Panduan Peniaga Kecil membicarakan beberapa selok belok perniagaan, antaranya ialah memilih perniagaan, modal, menyimpan kira-kira, bank dan pinjaman, iklan dan publisiti. Bagi edisi kedua, penulis menambah satu bab baru mengenai sistem perniagaan ala franchise. Sebelum penulis terlibat dalam dunia politik, penulis sendiri merupakan seorang tokoh yang berpengalaman dalam bidang perniagaan. Beliau memulakan kerjayanya sebagai peniaga kecil di Alor Setar, membuka klinik persendirian dan pernah menjadi jurujual. Pengalaman beliau dalam bidang perniagaan mendorong beliau menulis buku kecil ini untuk dijadikan pegangan dan panduan kepada para peniaga dan mereka yang hendak menceburkan diri dalam lapangan perniagaan. Panduan Peniaga Kecil perlu dibaca oleh setiap peniaga bumiputera yang ingin maju dan memantapkan perniagaan mereka.
Buku kecil ini ialah satu usaha untuk mengenali dan mengkaji satu per satu masalah-masalah yang kadang-kadang tidak begitu ternyata, yang disebabkan oleh sikap dan penilaian orang Melayu sebagai diri perseorangan atau satu kaum. Pandangan yang akan dikemukakan di sini bukanlah hasil suatu penyelidikan yang teratur. Pandangan ini adalah hasil pengalaman penulis sendiri semasa menjual buah-buahan dan kopi di pasar minggu, Pekan Rabu, Alor Star, langsung kepada menjual ubat, alat perkakas kereta, membina rumah-rumah untuk dijual, berlombong bijih dan lain-lain perniagaan yang dibuat oleh penulis sendiri.
Akan tetapi mengenali sebab-sebab kegagalan saja tidak mendatangkan faedah jika tidak dilakukan cara-cara mengatasinya. Oleh sebab itu perhatian yang berat diberikan bukan saja kepada sebab-sebab kegagalan, tetapi juga kepada kesan sesuatu sikap atau tindakan dalam perniagaan dan cara-cara mengatasinya. Cara-cara yang dikemukakan dalam buku kecil ini tidak terjamin seratus peratus baik dan berhasil, tetapi adalah berasaskan kenyataan dan kebenaran, dan pernah mendatangkan kejayaan.
Reviews
There are no reviews yet