Biografi A. Samad Said: Memberi Hati Nurani adalah sebuah biografi perjalanan seni, pengalaman peribadi dan cetusan nurani dirinya. Ia dipersembahkan sebagai sebuah citrawarsa dan warisan negara kepada zaman muak untuk semua golongan pembaca. A. Samad Said ialah nama besar yang dianggap ikon dalam kesusasteraan Malaysia. Beliau, pengarang yang sangat mencintai sastera dan bahasa Melayu dan kecintaan itu terserlah dalam karya-karyanya. Beliau seorang pengarang serba boleh dan menghasilkan karya sastera semenjak tahun 1950-an dalam genre cerpen, sajak, novel dewasa dan kanak-kanak, drama, esei kritikan, autobiografi dan warkah.
Bagi beliau, pengarang dan seniman mempunyai tanggungjawab untuk memerhatikan kepincangan dan mencipta karya untuk memartabatkan insan. Menurutnya, seniman berpijak pada hati nurani lebih daripada bumi ideologi kerana hati nurani akan sentiasa menang jika ia jujur. Hati nurani pengarang adalah penderitaannya dalam kebahagiaan atau kebahagiaannya dalam penderitaan. Secara sedar semua karyanya mengangkat kisah manusia dan kemanusiaan.
Dari segi kepengarangan, A. Samad Said merupakan pengarang yang menulis berdasarkan pengalaman dan menambah pengetahuan melalui pembacaan yang luas. Aktiviti ini berterusan malah sudah menjadi darah dagingnya semenjak remaja sehingga kini. Pengalaman membesar di kota kosmopolitan Singapura semenjak dibawa ke pulau itu semasa berumur enam bulan sehinggalah dewasa dan bekerja di sana sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1959, telah memberikan warna tersendiri kepada karya-karyanya. Ini termasuklah pengalaman keperitan hidup pada zaman pemerintahan tentera Jepun antara tahun 1941-1945 yang digarapnya dalam beberapa buah novelnya seperti Sungai Mengalir Lesu (1967), Di Hadapan Pulau (1978), dan Keledang (1978).
Secara sedar pengalaman duka dan lara hidup pada zaman pemerintahan Jepun itu pada dasarnya merupakan penjejakan kembali kepada kenangan itu. Penggarapan pengalaman pada zaman perang itu juga kerana beliau menyedari bahawa banyak pengarang terkenal Barat mengangkat kisah perang dalam karya mereka. Novel Dr. Zhivago (1958) karya Boris Pasternak adalah novel yang paling digemarinya. Novel itu terus-menerus diulang baca setiap tahun semenjak tahun 1957. Kesan kepahitan hidup pada zaman pemerintahan Jepun itu banyak digarap dalam genre cerpen dan novel yang dihasilkan sebelum tahun 1980. Selepas tahun 1980, lukisan kepahitan perang itu terus diangkat melalui pengalaman beberapa orang wataknya yang kerap kali dimunculkan dalam karya dan menjadi sebagai kenangan abadi.
A. Samad Said paling menonjol dalam genre novel. Novelnya yang paling terkenal dan banyak dibaca serta dibincangkan oleh pengkaji dan peminat sastera ialah Salina (1961). Novel ini juga menimbulkan pelbagai kontroversi sejak awal kelahirannya sebagai pemenang hadiah penghargaan dalam Peraduan Menulis Novel 1958. Walaupun hanya meraih hadiah penghargaan dalam peraduan itu, tetapi semenjak diterbitkan pada 1961 novel ini telah dicetak beberapa kali dan telah dipilih sebagai sebuah Novel Pilihan Karya Abad 20 daripada 42 buah novel Malaysia yang diterbitkan semenjak tahun 1925 hingg4 1999 dan dicetak dalam edisi mewah pada tahun 2003.
Reviews
There are no reviews yet