Islam dan Perdamaian di Malaysia dan Indonesia memberi fokus kepada perbincangan tentang isu kedamaian, keharmonian dan kehidupan bersama sehingga mampu menentang sikap ekstremisme dan terorisme mahu pun radikalisme dalam masyarakat di dua negara berjiran tersebut. Masyarakat Islam Malaysia dan Indonesia terkenal dengan sifat kepelbagaian atau kemajmukannya dalam semua aspek sama ada agama, budaya, bangsa, keturunan, bahasa dan lain-lain lagi tetapi secara relatifnya mampu hidup aman dan damai tanpa banyak persengketaan dan permusuhan. Asas yang utuh inilah sewajarnya dijadikan asas untuk umat Islam secara khususnya dan umat-umat lain di wilayah ini hidup aman yang berkekalan.
Menelusuri wacana, diskusi dan penelitian secara akademik dan ilmiah persoalan keamanan dan perdamaian menurut perspektif Islam dalam rangka berfikir dan konteks Malaysia serta Indonesia memerlukan para penyelidik dan sarjana memahami realiti, bi’ah atau notabene persekitaran kehidupan dan hubungan masyarakat Islam di wilayah ini. Masyarakat Islam Malaysia dan Indonesia terkenal dengan sifat kepelbagaian atau kemajmukannya dalam semua aspek sama ada agama, budaya, bangsa, keturunan, bahasa dan lain-lain lagi tetapi secara relatifnya mampu hidup aman dan damai tanpa banyak persengketaan dan permusuhan sepanjang sejarahnya dan penyebaran agama pun adalah berlaku secara aman dan damai sama ada bermula dari Hindu, Buddha, Islam dan kemasukan Kristian.
Kembali kepada ideologi Islam sebagai asas untuk berfikir dan berbincang, faktanya manusia secara fitrah atau naluri semula jadinya ingin hidup dalam keadaan aman, bahagia, damai dan tenteram, jauh dari persengketaan dan permusuhan. Seiring dengan fitrah yang suci bersih manusia itu, agama dan khususnya Islam, Allah turunkan sebagai agama terakhir yang diawali dengan agama-agama dan para nabi dan Rasul sebelumnya. Nabi Muhammad sebagai penutup siri kenabian dan pembawa Risalah universal ke seluruh alam dengan misi keamanan dan keselamatan untuk manusia memang meletakkan konsep kerahmatan bagi seluruh umat dan manusia sehingga menjadi misi dakwahnya (konsep rahmatan lil alamin). Jadi Islam yang merupakan majoriti penganut di kedua-dua negara ini, bahkan Indonesia adalah negara yang paling ramai pemeluk Islam di dunia, sewajarnya boleh menjadi contoh terbaik bagaimana kehidupan beragama yang aman tanpa keganasan, peperangan dan pergaduhan.
Reviews
There are no reviews yet