Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesateria Bangsa merupakan karya terjemahan daripada memoir asalnya yang telah disiarkan secara bersiri dalam majalah Eastern Horizon yang diterbitkan oleh Ta Kung Pao di Hong Kong pada pertengahan tahun 1960-an. Naskhah asal dalam bahasa Melayu tidak dapat dikesan. Versi bahasa Melayu ini telah diterjemahkan oleh Abdul Rahman Embong dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan naskhah asal dalam bahasa Inggeris telah diperolehi dan disunting oleh Prof K.S. Jomo.
Khatijah Sidek ialah pemimpin wanita UMNO yang pertama dengan lantang dan terbuka memperjuangkan supaya hak wanita dalam parti disamatarafkan dengan hak kaum lelaki. Di Persidangan Agung UMNO 1953, beliau menuntut supaya kaum ibu diberikan hak mengundi dan ditambahkan bilangan wakil mereka di peringkat kebangsaan. Gaya bicara dan tindakan beliau di persidangan ini telah menjadikan beliau lebih kontroversial di kata mata ahli biasa dan pemimpin konservatif dalam UMNO yang belum bersedia untuk memberi tempat kepada wanita dalam pucuk pimpinan parti.
Beliau dilabel sebagai keterlaluan, panas baran dan tidak sesuai untuk perjuangan UMNO yang mempunyai imej sederhana, mementingkan cara perundingan, mengelak daripada pertentangan terbuka, bertolak ansur dan mengalah kepada pucuk pimpinan. Ini bertentangan dengan gaya kepimpinan beliau sendiri yang sentiasa bersifat berani, mencabar dan menentang sebarang penyelewengan atau kelemahan secara terbuka. Gaya inilah yang banyak menyebabkan sejarah kegiatan politik Khatijah Sidek dirempahi oleh ketegangan, krisis pucuk pimpinan dan penyingkiran. Demikianlah Khatijah memperlihatkan bagaimana gaya politik kita yang sejak dahulu sering menenggelamkan orang-orang seperti beliau.
Reviews
There are no reviews yet