Hal ini menjadi alasan untuk saya berlepas diri (menyedapkan hati) untuk mengapa saya tidak mengenali beliau dengan lebih awal.

Paling tidak untuk umur yang baru dalam lingkungan di awal 30-an pada tahun ini, 2008 adalah tahun di mana saya mungkin berada dalam fasa di pra-universiti, bermakna Pak Rustam telah pergi sebelum sempat pun saya menjebakkan diri paling tidak dalam dunia aktivisme dan keilmuan di kampus.

Apabila tiada lagi buah pandangnya yang muncul kemudiannya, baik di dada akhbar, buku mahupun di blog-blog, pastilah lebih jauh perjalanan untuk siapa sosok Rustam A. Sani sampai ke benak pengetahuan saya. (Nah, ini satu lagi alasan.)

Orang pertama yang memberi tahu kepada saya tentang sosok Rustam A. Sani ini lebih dari seorang anak Ahmad Boestamam ialah Loq. Beliau beritahu saya, Rustam adalah seorang penterjemah yang luar biasa. Kita tidak akan merasa membaca buku terjemahan Rustam ini seperti buku terjemahan, malah ia rasanya seperti sebuah buku yang ditulisnya sendiri. Ketika itu Loq ingin memerihalkan tentang kecantikan terjemahan Mad Koy, seorang lagi sahabat saya yang dianggap Loq kualiti terjemahannya tidak jauh dengan Rustam.

Namun orang yang paling bertanggungjawab dalam memperkenalkan saya kepada Pak Rustam ialah Mad Koy sendiri. Sejak itu saya mula menyimpan buku-buku Pak Rustam apabila terjumpa. Mula meletakkan buku Pak Rustam sebagai senarai menunggu dalam pembacaan saya.

Ideanya yang malar segar

Idea pertama yang saya peroleh dari penulisan Rustam adalah kritik beliau terhadap terhadap sistem pendidikan yang gagal melahirkan cendekiawan yang kreatif, terperangkap pula dalam set pemikiran kolonial. Hal ini adalah kerana sistem pendidikan yang diwarisi tradisi tersebut hanyalah bersifat menghasilkan tenaga kerja dan tenaga profesional untuk mengendalikan pentadbiran penjajahan dan kegiatan ekonomi kapitalis (kolonial) semata.

Warisan sistem pendidikan kolonial ini tidak hanya sekadar melahirkan manusia kilang yang memenuhi selera kapitalisme mereka, malah ia memberikan kesan lebih dari itu. Pada pandangan Rustam, tradisi ini juga akan membantutkan kelahiran cendekiawan yang mampu mengartikulasi idea serta intelektual untuk membangunkan bangsa sebagai sebuah peradaban besar, lebih penting dari itu, membantutkan perkembangan bahasa Melayu sebagai teras kepada peradaban ini.

Di sinilah saya temukan idea besar Pak Rustam tentang Bahasa Melayu. Kita takkan sekalikali mencipta keunggulan dalam peradaban kita hanya apabila Bahasa Melayu hanyalah menjadi bahasa ungkapan percakapan semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Tidak mampu untuk difungsikan kepada peringkat yang lebih abstrak, tidak pula menjadi bahasailmu dan bahasa sains, tidak juga sesuatu ilmu itu diwacanakan, difikirkan yang kemudiannya diciptakan dari nuansa Bahasa Melayu.

Apabila hal ini terjadi, ia adalah malapetaka kerana sesebuah peradaban itu tidak akan terbangun dengan bahasa yang kontang pengisiannya, tipis falsafahnya. Bicara seorang linguistik suntuk pada rupa dan teknik, bicara pempimpin terhad pula kepada hal polisi dan teknikal. Dan sekali lagi, krisis ini tidak menjadi sebegitu sahaja melainkan kerana tradisi pendidikan kolonial inilah yang memerangkap orang kita untuk berfikir tentang peradabannya sendiri.

Nasionalisme dan Bangsa Malaysia

Mempunyai minat dalam memerhati samudera politik menjadikan saya turut berminat dalam mengamati proses pembinaan bangsa di Malaysia. Ia adalah sebuah perjalanan panjang yang belum menemukan tebing untuk sauh dilabuhkan. Perbincangan tentang proses pembinaan bangsa di Malaysia ini juga menjadi lebih rancak dan terpencar apabila Mahathir mengungkapkan terma Bangsa Malaysia buat julung kalinya dalam ucapan yang bertajuk Malaysia: The Way Forward di Majlis Perniagaan Malaysia pada tahun 1991.

Polemik tentang bagaimana rupa bentuk Bangsa Malaysia ini terus diperdebatkan sehingga hari ini kerana sebagaimana yang diungkapkan tadi proses membina bangsa adalah sebuah proses yang sentiasa bergerak. Rustam Sani ialah salah seorang yang terkancah secara langsung dalam wacana ini. Mana mungkin seorang ahli sosiologi dan saintis politik seperti beliau tidak berpartisipasi dalam menentukan nasib negara bangsanya sendiri.

Penulisan beliau dalam hal bangsa dan nasionalisme ini sebenarnya adalah rangkuman kepada citra penulisan beliau dalam seluruh hayatnya. Dalam erti kata yang lain, tinta pena sepanjang hayatnya telah dihabiskan dalam mengungkapkan persoalan bangsa yang sedang mencari titik sempurna pembentukannya. Paling tidak, ini adalah telahan saya yang memerhatikan konteks rakaman penulisan-penulisan beliau lewat buku dan makalah beliau.

Menjengah semula kepada gerakan nasionalisme Melayu yang bermula sejak pra-merdeka dahulu, Rustam menanggapinya sebagai sebuah gerakan nasionalisme tulen yang akhirnya menemukan jalan kemerdekaan pada watannya. Nasionalisme Melayu adalah jantung kepada terbitnya perjuangan melawan kolonial. Namun begitu, nasionalisme Melayu juga tidaklah berjaya sepenuhnya apabila ia gagal melahirkan sebuah negara bangsanya yang tersendiri melainkan negara ini telah terpencar kepada sebuah komuniti yang pelbagai etnik sifatnya.

Usaha mencapai kemerdekaan juga tidaklah disandarkan kepada nasionalisme Melayu semata-mata tetapi ia adalah sebuah perkongsian ideal bersama etnik lain yang bersama seperti Cina dan India untuk memerdekakan tanah air ketika itu. Titik sejarah ini pada perhatian Rustam, tidak dapat tidak haruslah kita terima untuk kita dapat menaakul idea sebuah bangsa yang lebih merangkul dan inklusif sifatnya.

Berbalik kepada pencarian bangsa Malaysia yang diidamkan, usaha ini bukanlah bermula dari tangan yang kosong tetapi ia adalah sebuah kesinambungan daripada projek nasionalismeMelayu yang belum selesai. Di sinilah Rustam menyinsing idea Nasionalisme Malaysia, nasionalisme yang merangkul sejarah, rupa dan wajah Malaysia pada ketika ini, dan ia adalah sebuah transformasi dari nasionalisme Melayu yang telah pun membening ranjau dalam pembentukan negara bangsa ini.

Idea nasionalisme Malaysia oleh Rustam ini pastilah besar untuk dirincikan di sini, sebagaimana yang disebutkan tadi, ia adalah citra kepada penulisan beliau dalam hayatnya. Namun penting untuk kita rakamkan, Rustam hingga ke akhir hayatnya, tegar dalam membawa idea nasionalisme Malaysia sebagai gagasannya menuju bangsa Malaysia yang diidamkan.

Bahasa Melayu sebagai Teras

Di awal tadi telah kita menyentuh sejenak tentang peri penting bahasa Melayu dalam membangun peradaban bangsa. Namun tidak lengkap kalau tidak dimulusi tentang idea Bahasa Melayu sebagai teras kepada Bangsa Malaysia yang diidamkan kerana inilah diantara gagasan besar Rustam lewat hayatnya.

Perbincangan tentang teras kepada bangsa ini bukanlah perbincangan semasa, tetapi telah bermula lama sejak sebelum merdeka tatkala kita masih mencari apakah identiti bersama yang ingin diperkongsikan khasnya apabila tanah air yang kita diami kini terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya.

Nasionalisme Melayu terdiri dari pelbagai jalur sejak sebelum merdeka telah mengemukakan budaya teras dari pelbagai perspektif masing-masing. Ini terjelma dalam semangat Perlembagaan Rakyat 1947 oleh PUTERA-AMCJA, dan juga antara lain apa yang terhasil kini dalam Dasar Kebudayaan Malaysia (1971), sebuah resolusi dari Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan bertitik tolak dari Peristiwa 13 Mei 1969. Ini memperlihatkan perbincangan tentang teras kebudayaan bangsa telah lama diwacanakan dan walaupun ia telah digazetkan melalui Dasar Kebudyaan Kebangsaan namun sehingga kini ia masih sahaja didebatkan.

Saya tidak mampu merincikan antara keduanya dalam ruangan ini, namun apa yang dikemukakan oleh Rustam sebagai pentakrif kepada bangsa Malaysia yang ingin diciptakan, adalah olahan dari semangat Perlembagaan Rakyat 1947 yang merangkul sifatnya dan meraikan semua etnik dan warganegara.

Pada pemerhatian Rustam, unsur yang seharusnya menjadi teras kepada bangsa yang ingin dibangunkan ini satu-satunya ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu inilah yang akan menjadi jambatan yang menyatukan semua kumpulan etnik dalam negara Malaysia hari ini.

Berbeza dengan Dasar Kebudayaan Malaysia yang meletakkan budaya peribumi dan agama Islam sebagai teras, dalam masa yang sama menerima unsur kebudayaan lain yang dirasakan wajar, ia adalah cerminan kepada projek asimilasi yang tidak jelas dan lincir untuk dipegang. Tidak silap juga kalau diamati dasar ini, ia mewujudkan kelas dalam kebudayaan dimana budaya dan agama selain Melayu dan Islam berada dalam kelas bawah dalam struktursusunan kebudayaan bangsa di Malaysia.

Memperkukuhkan idea ini, Rustam dengan jelas menyebut budaya bukanlah sesuatu yang kejur dan mati, tetapi ia sentiasa hidup dan berkembang. Maksud Rustam, tidak semestinya untuk kita memilih dari mana-mana budaya etnik untuk dijadikan teras bangsa kita melainkan budaya itu boleh sahaja untuk kita boleh ciptakan bersama-sama oleh setiap warganegara Malaysia hari ini. Pendekatan ini pastinya akan menumbuhkan kebersamaan dan perasan kasih sayang secara tulen, berasal usulkan budaya yang sama-sama kita kongsikan.

Disinilah duduk letak penting Bahasa Melayu sebagai teras bangsa kerana setiap budaya yang akan diperciptakan bersama adalah datangnya dari nuansa bahasa kebudayaan kita sendiri, bahasa yang dipertuturkan sejak dari awal kita bersama-sama memilih untuk berkongsi tanah dan tempat tinggal, dan bahasa yang diterima dan difahami oleh segenap warganegara.

Lantaran itulah Rustam menekankan penting untuk Bahasa Melayu ini menjadi sebuah bahasa yang mempunyai kelas, sarat falsafah dan pengisiannya, agar ia benar-benar tercipta sebagai sebuah bahasa bangsa yang cerlang berperadaban.

Penutup

Membaca buah pandang Rustam, membenarkan apa yang beliau gelarkan kepada dirinya sendiri iaitu seorang nasionalis Malaysia. Walau sepanjang hayatnya, paradigmanya sentiasa berkembang dan berubah pada setiap fasa yang tertentu—dari seorang ahli akademik ke penyelidik di badan pemikir kerajaan, dari ahli perniagaan ke ahli politik—semua ini tidak menganjakkan dirinya dari menggulati wacana negara bangsa apatah mengupayakannya pada
segenap ruang yang dimilikinya.

Bagaimana tidak seorang anak muda seperti saya tidak terbeli dengan ideanya dek kerana keutuhan dalam gagasannya, sudah itu terus relevan pula sehingga hari ini. Bagaimana tidak seorang anak muda seperti saya yang juga mengidamkan sebuah bangsa Malaysia yang berperadaban, tidak terbeli dengan impian dan mimpinya yang sama.

Namun begitu sudah pasti, idea ini masih terbuka untuk diperkembangkan sebagaimana ia juga turut diusakan oleh sarjana-sarjana tempatan yang lain. Paling tidak usaha Rustam ini telah memperkayakan dan memperkukuhkan kepustakaan negara bangsa Malaysia. Semoga Malaysia tidak tandus dan akan terus melahirkan sarjana dan pemikir besar seperti beliau.

Ini hanyalah sebuah coretan ringkas saya buat beliau sebagai tanda perkenalan. Terima kasih Pak Rustam!

Al-Fatihah.

— Safarazman Awang, pelajar pasca-siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia