Biografi Ishak Shari: Pejuang Bumi Semua Manusia yang dititip oleh Mohamed Salleh Lamry, memperihalkan kisah hidup seorang sarjana, pemikir dan intelektual awam yang telah membuat sumbangan penting kepada bidang ilmu serta pembangunan negara dan masyarakat melalui pelbagai peranan yang dimainkannya baik semasa beliau berada di UKM selama hampir 30 tahun (1972-2001) mahupun di luar UKM dalam pelbagai kapasiti. Ishak aktif dalam gerakan pelajar semenjak usia mudanya, sewaktu beliau menjadi mahasiswa di London pada akhir 1960-an. Pemahaman tentang suasana politik serta perkembangan dunia ilmu di Britain, Eropah Barat dan Amerika Syarikat pada 1960-an dan awal 1970-an amat penting bagi menghayati pembentukan intelektual sejumlah mereka yang berada di United Kingdom termasuk Ishak.
Suasana politik di sana pada zamar itu memang cukup bergelora dengan kebangkitan mahasiswa dan rakyat menentang rasisme, imperialisme dan perang pencerobohan Amerika Syarikat khususnya ke atas Vietnam, menentang zionisme Israel dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, menentang perluasan senjata nuklear oleh kuasa-kuasa besar serta menuntut demokrasi, keadilan sosial, kemerdekaan sejati dan kebebasan. Gerakan solidariti rakyat Dunia Ketiga melawan neokolonialisme dan imperialisme juga semakin berkembang manakala kebangkitan negara-negara sosialis seperti China dan Cuba juga begitu menarik perhatian dunia.
Sementara itu, khazanah ilmu yang kaya-raya serta ruang intelektual yang terbuka luas menggamit minda dan menawan imaginasi intelektual muda yang berkelana menuntut ilmu berpandukan semangat yang amat peka kepada soal kemanusiaan khususnya isu kemunduran dan pembangunan masyarakat negara-negara bekas tanah jajahan. Antara bidang ilmu yang menawan imaginasi para pelajar ketika itu seperti Ishak ialah ilmu ekonomi politik yang antara lain menganjurkan teori ketergantungan. Walaupun terdapat kekurangannya, ilmu ini mampu menghuraikan dengan jitu bagaimana syarikat-syarikat gergasi multinasional—yang didukung oleh hegemoni politik kuasa besar yang menunjang sistem kapitalisme—menguasai dan membolot kekayaan ekonomi negara-negara bekas tanah jajahan di Dunia Ketiga, dengan membawa kekayaan dan kemakmuran kepada metropolis di Barat tetapi mengakibatkan kemunduran dan keterbelakangan kepada negara-negara bekas tanah jajahan di pinggiran.
Perspektif teori ilmu ekonomi politik inilah yang menjadi pegangan Ishak semasa di luar negara dan diperteguhkan dengan kajian-kajian empirikal masyarakat sekembalinya ke tanah air. Walaupun beberapa aspek teori ini dikritiknya kemudian, namun beliau memperkayakannya lagi dengan teori baharu mengenai peranan negara, pasaran dan masyarakat sivil dalam pembangunan khususnya bagi menangani kemiskinan dan ketaksamaan di bawah dampak globalisasi neoliberal pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21. Daripada kajian dan renungan teori dan empirikal ini lahirlah ungkapan yang hebat gemanya yang beliau gunakan iaitu berjuang demi mewujudkan “Bumi Semua Manusia” dalam syarahan perdana profesornya yang disampaikan pada 1999. Ungkapan inilah yang menjadi ilham bagi judul biografi ini dan menjadi semangat yang menjiwai keseluruhan penulisannya.
Penerbitan biografi ini memang suatu penghormatan yang amat perlu serta kena pada tempat dan masanya bagi mengenangi dan merakamkan sumbangan dan jasa besar Ishak. Sementara biografi ini melukiskan latar belakang pendidikan dan sejarah pemikiran dan praktik Ishak, ia juga merakamkan sebahagian sejarah politik, intelektual dan sosiobudaya yang penting tanah air kita khususnya yang dilaluli oleh generasi pasca-Merdeka dan bagaimana seorang sarjana, intelektual awam dan pemikir seperti Ishak terlibat dalam arus zaman berkenaan. Contoh Ishak Shari yang dipaparkan dalam biografi ini merupakan sesuatu yang amat berharga yang boleh dipelajari dan diteladani oleh generasi demi generasi negara kita.
Reviews
There are no reviews yet