Iranun: Sejarah dan Adat Tradisi merupakan satu kajian sejarah sosial dan adat tradisi masyarakat Iranun, dari zaman prakolonial, kezaman penjajahan hinggalah ke era kemerdekaan kini. Namun demikian kajian ini bukanlah yang sulung. Sebelum ini telah terdapat beberapa karya tentangnya yang ditulis baik oleh sarjana Barat, mahupun di kalangan orang tempatan sendiri. Bagaimanapun, olahannya amat subjektif dan ditulis berdasarkan perspektif penulisnya sendiri, yang melihat dari luar masyarakat Iranun. Oleh hal yang demikian, gambaran tentang masyarakat Iranun sering tersasar dan tidak begitu tepat. Ini terjadi kerana kejahilan mereka tentang nilai dan etika masyarakat tersebut kerana umumnya mereka bukan watan Iranun.
Matlamat utama penulisan buku ini ialah untuk menghurai semula sejarah masyarakat Iranun zaman lampau. Dipercayai bahawa masyarakat Iranun merupakan sebahagian daripada masyarakat Nusantara yang mempunyai sejarah gemilang dan anggun di rantau ini beberapa abad yang lampau. Kajian ini juga cuba menangkis atau membersihkan semua tohmahan yang negatif terhadap masyarakat Iranun, terutamanya oleh penulis-penulis Barat yang merakamkan sejarah masyarakat ini dengan titik-titik hitam. Dengan hal yang demikian, diharapkan moga-moga kajian ini dapat mengembalikan sejarah masyarakat Iranun yang sebenar dan menjadi titik tolak bagi masyarakat Iranun sendiri untuk mencintai, mengagumi, menyayangi dan meletakkan masyarakat mereka pada tingkat yang sewajarnya.
Reviews
There are no reviews yet