Bumi Semua Manusia: Menangani Ketidaksetaraan Ekonomi dalam Arus Globalisasi

ISHAK SHARI (1948-2001) adalah bekas Profesor dan bekas Pengarah di Institute of Malaysian and International Studies (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penerbit UKM (Cetakan Kedua, 2004)
66 halaman termasuk Rujukan

RM20.00

In stock

Bumi Semua Manusia: Menangani Ketidaksetaraan Ekonomi dalam Arus Globalisasi dipersembahkan sebagai Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia oleh Ishak Shari pada 15 September 1999. Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, negara-negara membangun telah berusaha melaksanakan pelbagai strategi untuk mengatasi kemunduran dan kemiskinan. Tetapi sehingga kini, cita-cita itu masih belum terlaksana. Di ambang abad ke-21, jurang perbezaan di antara segelintir penduduk yang kaya dengan penduduk miskin semakin melebar. Satu perkara pokok dalam menangani permasalahan pembangunan yang saksama ialah persoalan susun atur institusi, terutama hubungan di antara pasaran dengan negara, dalam mengkoordinasi kegiatan ekonomi bagi menangani dunia yang sedang dilanda oleh arus globalisasi.

Pemikiran neo-liberal sentiasa menganggap pasaran sebagai institusi unggul dan bersifat sejagat dalam mengurus kegiatan ekonomi dan harus diberi keutamaan dalam proses pembangunan manakala negara dianggap tidak cekap dan peranannya harus diperkecilkan. Namun demikian berdasarkan pengalaman pembangunan negara yang lewat mengindustri, terdapat aliran pemikiran alternatif yang menolak pandangan neo-liberal dan menghujahkan bahawa kejayaan negara perindustrian baru (NIC) di Asia dalam mencapai pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan dan ketidaksetaraan pendapatan adalah kerana campur tangan negara. Akan tetapi, sejak awal 1990, di bawah pengaruh pemikiran neo-liberal serta desakan kuasa besar dan institusi antarabangsa (seperti IMF dan WTO), pelbagai NIB telah melaksanakan dasar liberalisasi, deregulasi dan penswastaan yang mengakibatkan matlamat pembangunan ekonomi yang saksama semakin kurang tercapai.

Usaha negara-negara ini ke arah matlamat tersebut menjadi lebih sukar setelah dilanda krisis yang teruk pada penghujung 1990-an. Dalam konteks Malaysia, pengalaman krisis itu seharusnya memberi kesedaran akan bahaya tergelincir kepada situasi ketika negara baru mencapai kemerdekaan. Ternyata sistem ekonomi global sukar diharapkan untuk dapat mengutamakan pembangunan saksama sekiranya tiada kawalan kelompok kolektif, termasuk negara. Oleh yang demikian, negara boleh dan perlu bertindak untuk mengelak ketidakserataan yang lebih buruk pada peringkat global dan dalam negeri. Sungguhpun begitu masalah yang timbul berkaitan dengan penglibatan negara dalam pembangunan, khususnya ketidakcekapannya, tunduknya negara kepada kehendak modal dan kecenderungan negara menindas individu dan institusi sosial, perlu diberi perhatian. Sebagai kuasa pengimbang, masyarakat sivil dengan pemberdayaan penduduk perlu dikembangkan, meskipun usaha ini tidak terlepas daripada pelbagai masalah.

Apakah bentuk sebenar hubungan di antara pasaran, negara dan masyarakat sivil yang dapat mewujudkan bumi bagi semua manusia adalah isu yang kompleks dan memerlukan penelitian mendalam oleh para sarjana pengajian pembangunan. Jawapan yang dikemukakan oleh beberapa teori pembangunan sedia ada belum mencukupi. Ini menunjukkan bahawa pengajian pembangunan jauh daripada terkubur; sebaliknya cabaran-cabaran baru ini memerlukan para pengkaji dalam bidang pengajian pembangunan mengkonstruksi semula korpus teori pembangunan.

1. Abtrak
2. Abstract
3. Teks Syarahan
4. Nota
5. Rujukan
6. Biodata

Weight0.115 kg
Dimensions22.9 × 15.2 × 0.4 cm
Author(s)

Format

Class

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.