Hikayat Hang Tuah ialah suatu hasil kesusasteraan Melayu klasik yang terpenting di samping Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu), dan antara naskhah yang tertua dalam perbendaharaan kesusasteraan Melayu. Hikayat yang mula disebut semenjak abad ke-17 ini menarik perhatian ramai para sarjana dan menjadi bahan perbincangan para pengkaji barat pada masa mereka mula-mula tiba ke Kepulauan Melayu. Hikayat ini adalah sebuah daripada 71 naskhah Melayu yang disenaraikan oleh François Valentijn dalam bukunya Oud en Nieuw Oost-Indiën (Kepulauan Hindia Timur: Lama dan Baru) pada tahun 1726. Valentijn menyebut hikayat ini sebagai Kitab Hantoea.
Valentijn meletakkan Hikayat Hang Tuah, pada taraf sama penting dengan Sulalat al-Salatin. Yang ditegaskan dalam hujahnya ialah betapa hikayat ini menggambarkan manusia Melayu dalam dunianya, dipengaruhi oleh perkembangan sejarah dan sosialnya, termasuk adat istiadat, kepercayaan dan prinsip hidup yang unik dan tersendiri.
Hikayat ini muncul pula dalam perbincangan George Henrik Werndly dalam bukunya Maleische Boekzaal. Kepentingan hikayat ini sebagai sebuah hikayat Melayu yang unggul tergugat bila pada tahun 1938-1940, R. O. Winstedt mengemukakan keputusannya bahawa Hikayat Hang Tuah adalah sebuah hikayat Melayu-Jawa atau “a Malayo-Javanese romance” yang tidak jauh bezanya dengan cerita-cerita dalam genre sastera Panji. Winstedt terpegun menemui begitu banyak unsur Hindu yang dapat dikenali sebagai berasal daripada Ramayana mahu pun Mahabharata dan epik-epik Hindu lain dalam kedua-dua penulisan Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin. Pendapat Winstedt tentang hal yang sama ini telah disuarakan dalam bukunya yang lebih awal iaitu The Malays: A Cultural History yang mula dicetak pada tahun 1947 dan diulang-cetak pada tahun-tahun 1950, 1953, 1956 dan 1965.
Sanjungan dan hujah Valentijn terus tenggelam dan tersingkir dan tersebar di kalangan pentadbir-pentadbir Belanda sahaja. Para sarjana barat pada masa itu lebih cenderung berpegang kepada kesimpulan yang dikemukakan oleh Winstedt. Setelah lahir penyelidik-penyelidik kesusasteraan Melayu tradisional yang terdiri daripada sarjana tempatan barulah pendapat Winstedt diteliti dan dipertimbangkan semula. Malah menjadi suatu kerja yang mesti dilakukan pula oleh sarjana tempatan untuk meneliti semula ulasan-ulasan yang dikemukakan oleh Winstedt dan penyelidik-penyelidik lain yang terdahulu apabila mereka mengkaji dan memperkatakan tentang kebudayaan Melayu dan hasilhasil kesusasteraan Melayu tradisional.
Boleh dikatakan terdapat para peneliti barat pada zaman awal ini selalu mengemukakan pendapat-pendapat yang bertentangan dengan keadaan yang sebenarnya. Selain daripada mengemukakan pendapat yang merendahkan Hikayat Hang Tuah dan mengemukakan pendapat-pendapat yang diwarnai prasangka dan penilaian yang berat sebelah, terdapat pula beberapa orang penyelidik yang terkeliru dengan judul hikayat ini. Werndly umpamanya menyangka bahawa Hikayat Hang Tuah alah hiknyat yang dikarang oleh seorang yang bernama Hang Tuah kerana berpandukan analogi Hikayat Abdullah adalah hasil karangan seorang yang bernama Abdullah iaitu Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir. Suatu lagi kesilapan yang dilakukan oleh Valentijn dan Werndly ialah mereka menyangka HHT dan Sulalat al-Salatin adalah karya yang sama.
Kekeliruan ini timbul kerana kedua-dua karya menumpukan perhatian kepada kerajaan Melayu yang bertapak dan berkembang di Melaka. Nampaknya mereka langsung tidak memberi perhatian kepada unsur-unsur perbezaan yang terdapat dalam kedua-dua karya ini. Dalam membuat kesilapan ini ternyata mereka tidak menyangka bahawa Sulalat al-Salatin adalah suatu penulisan sejarah tradisional sementara Hikayat Hang Tuah pula adalah sebuah epik; kedua-duanya dikarang dengan tujuan dan motif tertentu untuk memenuhi peranan khas dalam masyarakat yang melahirkannya.
Kesilapan ini diulang lagi oleh John Crawfurd, yang antara lain menyatakan: ‘Jika kita faham tentang struktur sebuah epik dan ciri-ciri penciptaannya, tentulah kita sedar sebuah epik tidak perlu mengemukakan pentarikhan; malah pentarikhan tidak ditemui langsung dalam karya historiografi Melayu tradisional pada hal genre ini memang ditulis untuk memaparkan sejarah sesebuah kerajaan Melayu. Memang terdapat fakta-fakta sejarah dikemukakan dalam penulisan epik, termasuk dalam epik kebangsaan Melayu, Hikayat Hang Tuah, tetapi fakta-fakta sejarah itu digemblengkan sedemikian rupa untuk memenuhi peranan yang diletakkan kepada sebuah epik. Jelas, mencampur-adukkan Hikayat Hang Tuah (sebuah epik) dengan Sulalat al-Salatin (sebuah karya dalam genre penulisan sejarah tradisional) hanya menambahkan lagi masalah kepada penelitinya.”
Walau bagaimanapun, Crawfurd mengaku bahawa epik ini menyumbangkan banyak maklumat tentang cara hidup masyarakat Melayu, sudut pemikiran atau minda Melayu dan adat istiadatnya “… the faithful picture of native mind and manners …” Hikayat ini merakamkan beberapa bayangan sedutan atau imbasan daripada sejarah sebenar, penuh dengan cerita rakyat, unsur-unsur anakronisme dan fakta-fakta yang bercanggah. Crawfurd kagum dengan kesedaran pengarang memperlihatkan kesetiaan yang mendalam terhadap adat istiadat Melayu pada zaman yang menjadi latar masa hikayat ini.
Reviews
There are no reviews yet