Hikayat Pandawa Jaya mengisahkan pengembaraan Pandawa lima bersaudara, juga pertempuran mereka menentang para Korawa, mengandungi episod-episod tambahan yang tidak terdapat dalam epik asal India, mahupun dalam kakawin Jawa, walaupun barisan wataknya dipinjam daripada karya agung India kuno, Mahabharata. Banyak naskhah karya yang berasal daripada Mahabharata tetap digemari masyarakat untuk berabad-abad lamanya, termasuklah Hikayat Pandawa Jaya, kerana terdapat banyak unsur didaktik yang boleh dikongsi bersama dengan masyarakat umum.
Pengaruh India-Jawa ke atas kesusasteraan Melayu pada tahap awal perkembangannya sememangnya hebat sehingga pengarang-pengarang Melayu, tidak boleh tidak, menimba ilham daripada warisan epik Jawa yang turut bercambah daripada Mahabharata. Sumber-sumber pokok yang digunakan mereka ialah kakawin dan lakon wayang purwa yang memberikan impak bukan sahaja ke atas teater Melayu, tetapi juga ke atas seni sasteranya.
Salah satu sumber yang terpenting ialah kakawin Bharatayuddha (Perang Bharata) ciptaan Mpu Sedah dan Mpu Panuluh, pujangga bersaudara yang berkhidmat di Istana Prabu Jayabhaya di Jawa Timur pada abad ke-12. Karya itu menyanjung raja dan digemari orang Jawa sepanjang abad. Bharatayuddha siap dikarang pada tahun 1157. Jalan ceritanya secara kasar mengikuti plot jilid V-X Mahabharata.
Wayang purwa turut mempengaruhi kesusasteraan Melayu, baik melalui lakon pokok, mahupun lakon carangannya. Oleh sebab lakon carangan sebahagian besarnya ditulis dalam bahasa Jawa, maka agak banyak lakon carangan “berpindah” ke dalam tradisi Melayu. Antaranya termasuklah Hikayat Pandawa Panca Kelima, Hikayat Pandawa Lebur, Hikayat Angkawijaya dan Hikayat Gelaran Pandu Turunan Pandawa. Waiau bagaimanapun, para pengkaji dan penerbit seolah-olah kurang berminat dengan hikayat-hikayat tentang Pandawa yang mengakar dalam tradisi teater, apalagi sesetengah daripadanya didakwa oleh penyalinnya berupa terjemahan atau saduran belaka.
Namun, dakwaan tersebut terhadap Hikayat Pandawa Jaya susah untuk diterima. Cerita itu meresap daripada tradisi Jawa ke dalam kesusasteraan Melayu secara beransur-ansur. Pengkaji Australia, Helen Griffith, telah membuktikan bahawa hikayat Melayu tersebut bukanlah turunan langsung kakawin Jawa, tetapi ia mencerminkan versinya yang terkemudian.
Plot dan komposisi Bharatayuddha dan Hikayat Pandawa Jaya juga tidak sepenuhnya sama. Hikayat Pandawa Jaya mengandungi episod-episod tambahan yang tidak terdapat dalam epik asal India, mahupun dalam kakawin Jawa, walaupun barisan wataknya dipinjam daripada Mahabharata. Maksudnya, pengarang hikayat Melayu ini menggabungkan bahan-bahan yang dipinjam daripada pelbagai sumber dengan membina satu cerita baharu yang utuh.
Reviews
There are no reviews yet