Mengkanunkan Agama: Islam, Hak-Hak Liberal, dan Kenegaraan Malaysia adalah terjemahan kepada Constituting Religion: Islam, Liberal Rights, and the Malaysian State karya Tamir Moustafa. Kebanyakan negara majoriti Muslim memiliki sistem perundangan yang meliputi peruntukan Islam dan hak-hak liberal. Meskipun kedua-dua elemen tersebut tidak semestinya bercanggahan, komitmen terhadap kedua-duanya menjadi asas, dari segi undang-undang serta simbolik, untuk para aktivis mengajukan visi masing-masing tentang negara dan masyarakat. Dengan menggunakan Malaysia sebagai kajian kes, buku Mengkanunkan Agama ini meneliti bagaimana susun atur perundangan sedemikian telah mencetuskan litigasi-litigasi dan membantu pembinaan konstruk “binari hak-lawan-ibadat” di ruang undang-undang, politik, serta imaginasi popular massa.
Dengan merujuk kepada sumber-sumber primer yang ekstensif dan menjejak kembali kes-kes kontroversial dari kamar mahkamah undang-undang sehinggalah ke mahkamah pendapat awam, kajian ini berusaha untuk menteorikan proses “pemahkamahan agama” dan kesan-kesan terbitan daripada tindakan mahkamah ke atas kesedaran perundangan serta keagamaan popular masyarakat. Buku ini mendokumentasikan bagaimana institusi perundangan menggalakkan pertembungan ideologi, yang seterusnya mentakrifkan negara ini berserta politiknya. Dengan meninjau hubung kait antara pluralisme undang-undang, gerakan sosial, sekularisme, dan Islamisme politik, Mengkanunkan Agama: Islam, Hak-Hak Liberal, dan Kenegaraan Malaysia membuka ufuk perbincangan baru tentang kesalinghubungan antara undang-undang, agama, politik dan masyarakat.
Karya ini akan keluar daripada perbahasan konvensional melibatkan pergulatan undang-undang-agama-politik melalui usaha menteorikan kesalinghubungan antara mahkamah-mahkamah dan apakah latar politik dan sosial yang lebih besar, yang memungkinkan mahkamah-mahkamah ini beroperasi. Fokus kita ini ke atas “kesan-kesan terbitan” daripada mahkamah bakal menyumbang kepada beberapa agenda kajian di titik persilangan antara undang-undang, agama, serta politik. Dalam kajian ini, penulis menyebut dua kelompok kajian secara khusus; pertama, kajian ke atas mobilisasi golongan Islamis dan kedua, kajian perundangan ke atas titik persilangan antara undang-undang dengan agama. Berkenaan soal kajian ke atas mobilisasi golongan Islamis selama ini, banyak sekali perhatian ilmiah diberikan ke arena politik pilihan raya.
Perhatian terhadap politik pilihan raya ini barangkali berpunca daripada minat ilmiah ke atas persoalan bagaimana partisipasi politik membentuk trajektori politik parti-parti Islamis. Bahkan, ia mungkin sekali mencerminkan minat ilmiah untuk mencabar idea “dilema satu-orang, satu-undi, satu-masa” yang telah sekian lama mempengaruhi diskusi berkaitan polisi. Di samping itu, persoalan undang-undang yang secara relatif terabai boleh jadi berpunca daripada andaian bahawa mahkamah itu hanya sekadar hiasan biar cukup syarat sahaja dalam konteks negara majoriti Muslim. Apa pun sebabnya, kita harus akui bahawa kajian ke atas mobilisasi golongan Islamis selama ini tidak cukup memberi perhatian kepada institusi mahkamah sebagai forum kepolitikan. Dalam kajian-kajian tentang pendakwaan golongan Islamis di mahkamah yang ada setakat ini pula, proses pembentukan ideologi lazimnya diandaikan berlaku sebelum (dan berada di luar) proses kesaling hubungannya dengan institusi perundangan.
Di sana adanya satu kelompongan berbeza dalam kesarjanaan undang-undang berkenaan subjek ini. Sebelum ini, kajian-kajian membahaskan pengembangan makna klausa “agama rasmi negara, atau bagaimana mahkamah dengan pelbagai cara berusaha untuk merundingkan dan mendamaikan komitmen berkembar terhadap hak-hak Islam serta hak-hak liberal di bawah perlembagaan.” Kesemua pendekatan berteraskan doktrin atau berteraskan tindakan mahkamah sebelum ini sememangnya bermakna. Pun begitu, ia masih mengabaikan keseluruhan “kesan terbitan” daripada undang-undang itu sendiri. Jadi, buku ini akan memberi perhatian kepada bagaimana mahkamah berfungsi sebagai satu ruang penting dalam proses pembentukan ideologi melangkaui kesan langsung daripada keputusan mahkamah di peringkat perundangan. Buku Mengkanunkan Agama ini akan membahaskan cara gaya bagaimana mahkamah menyediakan platform yang memungkinkan golongan aktivis tertentu mencabar status quo, menarik perhatian awam, lantas mengajukan klaim-klaim umum tentang Islam, hak liberal, serta peranan negara itu sendiri.
Hujahan yang penulis kembangkan di sini adalah relevan terhadap pengalaman di banyak negara, tetapi penulis akan menumpukan kepada teori umum tentang proses pemahkamahan agama menerusi penerokaan terperinci ke atas kes Malaysia. Mengapa? Kerana Malaysia memiliki salah satu ruang keagamaan yang paling dikawal ketat berbanding negara-negara lain di dunia. Negara ini menjadi contoh jelas bagaimana para pemimpin di banyak negara majoriti Muslim cuba mendefinisikan dan mengawalselia agama melalui undang-undang. Ia juga mampu menjadi kisah teladan yang mengajar kita tentang kesan-kesan tidak diingini yang berpunca daripada usaha-usaha tersebut. Malaysia hakikatnya amat menonjol dalam persoalan bagaimana proses pemahkamahan agama mampu mendefinisikan konstruk agama serta hak liberal sebagai dua ufuk yang binari sifatnya.
Muhammad Zulhilmi (Verified Reader) –