Anggerik Cinta Shahnon Ahmad ini merupakan gabungan untaian bicara oleh beberapa penulis yang mengagumi Shahnon Ahmad. Mereka mengetengahkan idea dan menggarapnya dengan jelas menerusi cara dan gaya masing-masing.
Shahnon Ahmad ialah Sasterawan Negara yang telah melakukan proses transformasi sosial berasaskan acuan pemikirannya yang dijelmakan dalam pelbagai genre kesusasteraan, terutamanya novel dan cerpen. Beliau dikenali sebagai sasterawan yang prolifik serta dengan mata pena yang tajam beliau telah membelah dan menelanjangi zahir batin manusia secara terperinci tetapi tetap mengambil kira tajdid dan islah.
Pengetahuan dan pengalamannya senantiasa bertambah sesuai dengan anjakan paradigma dan globalisasi. Penambahan ini dimanfaatkan secara tuntas untuk mengabdikan diri terhadap masyarakat dengan caranya sendiri. Pengabdiannya yang tidak mengenal jemu itu menjadikan beliau layak digelar Pejuang Sastera serta pelbagai anugerah dikurniakan kepada beliau.
Kepengarangan Shahnon Ahmad wajar dilihat dari kegiatanya menterjemah cerpen sasterawan antarabangsa yang disiarkan dalam majalah Mestika. Sudah pasti dia banyak belajar tentang menulis cerita pendek yang baik, sama ada dari sudut pandang orang pertama, kedua dan ketiga, membangunkan watak dan perwatakan, konflik, membina suspens, meleraikan permasalahan, menulis dialog, monolog dalaman, aliran kesedaran penggunaan dialek daerah terutama dialek sik dari kedah seperti banyak dikemukakan dalam novel Sringenge, Tunggul- tunggul Gerigis.
Anggerik Cinta Shahnon Ahmad adalah Festschrift untuk Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad kerana sumbangsih dan baktinya mewariskan sejumlah besar karya cerpen, novel, esei-esei, drama yang amat berharga bagi tamadun bangsa Malaysia yang sedang mengenal dan membina jati diri dan sahsiahnya.
Reviews
There are no reviews yet