Falsafah Matematik ialah kajian terhadap hakikat matematik, falsafah, pencirian, logikisme, intuisisme, formalisme, dampak, dan perkembangan ilmu matematik. Sejak daripada berlakunya pemisahan yang ketara antara ilmu matematik dengan ilmu keagamaan di Eropah Barat pada sekitar abad yang ke-18 M, ahli-ahli matematik cuba untuk mengenal pasti hakikat matematik yang sebenar.
Penulis telah berusaha untuk mengupas perkembangan tersebut dan seterusnya telah cuba untuk menggariskan satu pendekatan alternatif kepada aliran-aliran falsafah matematik yang dikemukakan di Eropah barat itu dalam buku ini. Penulis berpendapat bahawa walaupun bukan semua aktiviti keagamaan itu ialah aktiviti matematik, tetapi seharusnya semua aktiviti matematik itu merupakan aktiviti keagamaan.
Ada dimensi kerohanian dalam bermatematik, yang tidak kurang pentingnya dari aspek-aspek lain yang mencirikan keseluruhan ilmu matematik.
Satu cara untuk memahami makna ‘matematik’ adalah dengan menghalusi istilah tersebut dari segi etimologinya. Maksudnya, istilah ‘matematik’ itu dikaji dari aspek asal usul istilah tersebut yang terdapat dalam pelbagai bahasa dunia. Untuk tujuan kita di sini, memadailah jika dikaji asal usul istilah matematik yang terdapat dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Tidak ada sebab yang khusus dalam pemilihan ini selain kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini, bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua terpenting dan bahasa Arab kerana sebahagian besar matematik yang telah sampai ke masyarakat Eropah yang kemudiannya membentuk apa yang kita namakan sebagai ‘matematik’ pada abad ini adalah melalui bahasa Arab yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan kemudiannya ke dalam bahasa Inggeris.
Dalam bahasa Inggeris, istilah mathematics itu berasal daripada bahasa Latin Mathematicus. Mathematicus dalam bahasa Latin berakar umbi kepada bahasa Yunani Mathematikos. Ini tidaklah menghairankan kerana kebanyakan istilah dalam bahasa Latin memang berakarumbikan bahasa Yunani. Cuma yang menariknya di sini istilah ‘Mathematikos‘ itu berpunca daripada istilah manthanein yang bermaksud ‘mempelajari’. Istilah manthanein juga bermaksud ‘menumpukan perhatian sepenuhnya’, di samping maksud-maksud lain seperti “ketepatan yang jitu’, dan ‘keyakinan’. Selain maksud-maksud tadi, istilah manthanein pada prinsipnya juga bermaksud ‘boleh berlaku’ tetapi kemungkinan untuk berlakunya sangatlah rendah. Dengan kata lain, walaupun sesuatu itu boleh berlaku, tetapi daripada pandangan kebiasaannya tidak akan berlaku.
Apabila. kita meneliti maksud-maksud yang tersirat dalam istilah bahasa Inggeris mathematics yang diberikan tadi, kita dapat gambaran serba sedikit tentang sifat-sifat yang ada pada bidang ilmu yang dinamai ‘matematik’ itu.
Ilmu yang dikatakan mathematics itu bersifat kejituan yang pasti. Adanya sifat kejituan yang pasti ini dapat membezakan ilmu ini dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Kejituan yang pasti ini diperoleh melalui salah satu kaedah penting matematik yang dinamai deduksi. Secara ringkasnya menurut kaedah ini, jika semua A yang bersifat P juga bersifat Q dan a ialah sebahagian A yang bersifat P, maka a semestinya bersifat Q. Penggunaan kaedah ini yang merata dan berulang kali dalam bidang ilmu mathematics itu menghasilkan pendekatan yang jitu dan hasil yang tepat kerana kesahannya yang kelihatan begitu jelas. Dari sudut ini, memang boleh dikatakan bahawa mathematics itu sifatnya jitu dan tepat.
Anonymous (store manager) –
Anonymous (store manager) –