Jayengbaya: Memahami Pemikiran Orang Jawa adalah sebuah kajian perbandingan teks dan penelitian terhadap konsep-konsep kemanusiaan yang dipandang dari lensa Jawa, Islam dan Moden menerusi sebuah teks agung di Tanah Jawa. Ranggawarsita sebagai kritikus dalam konteks ini diberi tumpuan terutama mengenai perwatakan serta keperibadiannya sehingga dapat menggambarkan manusia Ranggawarsita yang sebenar. Ranggawarsita sebagai seorang pujangga sudah semestinya peka dengan persoalan-persoalan masyarakat seperti yang dipaparkannya dalam Jayengbaya. Oleh hal yang demikian aspek social milieu (milieu budaya) turut diberi perhatian.
Jayengbaya, sebuah karya awal Ranggawarsita, Pujangga Agung Jawa, menarik minat mereka yang berkecimpung dalam kesusasteraan Jawa, terutamanya mereka yang mengkaji karya pujangga ini. Karya beliau dianggap unik dan sehingga kini cara penulisan beliau sukar ditandingi. Karya-karya beliau dianggap pemisah antara kesusasteraan Jawa lama dengan yang baru. Pembaharuan yang dibawanya antara lain ialah: (i) perintis prosa Jawa baru dengan kitab seperti kitab Paramajoga dan kitab Kanda yang digubahnya kembali; dan (ii) penggubah Sandiasma, yakni menyelitkan nama diri di dalam karyanya.
Kebijaksanaan beliau menyelitkan namanya dalam baris tembang memberi suatu gambaran tentang kerendahan hatinya yang tidak mahu menonjolkan diri sebagai pengarang karya tersebut. Mungkin juga beliau tidak mahu karyanya diciplak orang. Hal begini pernah terjadi kepada teks Witoradiya yang dicetak pada tahun 1912 oleh penerbitan Rusche, dan Winter dikatakan pengarangnya. Penulisan Ranggawarsita telah dijadikan bahan telaah, bukan sahaja oleh mereka yang ingin mendalami corak penulisan kesusasteraan Jawa, bahkan oleh mereka yang ingin mendalami isi ajaran agama Jawa. Kerana ingin mendalami corak dan isi karya Ranggawarsita inilah, penulis memilih teks Jayengbaya sebagai bahan kajian. Pemilihan teks Jayengbaya dipengaruhi oleh keunikan isi yang dibeberkan dan oleh pelampiasan khayalan Jayengbaya yang kadangkala begitu melampau sehingga sampai ke tahap khayalan yang diri pengarangnya menjadi anjing dan Tuhan.
Selain faktor isi, penulis juga tertarik dengan judul Jayengbaya yang menampakkan adanya mesej yang dipaparkan oleh Ranggawarsita. Kalau dilihat dari segi etimologinya, kata Jayengbaya berasal daripada akar kata jaya + ing + baya. Pertembungan antara vokal [a] dan [i] dalam dua akar kata di atas akan menghasilkan bunyi [E]. Sedangkan perkataan Jayengbaya ini membawa erti, berjaya daripada segala bahaya dan bukan bermaksud buaya. Pengertian buaya tidak dapat dikaitkan dengan kata jayeng yang bermaksud jaya. Kata jaya lebih tepat dikaitkan dengan bahaya; iaitu berjaya daripada bahaya. Perkataan jayeng sangat lumrah ditemui dalam teks Jawa seperti Panji Jayengtilam, karya Ranggawarsita. Mungkin timbul persoalan mengapa perkataan jayeng digunakan dalam karya Ranggawarsita? Jawapan yang jelas ialah beliau ingin mendapatkan kejayaan keduniaan dan kebatinan.
Teks Jayengbaya mempunyai keindahannya yang tersendiri kerana terdapat khayalan Ranggawarsita menjadi seorang manusia yang cuba beraksi dalam pelbagai bidang profesion. Ranggawarsita dalam konteks ini dapat dikatakan seorang futuris yang besar dan hebat. Dalam mengkhayalkan dirinya sebagai Tuhan, penulis merasakan perkara seperti ini bukanlah sesuatu yang baru. Misalnya, ahli sufi seperti Ibnu ‘Arabi yang hidup di antara tahun 1165-1240 dan juga Hamzah Fansuri yang hidup pada zaman pemerintahan Iskandar Muda di Aceh pada abad ke17 telah pun mempopularkan konsep wahdatul-wujud (kesatuan manusia dengan Tuhan). Fahaman ini sebenarnya dimulakan oleh fahaman al-Hallaj seorang sufi bangsa Parsi yang lahir di Kota Badhaa yang hidup pada tahun 858921 Masihi. Beliau inilah yang memulakan semboyan ana al-haq ertinya Akulah Kebenaran (Tuhan). Kemuncak fahaman ini dilakukan oleh Ibnu ‘Arabi sehingga pengaruhnya di rantau ini mempengaruhi tokoh-tokoh seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumatrani dan di kalangan masyarakat Jawa pula terdapat tokoh seperti Syekh Siti Jenar.
Reviews
There are no reviews yet