Politik, Etnisiti dan Peradaban: Malaysia Pasca 2020 memaparkan analisis secara akademik dan kritikal mengenai aspek politik, etnisiti dan peradaban yang sememangnya menerima kesan daripada berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2018 serta penularan wabak COVID-19. Persoalan politik, etnisiti dan peradaban dalam konteks Malaysia pasca 2020 terus menjadi pokok perbahasan yang masih belum menemui titik noktahnya. Pelbagai isu berbangkit dihadapi oleh negara dalam menelusuri cabaran pasca 2020 ini khususnya dalam kerangka politik, etnisiti dan peradaban yang seringkali dibahaskan dari sudut pandang ilmu yang berbeza-beza. Apa yang ketara, Malaysia sudah jauh melalui era perubahan, anjakan dan transformasi dari sebuah negara klasik yang berteraskan konservatif dan feudal-monarki, telah melalui era kolonialisme Barat dalam suatu tempoh yang agak panjang, dan era pasca kolonialisme yang cukup berliku serta mencabar.
Malaysia telah mengorak langkah ke hadapan menjadi sebuah negara membangun bertunjangkan industri moden, menuju ke suatu era baharu yang jauh lebih kompleks, serba canggih dan sofistikated seiring dengan era pasca moden dan perkembangan dunia tanpa sempadan. Hari ini Malaysia melalui suatu episod baharu pasca 2020 yang terus menuntut perubahan, anjakan dan transformasi dalam kehidupan masyarakat merentasi ruang sivil dan spektrum maya terutamanya melalui Revolusi Industri 4.0 berpaksikan teknologi yang lebih canggih dan perkembangan Masyarakat 5.0 yang cuba menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan realiti sosial dalam kehidupan masyarakat.
Ironinya, kita semua sedia maklum bahawa 2020 adalah tahun keramat bagi rakyat Malaysia. Sejak 1991 lagi, tahun 2020 menjadi impian bagi mereka untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri. Impian ini terangkum dalam Wawasan 2020 yang telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad. Berdasarkan kertas kerja, iaitu The Way Forward yang menjadi asas kepada idea Wawasan 2020, Malaysia tidak harus dibangunkan dalam bidang ekonomi sahaja. Ia mesti menjadi negara yang maju sepenuhnya dalam semua bidang: ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi, perpaduan nasional dan sosial, dalam erti kata ekonomi kita, dalam erti kata keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, kualiti hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa dan keyakinan.
Meskipun mentari pagi 1 Januari 2020 telah pun muncul, kita masih jauh daripada hasrat dan matlamat yang ditentukan dalam Wawasan 2020. Lebih-lebih lagi, dengan krisis kesihatan terburuk berlaku melalui penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia dan Malaysia khususnya, proses perkembangan politik, etnisiti dan peradaban di negara kita turut terganggu. Dalam aspek politik misalnya, kita mengalami krisis yang kritikal sehingga menyebabkan perubahan kerajaan pada Mac 2020. Kerajaan baharu yang memerintah pula mempunyai majoriti tipis dan ia mendorong ahli-ahli politik sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa atas nama demokrasi serta kepentingan rakyat. Impak turut berlaku dalam konteks etnisiti dan peradaban apabila cabaran perkauman dan politik identiti atau jati diri semakin mendapat perhatian setelah politik terbuka dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Masa depan peradaban negara amat bergantung kepada budaya tinggi dalam kalangan masyarakat. Penerapan nilai murni dan integriti yang kukuh oleh setiap lapisan masyarakat khususnya pemimpin akan meletakkan Malaysia menjadi sebuah negara yang disegani dan dihormati.
Reviews
There are no reviews yet