Hikayat Pahang

Diselenggara oleh KALTHUM JERAN

DBP (Ulang Cetak, 2016)
197 halaman termasuk Glosari

RM20.00

In stock

If you purchase this book you will earn 4 reward points!
Product ID: 23477 Subjects: , Sub-subjects: , , , ,

Hikayat Pahang MS. 937 dijadikan teks dasar kajian ini. Teks ini merupakan teks bertulisan Jawi yang memuatkan kisah dan peristiwa yang berlaku di Pahang pada masa pemerintahan Bendahara Ali, Bendahara Tun Mutahir dan Bendahara Tun Ahmad, yang kemudiannya menjadi Sultan Ahmad Al-Muazzam Syah, iaitu antara tahun 1832 hinggalah lebih kurang tahun 1932. Untuk kepentingan kajian ini, teks ini dipanggil Naskhah A.

Naskhah yang berukuran 28 cm dan mempunyai 71 muka surat ini, masih berada dalam bentuk manuskrip dan tersimpan di perpustakaan Universiti Malaya. Naskhah ini dipercayai bukanlah merupakan naskhah asli hikayat ini, kerana menurut keterangan yang didapati, kedudukan naskhah aslinya tidak diketahui. Naskhah ini mungkin merupakan salinan daripada naskhah aslinya, yang telah disalin oleh seorang penyalin atau lebih, berdasarkan tulisan tangan yang didapati dalam manuskrip, dalam tulisan Jawi.

Tulisan Jawi yang terdapat dalam hikayat ini begitu halus sekali, iaitu terdapat hitung panjangnya lebih kurang 16 perkataan sebaris. Ini sungguh menyulitkan apabila hendak dibaca. Tambahan pula terdapat perkataan yang samar-samar dituliskan sehingga ia agak sukar untuk dimengerti. Walau bagaimanapun, setelah diamati dengan teliti, maka dapatlah dianggarkan perkataan itu sebenarnya.

Naskhah ini tidak menyebutkan nama penulis atau penyalinnya, dan tidak juga menyatakan tarikh ditulis. Walau bagaimanapun, naskhah ini mungkin disalin pada tahun 1932 kerana tarikh ini merupakan tarikh akhir yang dicatatkan di dalam naskhah ini, iaitu dengan mencatatkan tarikh kemangkatan Sultan Abdullah, iaitu pada 22 Jun 1932. Di samping itu, ia juga ada mencatatkan tarikh dan usia Sultan Ahmad Al-Muazzam Syah dari sejak baginda lahir hingga ke tarikh hikayat ini ditulis.

Zahir sampai 1351 ini 99 tahun
Naik gelaran sampai 1351 ini 53 tahun
Tabal sampai 1351 ini 49 tahun

Tahun 1351 Hijrah bersamaan dengan 1932 Masihi. Dengan ini, jelaslah hikayat ini mungkin ditulis pada akhir-akhir tahun 1932, kerana bulan yang terakhir dicatatkan ialah Jun 1932. Naskhah ini tidak mengandungi kata pendahuluan atau mukadimah yang lazimnya terdapat dalam hikayat lama. Ia terus memulakan ceritanya, iaitu dengan cetera pertama dan seterusnya.

Naskhah bandingan yang digunakan adalah naskhah dari Arkib Negara. Naskhah ini berbentuk buku, berkulit keras dan ditaip dalam tulisan Rumi. Buku ini berukuran 9″ x 11″ dan mengandungi sebanyak 217 halaman. Penulis atau penyalinnya tidak diketahui kerana tidak dinyatakan di dalamnya; cuma mencatatkan pada akhir cerita, “Telah selesai fakir mengarangkan hikayat ini, iaitu peranakan Pahang”. Ini mungkin dapat menjelaskan kepada kita bahawa hikayat ini telah ditulis atau dikarang oleh seorang anak Pahang. Naskhah ini dipanggil Naskhah B.

Dalam kajian ini, perbandingan yang dibuat sangatlah terbatas kerana hanya dua buah naskhah sahaja yang dapat digunakan. Walau bagaimanapun, pada dasarnya, kedua-dua teks ini tidak terdapat perbezaan yang besar dari segi isinya, hanya terdapat perbezaan yang kecil di sana sini yang bukanlah pula tidak signifikan. Perbezaan ini terletak pada pemanjangan ayat dan pemanjangan cerita, yang bukanlah pula tidak membawa apa-apa makna pada jalan cerita. Perbezaan ini bolehlah dikatakan sebagai tokok tambah dan pengurangan daripada penulis atau penyalin itu sendiri, seperti yang lazimnya terdapat pada karya-karya kesusasteraan Melayu lama yang lainnya, kerana seorang penyalin itu adalah juga seorang pengarang.

Weight 0.215 kg
Dimensions 21.5 × 14 × 1 cm
Edition

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.