Buku Politik al-Imam cuba membetulkan beberapa kekeliruan dan salah tanggap sarjana-sarjana terdahulu terhadap al-Imam dan, pada masa yang sama, memberikan landasan pandangan baru terhadap asal usul perjuangan kemerdekaan masyarakat Nusantara yang bermula pada dekad pertama kurun ke-20. Majalah al-Imam ialah majalah golongan islah-Islamiah yang sangat terkenal kerana majalah ini sering disebut-sebut oleh para sarjana sejarah Nusantara moden apabila membicarakan tentang kebangkitan perjuangan kemerdekaan di rantau ini. Namun, kebanyakan tulisan itu membuat gambaran sambil lalu sahaja dan kadang-kadang mengelirukan.
Penelitian dan perbincangan buku ini tertumpu kepada tema politik. Dengan memberikan latar belakang sejarah masyarakat Islam sejagat, penulis cuba memberikan tafsiran tentang saranan perjuangan islah berhubung dengan keburukan politik penjajah Eropah dan menyarankan pembacanya supaya menjelaskan diri daripada belenggu penjajahan kuasa-kuasa Barat itu.
Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara-negara di Nusantara, Semenanjung Tanah Melayu khususnya, kajian sejarah hingga kini menunjukkan adanya tanda-tanda bahawa golongan berpendidikan Islam dari Timur Tengah telah memulakan satu tradisi politik antiimperialisme. Fakta sejarah ini, sejak awal kurun ke-20 hingga negara kita mencapai kemerdekaan, masih belum lagi diberikan penelitian ilmiah yang mendalam kecuali sejarahnya dilihat secara sepintas lalu; kes-kesnya kelihatan seolah-olah berlaku dalam keterasingan dari sejarah induk (menyeluruh) kumpulan elit yang memperjuangkan kemerdekaan itu.
Bayangan daripada tradisi persejarahan itu juga menunjukkan bahawa kelemahan ini sebagai kesan pendekatan sejarah itu yang lebih menumpukan kajiannya kepada peranan elit-elit berpendidikan Barat yang diberikan oleh pemerintah British (lulusan sekolah bumiputera dan Inggeris) yang dikatakan telah berjaya merampas kemerdekaan daripada penjajah. Begitu juga dengan kesan awal dalam tradisi persejarahan itu (selepas kemerdekaan dicapai) yang ditimbulkan oleh sarjana-sarjana dalam sejarah tempatan yang menunjukkan rata-ratanya pejuang kemerdekaan itu adalah terdiri daripada elit berpendidikan Barat.
Sebahagian daripada sebab atau keadaan yang menimbulkan kesan serupa ini ialah kekeliruan sebahagian sarjana-sarjana sejarah politik, khususnya yang mencari titik tolak perjuangan kemerdekaan negara-negara di rantau ini. Kes sejarah yang berkaitan dengan dakwaan ini ialah majalah al-Imam, yang selama ini dipandang sebagai majalah berunsur Islam atau yang gambaran yang paling progresif setakat ini dikatakan sebagai majalah yang berorientasikan politik. Penulis merasakan ada kekeliruan tafsiran terhadap majalah dan seterusnya golongan al-Imam ini dalam penulisan sejarah politik Indonesia dan Malaysia.
Bagi penulis, al-Imam ialah sebuah majalah politik masyarakat Islam di rantau ini, mungkin yang pertama cuba menyusun satu perjuangan anti-imperialisme, yang bermakna juga, yang pertama menyuarakan perjuangan kemerdekaan masyarakat serantau dengan cara baru atau moden. Penelitian yang penulis lakukan terhadap majalah ini. cuba mengkhususkan sorotan secara agak lebih terperinci daripada yang pernah dilakukan oleh sarjana-sarjana sehingga kini, tentang gagasan-gagasan politiknya. Hal ini mungkin disebabkan terdapat banyak kekurangan dalam kajian sarjana-sarjana yang lalu. Sementara itu, tulisan ini juga membuka peluang kepada sarjana-sarjana lain untuk sama-sama menyaksikan sendiri makalah-makalah yang dipaparkan dalam al-Imam yang berkaitan dengan persoalan politik itu. Untuk itu beberapa artikel berkaitan telah diperturunkan sebagai lampiran kepada buku ini.
Stanley Jana (Verified Reader) –