Dialog Antara Agama di Malaysia merupakan sebuah buku yang meneliti dan menganalisis konsep asas dialog antara agama dari segi pendefinisian. Buku ini bertujuan untuk memaparkan dan melihat unsur-unsur yang wujud dalam definisi perkataan dialog dalam penggunaan istilah bahasa agar definisi yang tepat dan jelas dapat dibangunkan dan difahami. Selain konsep asas dialog seperti tujuan dialog, prinsip dialog, panduan dialog, metodologi dialog dan peraturan dialog turut dibahaskan, di samping itu, perbincangan dialog dalam al-Quran, hubungan dialog dengan dakwah dan debat turut diteliti. Dalam pada itu, realiti aplikasi dialog antara agama daripada perspektif Islam seperti dialog yang di aplikasi oleh Nabi Muhammad SAW dan perspektif Barat turut dibahaskan agar perbezaan jelas dapat diketengahkan.
Oleh itu, perbahasan ini akan dapat menjadi panduan kepada sesiapa yang ingin terlibat dalam pelaksanaan dialog antara agama terutama bagi masyarakat Muslim. Memandangkan tidak terdapat sebarang penulisan berkaitan dengan debat, pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia yang memberi fokus pada peringkat awal pelaksanaannya maka buku ini akan dapat mengisi ruang tersebut kerana penulis telah memberi penumpuan yang khusus berkaitan dengan realiti pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia sekitar tahun 1980-2003.
Antara fokus perbahasan termasuklah sejarah awal perkembangan dialog, faktor pelaksanaan serta realiti aplikasi dialog antara agama pada peringkat permulaan. Maka dengan perbahasan yang mendalam dari segi konseptual sehingga ke peringkat realiti pelaksanaan dialog, sudah pasti buku ini amat penting dan signifikan untuk dibaca dan difahami bagi seluruh masyarakat yang berbilang agama seperti di Malaysia terutama bagi kumpulan agama yang terlibat secara khusus dalam pelaksanaan dialog mahupun pengkaji dialog antara agama.
Buku ini turut membincangkan dengan lebih mendalam realiti aplikasi dialog antara agama di Malaysia yang mula bertapak dan mendapat perhatian serius dalam kalangan pemimpin-pemimpin agama, para sarjana, badan bukan kerajaan, majlis-majlis setiap agama dan aktivis masyarakat bermula sekitar 1980-an. Walau bagaimanapun, penulis hanya akan menumpukan perbahasan terhadap realiti aplikasi dua organisasi yang terpilih, iaitu Inter-Faith Spiritual Fellowship (INSaF) dan Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya (PDP) untuk menghuraikan aplikasi dan suasana pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia antara tahun 1980-2003.
Reviews
There are no reviews yet