Minangkabau: Dari Dinasti Iskandar Zulkarnain hingga Tuanku Imam Bonjol mengisahkan sejarah wilayah Minangkabau yang dikatakan bermula daripada dinasti Iskandar Zulkarnain hingga Tuanku Imam Bonjol, serta kerajaan yang wujud di Minangkabau, dari Pasumayam Kota Batu hingga Pagaruyung. Turut diketengahkan tentang adat dan kebudayaan yang menjadi amalan masyarakat Minangkabau seperti adat perkahwinan, tradisi tabuik, dan sebagainya. Minangkabau bukanlah sebuah kerajaan, tetapi lebih mendekati pengertian kebudayaan, di samping makna geografi dan etnik. Penduduk yang mendiami wilayah ini merupakan suku bangsa yang unik di Indonesia. Sistem kekeluargaan matrilineal menjadi identiti bagi masyarakat Minangkabau. Kini, etnik Minangkabau satu-satunya kelompok masyarakat matrilineal beragama Islam yang wujud di dunia.
Keunikan adat dan budaya Minangkabau menarik perhatian pengkaji asing untuk datang ke Sumatera Barat. Mereka juga tertarik dengan sistem kekeluargaan masyarakat Minangkabau yang mengamalkan sistem matriarki, sekali gus menganut agama Islam yang patriarki. Sebagai satu daripada suku bangsa di Indonesia, Minangkabau merupakan satu bangsa yang unik. Selain dahulunya mempunyai wilayah penganut kebudayaan yang cukup luas, meliputi Sumatera Barat, separuh daratan Riau, bahagian utara Bengkulu, bahagian barat Jambi, pantai barat Sumatera Utara, barat daya Aceh termasuk Negeri Sembilan di Malaysia, juga di daerah ini akan ditemui banyak pepatah, petitih, mangan dan pantun adat serta mitos.
Karya ini telah membaharui edisi awalnya tentang “sejarah” sistem sosiobudaya dan pelbagai corak hidup etnik Minangkabau yang digarap daripada pelbagai sumber primer dan sekunder. Konsep sejarah yang diaplikasikan ialah gabungan sejarah lisan, khusus legenda dan mitos etnik Minangkabau serta rentetan sejarah klasik dan kontemporari daripada pelbagai sumber sekunder. Untuk memulakan penelitian sejarah dari zaman Iskandar Zulkarnain tanpa merujuk sumber dokumen sejarah yang hakiki merupakan suatu kaedah yang sarat dengan persoalan kesejarahan empiris moden. Meskipun ilmu sejarah itu ditakrif dengan cara yang cukup pelbagai, asas dokumentasinya amatlah utama. Pastinya para sejarawan biasanya cenderung untuk mengelak daripada kaedah kesejarahan berasaskan sumber warisan turun-temurun melalui naratif mitos tanpa dokumen asasnya.
Namun begitu, usaha meneliti secara kritis akan sumber, kandungan mitos dan legenda yang diyakini kebenarannya serta menjadi piagam masyarakat pada sepanjang zaman ialah suatu tindakan yang tidak dapat ditolak begitu sahaja. Kebenaran hakiki dan pegangan yang diperturun hanya secara pertuturan naratif lisan telah diterima sebagai wajar berlandaskan konsep kelisanan (orality). Kelisanan atau orality ialah asas komunikasi sejarah yang sahih dalam masyarakat awal atau kuno yang belum membina tulisan.
Karya ini telah merangkumi penelitian dengan amat meluas oleh para sarjana berkaitan dengan Minangkabau daripada sejarah klasik hingga zaman kontemporari. Amat menarik untuk diperhatikan betapa sejarah Minangkabau dalam zaman pra dan pasca Adityawarman, sebagai tokoh utama dalam sejarah yang berbukti, merupakan kelangsungan daripada sejarah Melayu Sriwijaya yang berpecah selepas peristiwa genting serangan Majapahit “Pamalayu” ke atas negara Melayu. Perpecahan terjadi kepada dua pihak: Perpindahan kuasa Sriwijaya ke wilayah Semenanjung Tanah Melayu (Temasik dan Melaka) dan juga ke tanah Minangkabau di Pagaruyung yang melangsungkan kerajaan Minangkabau.
Serangan Pamalayu pada tahun 1275 hingga tahun 1293 dilakukan oleh Raja Jawa, Kertanegara dari Singasari, untuk menakluki negara Melayu, sekali gus menguasai Selat Melaka yang amat penting dalam jaringan perdagangan Timur-Barat. Prasasti Padang Roco bertarikh 1286 CE menyatakan bahawa sebuah patung agama Amoghapasha telah dibina di Dharmasraya (ibu kota negara Melayu) atas perintah Kertanagara, dan semua penduduk Melayu, terutama rajanya, berasa amat sukacita atas anugerah tersebut.
Kelangsungan sejarah itu ditumpukan pula pada kerajaan Adityawarman yang bermula dengan peranannya sebagai pembesar dalam kerajaan Majapahit. Baginda dikisahkan sebagai keturunan daripada puteri Melayu yang sepatutnya dikahwini oleh Kertanegara. Menurut catatan karya Pararaton dan Nagarakretagama, dua orang puteri Melayu itu, Dara Petak dan Dara Jingga, dibawa ke Jawa untuk dikahwini Kertanegara. Namun begitu, disebabkan kemangkatannya akibat pemberontakan Raja Kediri, Jayakatwang, puteri Dara Petak kemudiannya dikahwini oleh Raden Wijaya, Ratu Majapahit, pengganti kepada Kertanegara. Perkahwinan ini menurunkan ganti kepada Ratu Majapahit, Jayanegara. Adityawarman dikatakan sebagai putera kepada Dara Jingga.
Sejarah Raja Adityawarman di Malayapura pada tahun 1347 sebagai lanjutan daripada kekuasaan kerajaan Melayu Dharmasraya inilah yang diperincikan akan kesahihannya dalam karya ini. Perbincangan yang amat meluas akan kerajaan dan ketokohan Adityawarman menetapkan sejarahnya betapa utuh kerajaannya yang kemudian dipindahkan ke Pagaruyung untuk berkuasa sepenuhnya daripada pengaruh Majapahit, dan kerajaan itu berkelangsungan hingga zaman moden.
Sejarah pergolakan Melayu (Minangkabau) dan Jawa (Majapahit) berterusan sehingga pada zaman penaklukan Majapahit, kemudiannya pada zaman pewaris-pewaris Adityawarman. Pada zaman pemerintahan Wikramawardhana misalnya, beberapa serangan dilakukan oleh kerajaan Majapahit pada tahun 1409 dan tahun 1411. Pertempuran Malayapura dengan Majapahit di Padang Sibusuk memenangkan kerajaan Malayapura. Namun begitu, pengaruh kerajaan Malayapura terhadap daerah perantauannya telah lemah, dan wilayah-wilayah seperti Siak, Kampar dan Indragiri telah mencari kebebasan, lalu kerajaan di Malayapura tidak lagi penting hingga muncul Kerajaan Pagaruyung.
Berpusat di Pagaruyung, Kerajaan Minangkabau menerima pelbagai hubungan luar, terutama para pendakwah agama Islam pada abad 17. meskipun para sejarawan mahu mengawal tarikh kedatangan Islam itu pada zaman khilafah ar-Rasyidin kerana wujudnya hubungan perdagangan laut antara Arab dengan China pada zaman itu, yang berkait dengan para pedagang Minangkabau. Kemudian, datang pula imperialisme Belanda pada akhir abad ke-17 yang mempergunakan segala kesempatan untuk menakluki semua wilayah di Hindia Timur di bawah Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC).
Karya ini pastilah sebuah hasil yang amat menarik untuk diteliti, bukan hanya sebagai karya besar berkaitan dengan Minangkabau, bahkan merupakan sebahagian daripada sejarah agung bangsa Indonesia umumnya yang berhadapan dengan turun-naik perjalanan sejarah yang amat mencabar. Daripada sebuah negara yang membina peradaban dan tamadun besar kepada sebahagian wilayah jajahan langsung negara Belanda, kisah ini ialah sejarah perjuangan yang panjang dan amat mengilhamkan.
Reviews
There are no reviews yet