Said Zahari

Said Zahari dilahirkan di Singapura pada 18 Mei 1928. Beliau mendapat pendidikan Inggeris dan Melayu di Singapura. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu beliau juga berpeluang mengikuti kursus bahasa Jepun di sekolah perguruan Jepun—Sihan Gakko—di Singapura selama dua tahun. Selepas pendudukan Jepun, Said Zahari meneruskan pelajaran ke peringkat Senior Cambridge. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Salamah Abdul Wahab 20 Mac 1955 dan dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan: Roesman, Rismawati, Norman dan Noorlinda.

Selepas menamatkan pelajarannya beliau mula berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Melayu pada tahun 1951. Di sinilah Said Zahari terus mengembangkan bakat dan minatnya dalam bidang kewartawanan sehingga beliau dilantik sebagai Pengarang Utusan Melayu pada pertengahan tahun 1959. Menjadi pengarang di Utusan Melayu bukanlah tugas yang mudah bagi beliau. Beliau terhimpit antara mempertahankan Utusan Melayu sebagai sebuah akhbar bebas dalam desakan untuk menjadikan akhbar ini sebagai suara parti politik tertentu. Untuk mempertahankan prinsipnya ini Said Zahari bersama-sama rakannya telah melancarkan mogok pada Julai 1961 selama tiga bulan. Akibatnya beliau telah disingkirkan dari Malaysia (Malaya ketika itu) dan beliau terpaksa kembali ke Singapura.

Di Singapura beliau bergerak cergas dalam politik Singapura dan dipilih sebagai Ketua Umum Partai Rakyat Singapura. Belum sempat beliau melaksanakan tugasnya, pemerintah Lee Kuan Yew telah menangkap beliau pada 2 Februari 1963 dan beliau telah ditahan dan dipenjarakan selama kira-kira 17 tahun tanpa dibicarakan (1963-1979).

Said Zahari juga pernah menjadi editor dan Managing Editor Asia Research Bulletin, di Singapura pada tahun 1980-1986, Eksekutif Editor di Xenia Editorial Services di Singapura pada tahun 1992-1994, Karyawan Tamu di Jabatan Komunikasi UKM pada tahun 1996-1999 dan wartawan bebas ke penghujung hayatnya. Antara karya beliau yang telah diterbitkan ialah Irian Barat: Duri dalam Daging (1962), Puisi dari Penjara / Poems from Prison (1973).

Seusai pembebasan dari penjara, beliau berpindah dari Singapura ke Malaysia pada 1995 dan menetap di Subang Jaya, Selangor. Said Zahari meninggal dunia 12 April 2016 pada usia 88 tahun.