Etnik Bidayuh dan Bale Gambang-Baruk: Identiti, Tradisi dan Perubahan mengemukakan aspek tradisi, adat, norma, peraturan, modenisasi dan perubahan dalam membentuk budaya harian Bidayuh, aspek penekanan peranan dan kepentingan institusi Baruk dalam ‘mengawal selia’ adat dalam konteks peraturan sosial dan perundangan pada setiap binua Bidayuh. Dalam ilmu budaya, kawalan sosial ialah proses komuniti masyarakat berusaha memastikan pematuhan kepada nilai-nilai yang dipercaya mereka dan norma-norma yang wujud zaman berzaman. Proses ini berlaku secara tidak formal seperti melalui adat, norma, jangkaan mahupun secara formal seperti melalui penggunaan peraturan atau undang-undang rasmi. Usaha ini cuba menggali makna terpendam dalam konteks budaya tempatan, cuba memahami dan mencatat rujukan-rujukan khusus, tentang perilaku sosial dan manusia, mengumpul dan menjejak untuk memberikan makna, interpretasi peristiwa sosial, yang memerikan tingkah laku tempatan yang sesuai dengan konsep Thick Description saranan Clifford Geertz.
Bagi etnik Bidayuh, buku ini penting bagi sebagai dokumentasi budaya dan perubahan nilai, kesinambungan budaya, pemahaman aspek pembaharuan tradisi dalam kehidupan mereka, dampak modenisasi dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat setempat mereka. Dengan menyedari akar umbi dan sejarah kebudayaan mereka, aspek kesedaran identiti dapat dipupuk dan dijadikan sandaran kepada kesatuan Bidayuh. Sebagai etnik yang luwes terhadap perubahan, mementingkan pendidikan, bersikap moderat dan optimis kesemua aspek ini dapat dijejak dalam sejarah kebudayaan kalangan masyarakat Bidayuh. Buku ini sesuai bagi pembaca umum untuk mengenali etnik Bidayuh dan kebudayaan negeri Sarawak dan dunia Borneo-Kalimantan. Ini penting bagi memahami kepelbagaian budaya yang ada di Sarawak. Maka tiba masanya masyarakat umum untuk bersama-sama mengenali etnik Bidayuh melalui pembacaan buku ini bagi meraikan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia.
Reviews
There are no reviews yet