Pelestarian Silat Melayu: Antara Warisan dengan Amalan merangkumkan perkara-perkara yang berkaitan dengan seni silat dalam konteks perundangan Malaysia, perkembangan seni silat, pandangan Islam terhadap seni silat, amalan, teori dan konsep sosiologi, pergerakan dalam silat dan sebagainya. Di Nusantara, seni silat merupakan satu amalan biasa yang telah diamalkan sejak berabad lamanya. Namun paling ketara, amalan ini mula menonjol selepas merdeka sebagai satu saranan baharu kerajaan Malaysia untuk mewujudkan satu persatuan atau organisasi silat yang bernaung di bawah satu bumbung. Saranan tersebut disambut baik dengan kewujudan pelbagai nama, aliran perguruan dan sebagainya. Perkembangan ini turut dizahirkan melalui wujudnya pelbagai pendapat dalam pelbagai perspektif ilmu termasuk sains sosial.
Warisan silat bukanlah merupakan perkara baharu yang perlu ditonjolkan dalam meniti arus kemodenan. Sifat kepahlawanan ini jelas terbentang melalui kisah-kisah klasik yang menonjolkan watak-watak seperti Hang Lima Bersaudara, si Badang yang mempunyai ilmu kepahlawanan yang luar biasa dan banyak lagi nama-nama besar, baik yang dimitoskan mahupun yang dilegendakan. Umumnya, kesemua pahlawan yang merentasi seluruh etnik dan budaya di dunia ini akan mempunyai sifat serta kelebihan yang menguasai sesebuah ilmu untuk berlawan dengan musuh. Ilmu-ilmu tersebut kebanyakannya berbentuk kekuatan dan penguasaan fizikal dan mental. Antaranya ialah ilmu pertempuran Tae Kwan Do yang dikaitkan dengan Korea, Silambam dengan India, Kungfu dengan China, Tomoi dengan Siam manakala ilmu persilatan yang dikaitkan dengan dunia kepahlawanan Melayu.
Dalam meniti zaman serta perubahan generasi tentunya bukan semua jenis dan unsur kepahlawanan ini akan mampu bertahan. Akan ada yang berguguran dan dilupakan jika usaha-usaha untuk melestarikannya tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan secara terancang. Selain itu, pengkajian mengenai ilmu persilatan dan pertahanan diri ini juga giat dilakukan. Kajian yang dikaitkan dengan kaedah saintifik ini juga mula menarik minat bukan sahaja mereka yang pakar dan yang berjinak-jinak dengan ilmu budaya tetapi juga mereka yang menguasai ilmu sains dan teknologi. Usaha ini amat baik dan perlu digiatkan lagi supaya lebih banyak rahsia dan kebaikan yang ada dalam dunia persilatan Melayu dapat dikupas dan didedahkan.
Secara keseluruhan, kandungan kesemua makalah di dalam Pelestarian Silat Melayu: Antara Warisan dengan Amalan adalah berkaitan dengan usaha-usaha melihat dan menilai ilmu persilatan Melayu daripada aspek amalan dan aplikasi sains dan teknologi. Melalui pembuktian secara ilmiah dengan kaedah amalan dan aplikasi sains dan teknologi ini diharapkan dapat membuktikan dan memperlihatkan kepada dunia bahawa ilmu kearifan tempatan masyarakat di Malaysia khususnya bangsa Melayu adalah setanding dengan ilmu bela diri masyarakat di dunia yang lain. Kebijaksanaan orang Melayu dalam memanfaatkan persekitaran, mengaplikasikan kemahiran serta menghubungkaitkan antara amalan dengan warisan ini menampakkan keupayaan luar biasa orang Melayu.
Nor Amira Asyiqin Amri (Verified Reader) –