Dato’ Onn Ja’afar: Pengasas Kemerdekaan tulisan Ramlah Adam membicarakan satu tajuk penting dalam sejarah politik Malaysia. Sungguhpun sebelum ini telah banyak terhasil karya yang menyentuh tentang Dato’ Onn Ja’afar tetapi kajian ini lebih lengkap, menyeluruh dan mendalam, hasil penyelidikan yang luas dan teliti. Buku ini menghuraikan kerjaya Dato’ Onn Ja’afar dari tahun 1930 hingga 1962 dengan menitikberatkan peranan beliau dalam kegiatan nasionalisme politik dan pentadbiran Tanah Melayu. Aktiviti-aktiviti, idea-idea dan perjuangan Dato’ Onn Ja’afar dikaji dengan menggunakan bahan-bahan sejarah asas dan kedua. Kepentingannya sebagai pegawai tadbir dan berpengalaman luas dan terlibat dalam penyediaan struktur kerajaan negeri, RIDA dan Persekutuan Tanah Melayu dikemukakan bagi melihat kedudukannya dalam sejarah politik Malaysia.
Penekanan ini akan mencabar pendapat lama yang sangat beku terhadap Dato’ Onn Ja’afar tanpa menafikan kegagalannya pada akhir kerjayanya. Dalam kajian yang ada, Dato’ Onn hanya dilihat sebagai pemimpin Melayu. Ini kurang tepat, kerana cadangan dan tindakan Dato’ Onn dari tahun 1949 sehingga 1955 melalui Communities Liaison Committee (CLC) 1949, pembukaan UMNO 1951, Kerakyatan Negeri 1951, Independence of Malaya Party 1951-1953 dan Parti Negara 1954-1955, memperlihatkan tindakannya yang bersifat tidak pro Melayu. Usahanya ini gagal, tetapi ia menunjukkan percubaan Dato’ Onn untuk menjadi pemimpin Tanah Melayu.
Kegagalannya pula mengajar Perikatan supaya bersifat perkauman dalam politik Tanah Melayu. Kerjasama dibuat bukan di dalam sebuah parti politik seperti IMP tetapi melalui gabungan parti-parti politik perkauman (UMNO, MCA, MIC) dalam sebuah parti yang besar. Perikatan berjaya membentuk kerajaan yang mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Namun, masalah perkauman terus berlanjut sehingga hari ini.
Mohamad Haziq Amaluddin (Verified Reader) –