Banjir Besar Johor menyorot peristiwa banjir besar yang telah menimpa sebahagian besar selatan Semenanjung Malaysia pada November 2006-Januari 2007, khususnya daerah Kota Tinggi dan Johor Selatan. Majlis Keselamatan Negara telah menggerakkan Mekanisme Bantuan Banjir bagi menyelamat dan memindahkan penduduk yang terlibat ke pusat-pusat pemindahan banjir serta keperluan harian turut dibekalkan. Satu kumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia daripada pelbagai bidang kajian telah mengkaji punca dan impak banjir tersebut.
Punca banjir dilihat daripada faktor-faktor topografi, meteorologi, hidrologi dan sistem kawalan dan pengurusan banjir. Impak banjir pada kualiti air, biodiversiti, psikologi mangsa banjir dan ekonomi telah dikaji. Tindakan berterusan meningkatkan sistem kawalan dan amaran banjir disertai dengan peningkatan kesedaran dan pengetahuan masyarakat melalui latihan disyorkan. Beberapa dapatan utama daripada kajian yang telah dilakukan dan saranan bagi langkah pengurusan banjir turut dimuatkan dalam buku ini.
Banjir tahunan lazimnya berlaku di Malaysia mengikut musim. Namun begitu, bencana banjir tidak bersifat menyeluruh dan tidak menyebabkan kerosakan yang besar, manakala tempoh banjir juga adalah singkat sahaja. Sebaliknya pula, banjir besar adalah suatu bencana alam yang tidak dapat diduga, yang melibatkan kawasan yang begitu luas dilimpahi air, serta aras air pula mencapai ketinggian yang luar biasa. Banjir besar menyebabkan kerosakan teruk terhadap harta benda, ternakan dan cucuk tanaman (flora dan fauna), malahan boleh juga berlaku kejadian yang meragut nyawa.
Dalam operasi bantuan yang dilaksanakan oleh UKM itu, lebih 1,000 pelajar berbilang kaum dan latar belakang secara sukarela berulangalik untuk beberapa minggu bagi bergotong-royong membersihkan sekolah, masjid, surau, rumah ibadat, dewan orang ramai dan kawasan perumahan penduduk di kampung Kundang Ulu, sebuah perkampungan di Pagoh, Johor yang mengalami kesan banjir yang teruk.
Berasaskan kerjasama yang telah dijalin antara penduduk dengan UKM melalui gerak kerja bantuan banjir itu, satu persetujuan telah dibuat antara penduduk kampung Kundang Ulu dengan UKM untuk menjadikan kampung tersebut sebagai kampung angkat kepada UKM supaya kerjasama jangka panjang dapat dijalankan. Melalui program kampung angkat ini UKM beriltizam membantu merangka dan melaksana satu pelan pembangunan komprehensif bagi mengurangkan kadar kemiskinan, menghindari wabak penyakit, mempertingkatkan tahap kesihatan dan memulihara alam sekitar.
Di UKM, program ini diuruskan oleh Pejabat Hubungan Universiti-Masyarakat. Melalui program ini beberapa isu dalam konteks pembangunan masyarakat diberi perhatian, iaitu: (1) kemiskinan, (20 literasi dan pendidikan. (3) sumber air dan sanitasi, (4) alam sekitar dan pemuliharaannya, dan (5) kesihatan.
Reviews
There are no reviews yet