Penjaga bagi Segala yang Lalai dan Naṣīḥat bagi Segala Raja-Raja dikarang oleh Tuan Ḥāji Muḥammad Ṭayyib bin Masʽūd al-Banjāri atau Tuan Titi Gajah, seorang ‘ulama’ negeri Kedah, mufti, penasihat sultan dan guru yang mashhur pada abad ke-19 Masihi. Kitab ini mempersembahkan penulisan berbentuk nasihat yang bertujuan memberi pengajaran mengenai hal ehwal pentadbiran kerajaan dari sudut ketatanegaraan, melaksanakan ke‘adilan dan mencegah kezaliman menerusi kisah-kisah ringkas, tamthilan dan qiyasan tentang hukum-hakam. Di sebalik kemashhurannya, kebanyakan karya Tuan Titi Gajah masih tersimpan dalam bentuk manuskrip dan tidak tersebar dengan meluas dalam kalangan masharakat pada hari ini. Bahkan sebahagian daripadanya termasuk Īqāẓ al-Ghāfilīn yang dikaji dalam buku ini juga boleh dikategorikan sebagai nadir, amat sukar diperoleh dan hampir hilang ditelan zaman. Pentahqiqkan dan penerbitan yang diusahakan dalam buku ini adalah bersumberkan salinan satu-satunya manuskrip yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia yang boleh dianggap sebagai naskhah tunggal (codex unicus) untuk karya ini. Genrenya adalah dalam bidang ketatanegaraan yang bertujuan memberikan pengajaran mengenai hal. ehwal pentadbiran kerajaan dari aspek melaksanakan ke‘adilan, mencegah kezaliman dan sebagainya menerusi anekdot, tamthilan dan qiyasan berbanding aspek hukum-hakam dalam usaha membantu membentuk keperibadian para pemerintah dan pembesar kerajaan berlandaskan lunas Shara’.
Dalam hal ini juga, amatlah penting dinyatakan bahawa karya ini juga merupakan satu-satunya karya yang pernah dijumpai dalam genre ketatanegaraan Melayu yang dihasilkan oleh anak watan negeri Kedah sepanjang sejarahnya. Oleh itu, terzahir dengan jelas kepentingan karya ini yang sewajarnya diketengahkan sebaris dengan karya-karya ketatanegaraan lain yang mashhur di ‘Alam Melayu seperti Tāj al-Salātīn, Bustān al-Salātīn dan sebagainya. Selain itu, isu-isu yang dibincangkan dalam karya ini juga masih relevan untuk ditela’ah dan dijadikan panduan bagi kehidupan masharakat hari ini yang masing-masing berperanan sebagai pemimpin dan ketua dalam konteks dan kapasiti tersendiri yang pastinya memerlukan kesedaran dan penerapan konsep ke‘adilan dalam interaksi sesama manusia. Gaya bahasanya yang santai bersulamkan nas daripada al-Qur’an, Hadith, riwayat, pandangan “ulama” dan sebagainya yang dipersembahkan daripada perspektif tasawwuf dapat memberikan pengalaman yang unik dan berbeza mengenai kupasan tajuk ini berbanding karya lain seumpamanya yang terdapat dalam pasaran.
Reviews
There are no reviews yet