Badai Sastera Melayu Singapura menghimpunkan 64 esei yang pernah diterbitkan dalam akhbar Berita Harian dan Berita Minggu, Singapura yang berfokuskan permasalahan dan kegiatan penulisan sastera Melayu di Singapura sekitar tahun 1972 hingga 1973. Sepanjang tempoh dua tahun tersebut, kegiatan penulisan dan kesusasteraan di Singapura berada pada tahap paling aktif sehingga mencetuskan polemik yang tersendiri.
Awal tahun 1970-an, khususnya 1972 dan 1973, merakam suasana yang agak luar biasa rancaknya bagi bidang penulisan sastera di Singapura. Isu-isu sastera diketengahkan dan dibahas secara terus terang, dengan akhbar Berita Minggu berperanan menyediakan wadah bagi perbincangan itu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tempoh dua tahun itu memperlihatkan para penulis Singapura berada pada tahap paling aktif dalam sejarah penulisan negara ini. Apa yang jelas ialah mereka berani mengkritik antara satu sama lain secara terus terang dan sekali gus mendorong perbahasan yang sihat lagi membina.
Barisan penulis seperti Djamal Tukimin, Abdul Ghani Rukambol, Nor Yusman Abdul Majid, MIA, Ajaki, Noor S.I., Nila Utama dan Tun Mamat adalah antara nama yang mewarnai penulisan ketika itu. Tidak syak lagi, polemik sastera yang berlaku ketika itu, menggambarkan rasa cinta para penulis terhadap dunia penulisan dan sastera, yang secara tidak langsung mencerminkan keinginan mereka untuk melihat bidang sastera berkembang. Sudah terlalu lama suasana seperti itu tidak timbul. Sebahagiannya mungkin kerana jumlah penulis yang agak terbatas jika dibandingkan dengan ketika itu. Namun, ini sama sekali tidak bermakna ia tidak boleh berlaku lagi.
Apa yang diperlukan ialah seseorang untuk “menjolok” sesuatu isu dengan cara yang cukup tajam bagi mendorong yang lain untuk menyahut “jolokan” itu. Namun, sama ada “jolokan” itu akan menjadi, bergantung kepada jumlah penulis yang kita punyai dan tahap keghairahan mereka. Dari masa ke masa kita perlukan polemik sastera berlaku, kerana ia salah satu cara untuk merangsang dunia penulisan sastera negara ini untuk bukan sahaja berkembang, malah mencetuskan suasana segar. Namun, dengan sekitaran yang telah jauh berubah, tugas ini sememangnya cukup mencabar.
Mujur, dalam kalangan kita masih ada penulis-penulis mapan. Kehadiran mereka perlu dimanfaatkan sepenuhnya, kerana di bahu mereka terpikul tugas berat untuk membantu melahirkan penulis-penulis baru. Kehadiran buku ini diharap akan mendorong membangkitkan semula minat yang suatu masa dahulu pernah menyemarakkan dunia kesusasteraan di republik ini. Dengan keazaman dan kegigihan, ia boleh dijadikan satu kenyataan.
Reviews
There are no reviews yet