Hang Tuah Adiwira Bangsa menganjurkan persoalan etnografi mengenai zaman ketika Melaka menguasai budaya dan perdagangan di seluruh laut Nusantara, yang berpotensi mengubah pandangan etno-nasionalistik moden mengenai kerancakan dunia kosmopolitan di mana Hang Tuah bukan sahaja tumbuh “membesar” malah turut “mencorakkannya”. Hikayat Hang Tuah barangkali ditulis antara sekitar tahun 1676 sehinggalah 1700. Kassim Ahmad mencadangkan ia dikarang antara tahun 1641 dan 1721 dengan nota, ia adalah semacam satu bentuk pelepasan rindu atau nostalgia seorang Melayu kepada saat kegemilangan bangsanya.
Kita tahu François Valentijn misalnya ada menyebut bahawa epik ini telah pun dipercayai tiba di Belanda sekitar tahun 1717. Sebagai sebuah epik yang meninggalkan kesan mendalam dalam fikiran bangsa Melayu, terdapat sekurang-kurangnya 20 salinan manuskrip ini yang dikerjakan oleh penyalin berbeza, atau arahan berbeza dan waktu yang juga berbeza.
Hang Tuah adalah peribadi inti orang Melayu, mengenal Hang Tuah bererti mengenal cara mengurus seorang atau sehimpunan bangsa Melayu. Anda perlu membaca apa yang ditulis oleh Steven Sim untuk mengetahui bagaimana dia melihat watak dan perwatakan orang Melayu. Terlepas dari semua itu, apa yang lebih enak ialah Steven Sim tidak membaca Hang Tuah sebagai korpus Melayu semata-mata, tetapi ia menujah dan mendakapnya sebagai satu naskhah kesusasteraan yang mana dengan itu ia dapat menggali keindahan, kebahasaan dan juga kemoralan. Itu jadinya lebih bermakna dari bacaan-bacaan siasah tentunya.
Reviews
There are no reviews yet