Ensiklopedia Sastera Melayu mengandungi sekian banyak maklumat penting tentang khazanah sastera Melayu, baik sastera tradisional mahupun sastera moden, yang terkandung dalam 46 tema besar dan diikuti oleh beberapa subtema yang berkaitan, dan ditulis dengan bahasa yang mudah difahami oleh pembaca sasaran. Maklumat dalam ensiklopedia ini boleh dirujuk dan dibaca secara berasingan bagi memudahkan pembaca mendapatkan maklumat yang perlu dan berkaitan dengan segera dan pantas. Maklumat ini disertai pula dengan ilustrasi, gambar foto dan bahan grafik yang lain; bukan hanya sebagai hiasan tetapi untuk memperjelas dan memperlengkap maklumat yang berkenaan. Ensiklopedia ini ingin mendekati pembaca dengan kebiasaan mutakhirnya. Selain teks yang padat, yang mengajak pembaca menikmati hasil dan pencapaian sastera, pelawaan dibuat kepada pembaca supaya terus menyelidik dan merujuk kepada tema, watak, pengarang, persoalan, genre dan juga kekayaan imaginasinya. Teks ini pula ditambah paparan grafik—foto, garis masa, contoh manuskrip tulisan tangan, sketsa, peta serta petikan dan contoh yang melengkapkan perbincangan. Ensiklopedia ini juga diharapkan dapat mendefinisikan tempat dan tugas sastera dalam masyarakat Malaysia yang sentiasa berkembang dan berubah.
Pada umumnya, konsep susunan ensiklopedia ini tidak berdasarkan entri urutan abjad atau perkembangan sejarah kesusasteraan. Sebaliknya, konsep susunannya berdasarkan pembahagian kepada tajuk-tajuk utama, yang dianggap penting, misalnya sastera tradisional, perkembangan sastera moden dan sebagainya. Setiap tajuk utama itu didahului dengan pengenalan singkat yang dikuti pula oleh beberapa persoalan atau tema yang dipilih dengan tajuk-tajuk berkaitan yang lebih baharu, untuk menarik perhatian pembaca dan dengan kesedaran bahawa sastera Melayu dan pengajian tentangnya telah banyak berkembang dan wajib dibuktikan kehadirannya. Ensiklopedia ini juga ingin menawarkan maklumat tentang sastera yang diundahkan pula dengan cara sastera yang lebih peka bahasa dan imaginasi. Oleh itu, gayanya lebih mesra sastera, namun dasar akademik tidak diabaikan.
Sebuah ensiklopedia yang memberi fokus kepada sastera Melayu berhadapan dengan takrif “Sastera” dan “Melayu”, dan akhirnya cakupan dan ruang lingkup waktunya. Sastera sebagai seni bahasa berkembang dan berubah-ubah. Walaupun istilah ini sering dikhususkan hanya kepada karangan yang berbentuk tulisan dan cetakan, namun dalam ensiklopedia ini, sastera lebih merujuk kepada imaginasi dan seninya, daripada membenarkan dirinya terjerat dalam perbalahan tentang pembahagian atau ciri-ciri tulisan atau kelisanannya kerana orang Melayu sendiri tidak melihat sastera daripada pembahagian sedemikian. Yang dipentingkan ialah keindahannya dan sumbangannya kepada makna hidup sesebuah masyarakat atau individu.
Persoalan siapakah Melayu itu muncul agak awal dalam Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah, yang melihat bangsa ini sebagai majmuk latar keturunan dan darah yang mengalir di dalam uratnya. Dunia intelektualnya pula diperkaya oleh tradisi tempatan dan unsur-unsur yang memasuki daerah ini melalui agama, perdagangan dan penjajahan. Tanpa memasuki perdebatan yang rumit ini takrif yang digunakan di sini mementingkan dua hal: pertama, Melayu etnik dan kedua, “Melayu” daerah, atau Alam Melayu. Melayu etnik di Malaysia merujuk kepada penduduk peribumi dan bumiputera. Oleh itu, karya sastera kaum peribumi Sarawak dan Sabah turut digolongkan dalam sastera “Melayu” daerah atau “Alam Melayu”. Oleh sebab sastera diciptakan untuk semua golongan dan bangsa, maka untuk tujuan Ensiklopedia Sastera Melayu yang dihasilkan dalam bahasa Melayu, semuanya dianggap sebagai sastera Melayu.
Ensiklopedia Sastera Melayu yang mencakupi seluruh zaman sastera tradisional Nusantara dan sastera moden Malaysia membentangkan banyak genre, pengarang, persoalan serta pemikiran teoretikal bidang ini. Oleh yang demikian, penulis entri juga dipilih dari suatu daerah ilmu yang luas, pada umumnya ahli akademik yang ternama dari dalam dan luar negara, serta sarjana dari Malaysia, Indonesia dan Eropah. Setiapnya dipilih kerana pencapaiannya dalam bidang pengkhususan masing-masing. Sementara itu, diberikan ruang kepada beberapa orang pengkaji baharu untuk memberikan pengiktirafan kepada bakat dan sumbangan mereka, yang juga memerlukan penyerlahan. Di akhir ensiklopedia ini, disediakan indeks untuk rujukan langsung yang diharap dapat membantu pengkaji. Demikian pula bibliografi untuk rujukan yang lebih luas dan saksama.
Reviews
There are no reviews yet