Penamaan Premis Perniagaan Cina: Bahasa, Budaya dan Terjemahan membincangkan dapatan kajian tentang isu budaya, bahasa dan terjemahan dalam penterjemahan nama perniagaan daripada bahasa Cina kepada bahasa Melayu. Masyarakat Cina amat mementingkan penamaan baik nama manusia mahupun nama bukan manusia. Bagi orang Cina, nama yang baik dari segi makna mendatangkan kemajuan dan kebahagiaan kepada empunya nama. Oleh hal yang demikian, premis perniagaan Cina yang lazimnya dalam bahasa Cina mengandungi pelbagai mesej budaya. Namun begitu, mesej budaya ini amat sukar sekali untuk diungkapkan kembali melalui terjemahan bahasa Melayunya. Oleh itu, buku ini menggarap mesej budaya yang tersirat pada versi terjemahan nama perniagaan Cina.
Kesalahan bahasa yang kerap berlaku dalam terjemahan nama perniagaan sehingga wujudnya fenomena pencemaran bahasa turut dicerakin dalam buku ini. Bagi menentukan kualiti terjemahan yang dihasilkan adalah baik, buku ini juga menghuraikan kaedah penterjemahan nama perniagaan Cina daripada bahasa Cina kepada bahasa Melayu. Perbincangan dalam buku ini berdasarkan 1000 nama perniagaan Cina yang dikumpul di sekitar utara Semenanjung Malaysia: iaitu utara Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Data yang dikumpul secara manual daripada pelbagai jenis perniagaan ini dianalisis dari segi makna, tatabahasa dan kaedah penterjemahannya secara kualitatif, Perbandingan makna antara teks sumber dengan teks sasaran dijalankan untuk meneliti fenomena kehilangan makna yang berkemungkinan berlaku. Hukum tatabahasa bahasa Melayu yang menjadi pegangan dalam perbincangan buku ini adalah berlandaskan hukum tatabahasa dalam Tatabahasa Dewan (2004) dan Pedoman Ejaan Rumi Bahasa Melayu (2000).
Hal ini demikian supaya penilaian tatabahasa dengan berpandukan satu piawaian standard lebih mudah dan lebih berkesan untuk dimanfaatkan oleh pengguna bahasa daripada segenap lapisan masyarakat. Dari segi kaedah penterjemahan pula, prosedur terjemahan oleh Peter Newmark dimanfaatkan sebagai kerangka analisis. Contoh yang dikemukakan merupakan contoh sebenar dan bukan contoh rekaan. Segala fakta yang dibincangkan dalam buku ini juga merupakan kenyataan yang dirumuskan berasaskan data yang dikaji. Oleh hal yang demikian, contoh yang diperturunkan dalam buku ini merupakan data yang menunjukkan pola yang berbeza. Data yang polanya adalah sama tidak dikemukakan kesemuanya. Hanya beberapa contoh yang dibincangkan untuk setiap satu pola.
Reviews
There are no reviews yet