Aroma merupakan sebuah kumpulan puisi S.M. Zakir mengandungi 62 buah sajak yang ditulis dalam suasana dan rasa yang berbeza. Menurut penulis, kata-kata memberikan beliau kekuatan untuk merasai dunia dengan caranya yang tersendiri. Dunia yang tidak terlalu memikirkan apa-apa yang dilakukan oleh atau dengan lain, tetapi dunia yang sentiasa hadir mengikut tabiinya yang tersendiri. Sajak-sajak ini hadir dengan mood dan temperament yang tersendiri, kadang-kadang oleh perasaan yang membugar di hati dan kadang-kadang oleh perasaan mengucup di hati. Namun tidak semua perasaan mempunyai kata-kata. Maka ia tinggal sebagai perasaan yang tidak pernah dapat diucapkan. Wewangian bunga kemboja yang membuatkan perasaan mercup; bunga-bunga kemboja yang berguguran di kuburan yang sunyi menjadikan perasaan kematian datang sebagai sebuah keindahan daripada penghujung kehidupan yang sempurna. Tidak ada kata-kata yang mampu mengucapkan perasaan tentang keindahan kematian. Ia sebuah perjalanan eros kepada thanatos.
Perjalanan yang penuh kebingitan menuju ke dalam kesunyian yang tidak lagi mengeluarkan sebarang kata dan bunyi. Apakah ini segerombolan kata-kata yang datang seperti angin, atau sebuah penyataan sajak yang tidak pernah dapat ditemukan maknanya?
Penulis sendiri mengatakan bahawa beliau tidak pernah dapat menjawab pertanyaan ini.
Reviews
There are no reviews yet