Gelagat dan Ragam Orang Melayu ialah serangkaian pemerihalan suasana di Tanah Melayu dan gelagat orang Melayu nukilan Frank Swettenham sewaktu beliau menjawat sebagai pegawai British sewaktu pentadbiran kolonial. Menurut penulis, buku ini tidak memuatkan perangkaan, bukan tentang sejarah, bukan tentang ilmu alam, bukan tentang sains, bukan tentang yang palsu mahupun yang benar, tiada unsur politik, bukan hendak memberi nasihat, bukan hendak berkhutbah—sekadar percubaan membangkitkan perhatian kita kepada kehidupan manusia yang cukup menarik tetapi belum pernah dibincangkan yakni penghuni di sebuah negara di Timur, paling indah namun tidak diketahui ramai. Menurut Swettenham, demi memahami orang Melayu, seseorang mesti tinggal bersamanya, bertutur dalam bahasanya, menghormati kepercayaannya, menggemari minatnya, melayan pertanyaannya, berbelas dan menghulurkan tangan tatkala dia susah malah berkongsi keseronokan atau mungkin juga kepayahannya.
Hanya menerusi cara ini baharulah dapat meraih keyakinan mereka. Berbekal keyakinan ini baharulah dapat memahami jiwa mereka dan pengetahuan ini hanya dapat diraih oleh seseorang yang berkesempatan memanfaatkan peluang tersebut. Setakat ini, pengkajian tentang orang Melayu di negeri asal (yang dapat menyerlahkan sifat-sifat sebenar peribadinya) hanya dibuat oleh segelintir orang Eropah dan nampaknya cuma sebilangan kecil orang berjaya memenangi hati nurani orang Melayu. Terdapat lebih kurang 100,000 orang Melayu di Perak dan beberapa ratus ribu orang lagi di beberapa buah kawasan Semenanjung. Kaum kulit putih yang mempunyai keinginan mendalam untuk mengkaji orang Melayu bukan hanya berjaya meraih kepercayaan, tetapi juga kesetiaan hingga sanggup melakukan apa sahaja atas jalinan persahabatan.
Nurul Azman (Verified Reader) –