Kitab Mukadimah merupakan jilid pertama daripada kitab yang lebih besar, iaitu Kitab al-‘Ibar, sebuah percubaan Ibn Khaldun untuk menulis sejarah universal umat manusia sepanjang sejarah yang diketahui dan mampu diakses oleh beliau. Bukan itu sahaja, sebelum bermula menghuraikan sejarah segala umat dan bangsa yang ada di muka bumi, beliau berusaha menghuraikan dahulu jenis-jenis masyarakat, bagaimana masyarakat berubah, hubungan masyarakat dengan budaya dan persekitarannya masing-masing, dan pelbagai inkuiri lagi. Oleh sebab itulah, menurut ramai pemikir zaman moden ini, Ibn Khaldun selayaknya diangkat sebagai pengasas ilmu sosiologi moden.
Sejak 600 tahun dahulu, dunia Islam mengenali dan menyanjung Ibn Khaldun sebagai satu sosok pemikir, filsuf, penulis, ahli sosiologi, dan politikus besar yang telah mewarnai sejarah dunia. Beliau lahir di Tunis ketika kesatuan umat Islam sedang terancam dengan ancaman dalaman dan luaran. Sebagai saksi mata terhadap kucar-kacir dan segala perubahan masyarakat yang berlaku, beliau menumpahkan ideanya dalam tulisan-tulisan serta makar politiknya.
Selain itu, Ibn Khaldun juga melakukan percubaan untuk mendefinisikan ketamadunan manusia berserta ciri-cirinya. Setelah ribuan tahun manusia bertamadun, dan setelah banyak percubaan untuk menghuraikan persoalan ketamadunan, Ibn Khaldun turut meneruskan usaha ini. Perkara ini adalah penting supaya kerangka pemahaman kita terhadap sejarah menjadi Iebih terpandu, berpaksikan konteks yang jelas, dan tidak mencampuradukkan konteks-konteks kemasyarakatan yang berbeza tamadunnya.
Reviews
There are no reviews yet