Adat Resam dan Pantang Larang Suku Kaum di Sabah menghimpunkan enam suku di Sabah yang meliputi adat dan pantang larang kelahiran, perkahwinan dan kematian suku Bajau Sama, Kadazandusun, Iranun, Rungus, Bisaya dan Bonggi. Semua suku yang diperkatakan dalam buku ini menggambarkan suku tersebut secara keseluruhannya, kecuali suku Kadazandusun dan Bajau Sama. Perbincangan tentang adat resam dan pantang larang suku Kadazandusun dalam buku ini hanya dihadkan kepada Kadazan di daerah Penampang. Suku Bajau Sama pula merujuk Bajau Sama di pantai barat selatan, yakni dari Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu dan Papar. Oleh sebab itu, pastinya terdapat beberapa kelainan dalam adat resam dan pantang larang Kadazandusun di daerah atau subsuku yang lain seperti Lotud, Murut dan Liwan. Begitu juga subsuku Bajau Sama yang lain seperti Bajau Ubian dan Pala’u.
Buku ini dihasilkan melalui kajian pustaka, penyelidikan dan temu ramah para penulis dengan informan dalam kalangan suku yang terlibat. Bagi tujuan penulisan buku ini, penulis setiap bab yang dilantik merupakan penutur asli suku yang berkenaan. Penyelidikan telah dilakukan secara mendalam. Temu ramah dengan informan tertentu dilakukan untuk memperoleh data yang tepat tentang adat resam dan pantang larang dalam suku tersebut. Buku ini dihasilkan untuk memberi maklumat yang rinci dan tepat tentang adat resam dan pantang larang beberapa suku di Sabah. Sebelum ini, belum ada sumber rujukan yang khusus tentang hal ini yang boleh dijadikan rujukan masyarakat, terutama para penyelidik dan masyarakat luar.
Suku-suku yang dipilih ini merupakan antara suku yang utama di Sabah dan sesetengahnya merupakan suku yang kurang diperkatakan dalam kalangan masyarakat pada peringkat kebangsaan. Oleh sebab itu, penerbitan buku ini merupakan usaha rintis untuk mengetengahkan kekayaan dan keunikan adat resam dan pantang larang suku di Sabah yang mempunyai pertembungan antara warisan animisme dengan yang telah disesuaikan setelah mereka memeluk agama tertentu seperti Islam dan Kristian. Kepelbagaian suku di Sabah turut mewarnai adat resam dan pantang larang suku-suku di Sabah. Hasil tulisan ini pastinya dapat menjadi sumber rujukan dan bacaan masyarakat yang memerlukan maklumat tentang adat resam dan pantang larang suku di Sabah.
Reviews
There are no reviews yet