Kamus dan Etnisiti: Sains dan Masyarakat bertitik-tolak pada fakta sejarah yang nyata: Keberagaman etnik yang membentuk komuniti yang berbahasa Melayu dan berinteraksi dengan Antonio Pigafetta pada tahun 1521 sehingga dia berjaya mengarang dan menerbitkan kamus Melayu yang pertama. Ringkasnya, kajian ini hendak meninjau hubung kait antara kamus dan etnisiti di Nusantara yang telah berkesinambungan selama lima ratus tahun hingga abad ke-21 ini. Pada tahun 1521, Pigafetta, bangsawan Itali yang bertugas dalam armada Magellan dalam pelayaran yang mengelilingi dunia buat julung kalinya, mencatat kosa kata Melayu di Brunei dan Tidore. Daftar kata Melayu itu diakui sebagai kamus bahasa Melayu tertua. Sejak usaha perintis itu, sudah puluhan, malahan mungkin ratusan, kamus Melayu yang disusun dan diterbitkan. Sememangnya bahasa dunia, seperti bahasa Melayu wajar dirakam, dikaji dan dimanfaatkan oleh warga global. Namun, fokus buku ini bukanlah sejarah perkamusan Melayu, melainkan konteks dan proses penyusunan kamus Melayu serta kamus beberapa bahasa lagi di Nusantara.
Dengan semangat Renaissance dan pendekatan empirikal sezamannya, lima ratus tahun lalu Pigafetta menjalankan kajian lapangannya di dua ibu kota kesultanan, yakni kesultanan Brunei dan kesultanan Tidore. Pada masa itu, di Brunei sebahagian penduduknya bukan orang Melayu tetap1 penduduk suku lain yang berasal dari Pulau Borneo juga, serta orang Manila, yang pada masa itu berpindah dari jajahan Brunei di Luzon ke pusat pemerintahan Brunei di Borneo, misalnya pemimpin angkatan laut kesultanan Brunei. Begitu juga, di Tidore serta pulau di sekelilingnya, seperti Ternate dan Halmahera (Jailolo), penduduknya bukan orang Melayu tetapi orang yang sekerabat dengan orang Papua dan bertuturkan beragam bahasa yang tidak serumpun dengan bahasa Melayu—maksudnya bahasa yang bukan bahasa Austronesia.
Bahasan terbagi kepada dua topik utama. Pertama, wajarlah difikirkan bersama bagaimana kita dapat menyusun kamus nasional monolingual yang mencerminkan kepelbagaian seluruh komuniti penutur bahasa Melayu yang mewakili diversiti warga Nusantara, khususnya Malaysia? Juga perlu difikirkan fungsi kamus Melayu untuk menyampaikan nuansa maknawi kata dan frasa dalam kamus Melayu ekabahasa kepada pengguna yang bukan etnik Melayu. Kedua, perlu dipertimbangkan juga perbezaan antara strategi dalam upaya menyusun Kamus Bahasa Nasional dengan prosedur menyusun kamus bahasa minoriti etnik di Nusantara. Dalam perbincangan tentang kamus bahasa minoriti ini, sorotan utamanya terarah pada kamus dwibahasa—suatu topik yang penuh dengan rintangan sosial dan semantik. Dua topik ini, yakni Kamus Bahasa Nasional dan kamus bahasa minoriti, menyangkut metode perkamusan, tetapi juga isu etika kesarjanaan. Kesimpulan bertujuan membahas kaedah saintifik dan etika sosial yang berkaitan ini.
Reviews
There are no reviews yet