Pengisian Kemerdekaan, 1957-1970

Tulisan bersama MOHD SAMSUDIN dan MOHD ASHRAF IBRAHIM

DBP (Cetakan Pertama, 2021)
413 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM40.00

Only 1 left in stock

Product ID: 29362 Subject: Sub-subjects: , , , ,

Pengisian Kemerdekaan, 1957-1970 menumpukan kajian dalam waktu negara baharu mencapai kemerdekaan yang melalui banyak dugaan dan cabaran dari dalam dan luar negara. Antara cabaran utama yang dihadapi negara termasuklah ancaman komunis, kekurangan pasukan pertahanan dan menjaga keselamatan negara daripada ancaman luar. Seterusnya, penulisan ini mengungkap cabaran dalam negara yang dihadapi terhadap masalah perpaduan kaum dan kematangan politik yang mengakibatkan rusuhan kaum pada tahun 1969. Bahagian akhir membentangkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi memulihkan keadaan melalui pelbagai cara termasuklah perundangan, dasar dan kerjasama politik.

Usaha-usaha yang diperkenalkan telah menjadi resipi penting membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, aman dan makmur. Bermula pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan yang menjadi tanda penting kepada kebebasan tanah air ini daripada kerajaan British. Tunku Abdul Rahman yang dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu selepas memenangi pilihan raya Persekutuan yang pertama pada tahun 1955 telah membentuk sebuah kerajaan yang berperanan penting membawa negara ini mencapai kemerdekaan. Apabila merdeka, Tunku secara automatik telah dilantik menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama. Beliau mengekalkan ahli-ahli kabinet yang ada dan membuat sedikit perubahan dengan melantik Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Buat kali pertama dalam sejarah, Persekutuan Tanah Melayu mempunyai seorang Menteri Luar sebagai tanda kebebasan negara menjalankan dasar luar negara. Jawatan ini dipegang oleh Tunku sendiri. Tanggungjawab besar dipikul oleh Tunku dan kerajaan Perikatan bagi menghadapi cabaran sebagai sebuah negara merdeka. Terdapat pelbagai isu utama yang perlu dan segera diambil tindakan. Antaranya termasuklah tanggungjawab keselamatan serta pertahanan; pembentukan dasar luar negara; dasar pendidikan bagi Persekutuan Tanah Melayu; pemantapan kedudukan ekonomi dan perdagangan serta soal kerjasama antara kaum. Tunku dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu perlu menyeimbangkan antara tuntutan kemerdekaan dari kaca mata pejuang kemerdekaan yang menuntut penamatan pengaruh penjajah di Persekutuan Tanah Melayu dengan dasar pentadbiran yang realistik bersesuaian dengan kedudukan negara yang baru mencapai kemerdekaan.

Dasar kolonialisme British memberikan kesan besar terhadap rupa bentuk Persekutuan Tanah Melayu yang masih kuat bergantung pada sistem ekonomi dan perdagangan British serta Komanwel. Persekutuan Tanah Melayu tidak boleh keluar dengan mudah daripada sistem yang telah dibentuk oleh kerajaan British puluhan tahun semenjak penjajahan. Sebagai contohnya, Persekutuan Tanah Melayu merupakan sebuah negara yang bergantung pada sumber ekonomi pengeluaran dua bahan mentah, iaitu getah dan bijih timah. Latar belakang pekerjaan dan taburan penduduk dipengaruhi oleh kegiatan pengeluaran kedua-dua bahan mentah ini. Orang Cina bekerja dalam sektor bijih timah, orang India dalam sektor perladangan, manakala orang Melayu dalam bidang pertanian.

Dalam tempoh pengisian kemerdekaan, berlaku detik hitam dalam sejarah negara apabila tercetusnya rusuhan kaum pada tahun 1969. Peristiwa ini berlaku berpunca daripada sikap tidak menghormati kaum lain serta kegagalan penduduk Malaysia menghayati konsep kerjasama dan menghormati antara kaum yang dilancarkan oleh kerajaan. Kegilaan untuk menguasai kuasa politik mempengaruhi pemimpin politik memainkan isu perkauman dalam kempen politik. Kempen politik yang berlaku juga berbau perkauman dan isu ini terlalu sensitif buat negara ini. Dalam keadaan negara bangsa yang sedang dibina masih rapuh, ketaasuban terhadap kepentingan kaum mendedahkan kepada pergaduhan antara kaum. Perkembangan ini ditambah pula dengan kejayaan komunis mempengaruhi kempen berbau perkauman sewaktu kempen-kempen pilihan raya umum 1969.

Apabila keadaan tidak terkawal, keadaan ini mendedahkan kepada “bom jangka” untuk meletup. Akhirnya pada 13 Mei 1969, berlakulah pergaduhan kaum yang juga turut mengorbankan nyawa penduduk. Kerajaan mengambil langkah segera menghapuskan pergaduhan antara orang Melayu dengan Cina. Tun Razak yang dilantik sebagai Pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) diberikan kuasa penuh telah menggantung perlembagaan. MAGERAN dijadikan agensi berkuasa penuh serta mentadbir negara. Sebagai penamatnya, Tunku telah meletak jawatan. Hasilnya muncullah beberapa langkah dan dasar yang dibentuk oleh kerajaan. Bagi memenuhi matlamat kesejahteraan negara, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan dengan tujuan utama untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Pada masa yang sama, sebuah jawatankuasa mengkaji perpaduan telah melahirkan prinsip Rukun Negara dengan matlamat memberikan kesedaran kepada semua kaum supaya bekerjasama dan menghormati antara satu sama lain.

Sebagai rumusannya, tempoh pengisian kemerdekaan dari tahun 1957-1970, merupakan tempoh yang amat penting dalam lipatan sejarah negara. Peringkat ini merupakan tempoh waktu penting kerajaan mempelajari dan mencari pengalaman yang boleh digunakan untuk membina sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai latar belakang sosiobudaya. Pengalaman pahit digunakan oleh kerajaan untuk membina semula sebuah negara bangsa dengan ciri-ciri yang dikongsi bersama seperti menghormati, bertolak ansur dan peka dengan kaum lain. Ciri ini penting sebagai resipi utama ke arah pembinaan sebuah negara maju dan makmur. Kemajuan dan kejayaan pembangunan negara Malaysia yang ada pada hari ini merupakan hasil daripada sejarah dan pengalaman yang dilalui dalam tempoh waktu pengisian kemerdekaan. Oleh itu, tidak salah dikatakan bahawa negara yang dibina pada hari ini juga meliputi sumbangan sejarah dan pengalaman tempoh waktu pengisian kemerdekaan (1957-1970).

Struktur Organisasi Penyelidikan dan Penulisan Sejarah Nasional Malaysia
Kata Pengantar
Prakata
Pengenalan
Penghargaan
Penghargaan Khas

BAB 1 Usaha ke Arah Pilihan Raya, Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Ideologue Kesemakmuran Sebuah Negara Berbilang Kaum

BAB 2 Cabaran Awal Persekutuan Tanah Melayu

BAB 3 Malaysia dalam Pertubuhan Komanwel

BAB 4 Perluasan Negara Bangsa dengan Pembentukan Malaysia

BAB 5 Pembentukan Sistem Pendidikan di Malaysia

BAB 6 Peristiwa 13 Mei 1969 dalam Konteks Perkembangan Negara Bangsa

BAB 7 Fasa Baharu dalam Pembinaan Negara Bangsa

BAB 8 Konflik dalam Negara Bangsa Malaysia

BAB 9 Kesimpulan

Biodata Penulis
Bibliografi
Indeks

Weight0.585 kg
Dimensions22.8 × 15.3 × 2.3 cm
Author(s)

,

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.