Entelah: Leka Main Masyarakat Iban memuatkan dokumentasi entelah yang telah dikutip di lapangan terutama daripada orang perseorangan yang berasal dari Kampung Senga Sebauh, Kampung Libai Subis dan Kampung Tiris Subis, Sarawak. Data telah dikumpul, diterjemah dan disusun mengikut klasifikasi bentuk dan strukturnya. Entelah yang dihasilkan oleh masyarakat Iban selain memiliki fungsi untuk menghibur, ia juga merupakan satu kaedah beriteraksi sambil mendidik dan menguji minda. Entelah Iban sangat menarik dan unik kerana bentuk strukturnya yang memiliki kandungan pernyataan/suar, tempat/ menua, pembayang/ulu lungga dan jawapan/lalai. Struktur ini agak berbeza dengan teka-teki lain yang ada di dunia kerana ia bukan sahaja mempunyai pembayang tetapi memiliki tempat (menua). Tema-tema yang mendasari penciptaan entelah pula dikaitkan dengan persekitaran masyarakat Iban yang diklasifikasikan kepada tema anatomi manusia, tema flora dan fauna dan tema peralatan harian. Buku ini turut mengklasifikasikan entelah Iban kepada klasifikasi tertentu berdasarkan pembayangnya.
Entelah merupakan sastera lisan yang penting dalam masyarakat Iban dan diwarisi secara turun-temurun sehingga kini. Sebagaimana kewujudan teka-teki di Kepulauan Nusantara, tentu sahaja kewujudan entelah masih tidak dapat dibuktikan tentang siapa, bila dan di mana entelah tersebut dicipta. Kewujudan entelah berasal daripada kebijaksanaan ketua suku kaum Iban zaman dahulu kala yang telah lahir di muka bumi ini. Kebijaksanaan generasi ini diperturunkan kepada generasi sekarang dengan mengadaptasikan keadaan persekitaran seperti alam sekitar dan kehidupan seharian sebagai kandungan pernyataan atau suar dalam entelah mereka. Justeru, entelah dikategorikan sebagai salah satu sastera lisan masyarakat Iban yang tidak ternilai harganya. Walaupun tidak menerima sebarang pendidikan formal, tetapi bahasa yang digunakan oleh pencipta entelah amat indah. Entelah merupakan hak milik bersama (kepunyaan) kaum Iban. Ia hidup dalam masyarakat Iban tradisional secara lisan.
Masyarakat Iban mencipta entelah dengan olahan bahasa yang sangat indah berdasarkan pengalaman, pengamatan dan pemerhatian. Ia juga memiliki nilai yang tinggi dan bermakna dalam menyampaikan pengajaran kepada generasi seterusnya. Lantaran itu, subjek yang menjadi tema dalam sesebuah entelah adalah berdasarkan jawapan yang disembunyikan. Proses pengumpulan entelah telah dilakukan sejak tahun 1900 oleh Paderi William Howell dalam buku yang ditulis oleh Jimmy Donald bertajuk Chara Enggau Gaya Leka Main Iban (1993). Sebagai hasil sastera yang tersebar secara lisan, entelah mengalami perubahan dan tokok tambah serta penyesuaian dengan situasi setempat dan perubahan masa sekarang. Selepas itu, ditemui buku Boniface Jaraw Serit (1963) yang telah mendokumentasikan sebanyak 100 entelah dalam buku Entelah.
Seterusnya, pelbagai usaha telah dilakukan pihak-pihak tertentu dalam mendokumentasikan sejumlah entelah termasuklah yang dilakukan Jimmy Donald dalam buku Chara Enggau Gaya berjudul Leka Main Iban (1993). Beliau mengumpulkan sebanyak 46 entelah, Tun Jugah Foundation memuatkan sebanyak 261 entelah dalam buku Entelah (2009) dan Casper Kayong Umping sebanyak 100 entelah dalam Begiga Entellah (2010). Majalah Pegari turut menyediakan satu ruangan khas entelah untuk tatapan pembaca. Kesemua buku entelah sebelum ini hanya mengumpulkan entelah tanpa membuat kajian ilmiah mengenainya. Penulis dalam sebuah judul terbit tahun 2020 iaitu Entelah: Warisan dan Hubungannya dengan Kepercayaan Masyarakat Iban turut mengkaji simbol-simbol yang terdapat dalam entelah Iban dan mendapati simbol yang paling dominan adalah Dewi Kumang dan pokok telang.
Menyedari hakikat bahawa kepupusan dan kehilangan khazanah sastera lisan khususnya entelah dalam masyarakat Iban, maka buku ini dihasilkan bagi mengklasifikasi dan menterjemahkan entelah yang belum pernah dilakukan agar ia boleh dibaca dan dihayati oleh masyarakat lain. Kebanyakan penutur entelah hanya mewarisi entelah daripada nenek moyang tanpa mengetahui kandungan entelah yang mengandungi jati diri masyarakat Iban. Buku ini turut merungkai tema yang terdapat dalam kandungan entelah untuk ditonjolkan kepada masyarakat Iban khasnya dan kepada masyarakat luar amnya tentang nilai kebudayaan masyarakat Iban yang sangat indah, selain memaparkan bentuk dan struktur dalam penghasilan sesebuah entelah.
Reviews
There are no reviews yet