Perkahwinan dan Perceraian di Terengganu 1950-1970 meneliti isu dan permasalahan yang timbul dalam institusi perkahwinan dan perceraian dalam kalangan masyarakat Melayu Terengganu antara tahun 1950-an hingga 1970-an. Pelbagai isu berkaitan perkahwinan dan perceraian orang Melayu di negeri tersebut yang berpunca daripada pelbagai faktor yang mempengaruhinya didedahkan menerusi perbincangan dalam buku ini.
Isu yang dianalisis termasuk latar belakang sosio-ekonomi masyarakat Melayu di Terengganu dan juga aspek penting dalam institusi perkahwinan dan perceraian itu sendiri, misalnya kadar perkahwinan dan perceraian, corak perkahwinan serta bentuk dan punca perceraian yang berlaku dalam masyarakat Melayu Terengganu sepanjang tempoh tersebut. Aspek yang turut diberikan perhatian ialah kesan akibat perceraian serta usaha yang telah dijalankan dalam menangani permasalahan ini.
Sehubungan dengan hal itu, Perkahwinan dan Perceraian di Terengganu 1950-1970 membariskan lima objektif, iaitu meneliti latar belakang sosioekonomi masyarakat Melayu di Terengganu, menganalisis isu perkahwinan dalam kalangan masyarakat tersebut, merungkaikan isu dan bentuk perceraian serta puncanya, meneliti kesan yang timbul akibat perceraian, dan menganalisis keberkesanan langkah yang diambil oleh pelbagai pihak, khususnya Pejabat Agama Islam Negeri Terengganu dalam menangani permasalahan tersebut.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa perkahwinan dan perceraian orang Melayu di Terengganu dipengaruhi dua faktor utama, iaitu ekonomi dan sosial. Kedua-dua faktor ini saling berkait dan mempengaruhi antara satu sama lain sehingga mencorakkan pola perkahwinan dan perceraian yang tersendiri di negeri Terengganu.
Penyelidikan tentang perkahwinan dan perceraian di Terengganu bermula hasil perbincangan dan cadangan pemikiran yang berteraskan siri kajian sejarah sosial dan ekonomi di negeri pantai timur Semenanjung Tanah Melayu. Susulan daripada itu, maka negeri Terengganu telah dipilih disebabkan tidak banyak penyelidikan sejarah sosial dan masyarakat yang dilakukan terhadap orang Melayu di Terengganu sebelum dan selepas merdeka. Oleh sebab penyelidikan tentang sejarah sosial dan ekonomi tentang negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu jarang-jarang dilakukan oleh para sarjana maka penulisan ini akan dapat memberikan kefahaman sejarah masyarakat yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu di negeri tersebut.
Masalah keruntuhan rumah tangga dan permasalahan yang berkait dengan masalah perkahwinan dan perceraian adalah sesuatu yang wajar dilihat dengan serius agar dapat ditangani dengan sebaiknya. Kedinamikan sesebuah masyarakat bermula dari rumah. Jika runtuhnya institusi perkahwinan maka runtuhlah sebuah masyarakat. Oleh hal yang demikian, masalah keruntuhan sebuah rumah tangga adalah sesuatu yang akan menjejaskan keharmonian sesebuah masyarakat. Maka usaha penerbitan buku ini boleh dijadikan rujukan bagi memberikan iktibar dan kefahaman yang jelas l bagaimana untuk menangani permasalahan keruntuhan sebuah institusi rumah tangga.
Reviews
There are no reviews yet