Kemakmuran Ekonomi Tanpa Riba menyajikan isu ekonomi yang sedang melanda hampir semua negara, iaitu isu riba. Hal ini tidak terkecuali bagi negara Malaysia kerana panduan utama dalam menggubal polisi dilihat tidak mematuhi panduan syariah. Bagi memahami isu ini, penulis mengupas kaitan antara isu riba dan ekonomi dengan menelusuri sejarah perkembangan industri perbankan yang mempunyai unsur riba dan kesan negatif industri ini kepada masyarakat di beberapa negara termasuk Malaysia. Beberapa cadangan alternatif dikemukakan sebagai alternatif kepada hutang dan riba dan penulis memfokuskan penulisan ini untuk mereka yang terlibat dalam kerja-kerja dakwah dan pengislahan masyarakat, ahli akademik, penggubal dasar, pelajar dan orang awam yang yakin bahawa penyelesaian kepada masalah ekonomi masyarakat sebenarnya terkandung dalam ajaran Islam.
Objektif utama buku ini adalah untuk membuktikan bahawa sistem ekonomi yang diamalkan ialah punca utama masalah ekonomi yang berlaku di seluruh dunia. Negara yang mengamalkan sistem ekonomi berteraskan sistem riba, terdapat industri hutang yang memainkan peranan besar dalam pertumbuhan ekonomi negara. Lambat-laun negara berkenaan akan menghadapi masalah ekonomi yang teruk, terutamanya dari aspek peluang pekerjaan dan kos sara hidup. Kesannya, rakyat hidup dalam keadaan tertekan dan sengsara. Tambahan pula, apabila berlaku bencana seperti pandemik COVID-19, kesengsaraan rakyat bertambah disebabkan aktiviti ekonomi yang terpaksa diperlahankan sedangkan tahap keterhutangan dalam ekonomi negara adalah tinggi dan meluas sama ada bagi individu, syarikat mahupun kerajaan.
Sudah tentu keadaan kesengsaraan rakyat akan lebih parah apabila pemimpin di negara tersebut korup dan wujud masalah pembaziran ekonomi seperti yang sedang berlaku di Lebanon, Pakistan, India dan kebanyakan negara di benua Afrika. Namun begitu, bagi negara yang tidak mempunyai masalah korupsi yang tinggi, negara berkenaan masih tetap akan menghadapi situasi ekonomi yang mencabar sekiranya sistem riba diamalkan dan hutang dijadikan industri yang besar dalam menyokong perkembangan ekonominya. Buku ini akan mengupas dan menerangkan isu ini dengan menelusuri sejarah perkembangan industri perbankan dan seterusnya membincangkan kesan negatif terhadap masyarakat di beberapa negara termasuk di negara kita sendiri.
Reviews
There are no reviews yet