Rumah Teres dan Keserasian Budaya Masyarakat Malaysia mengkaji peranan budaya dalam perumahan dengan membuat adaptasi budaya tentang hubungan antara budaya dengan reka bentuk kediaman penghuni. Buku ini juga bertujuan untuk melihat apakah persamaan dan perbezaan penggunaan ruang oleh kaum yang berlainan. Selain itu, hasrat penulisan buku ini dilakukan untuk memahami konflik budaya yang dihadapi penghuni rumah teres moden Seterusnya, matlamat akhir adalah bagi mengemukakan hasil adaptasi budaya tipologi bagi melihat tipologi yang manakah paling berjaya memenuhi aspek budaya pengguna yang telah digariskan dan tipologi yang manakah gagal dan patut disingkirkan dalam pembangunan seterusnya. Penulisan ini berhasrat untuk mengetengahkan budaya sebagai salah satu pendekatan yang amat penting untuk menghasilkan sebuah persekitaran kediaman yang bertepatan dengan keperluan penghuni yang berbilang kaum. Hal ini disebabkan manusia diciptakan oleh Tuhan bukan sahaja berbeza dari segi bentuk fizikalnya, tetapi juga dari segi perlakuannya. Namun, terdapat juga persamaan antara mereka, seperti cara makan, adat perkahwinan dan corak berinteraksi. Persamaan inilah yang menjadikan sekelompok individu itu sebagai sebuah masyarakat. Perbezaan cara hidup antara masyarakat pula dikatakan sebagai kebudayaan bagi masyarakat tersebut. Seseorang arkitek atau pereka bentuk perlu peka terhadap perbezaan ini dan menjadi tugas utama mereka untuk memahami corak kehidupan masyarakat yang bakal menghuni bangunan atau ruang yang akan disediakannya.
Buku ini dihala tuju ke arah adaptasi budaya tipologi rumah teres dari sudut budaya bagi menilai permasalahan budaya yang terdapat pada rumah teres sebagai satu cara atau kaedah yang berpotensi ke arah menghasilkan model reka bentuk rumah teres moden yang bersesuaian dan kondusif untuk masyarakat Malaysia. Walau bagaimanapun, adaptasi budaya tipologi rumah teres daripada sudut budaya ini terpaksa dihadkan kepada tiga kaum majoriti sahaja, iaitu kaum Melayu, Cina dan India kerana faktor masa dan kewangan. Sampel rumah teres moden yang dipilih untuk penulisan buku ini adalah secara rambang mengikut kaum. Umumnya, adaptasi budaya tipologi rumah teres dari sudut budaya ini adalah merujuk kepada tipologi rumah teres moden di Malaysia yang dikatakan berasal daripada rumah teres kaum Cina di bandar dan juga berek kakitangan rendah era British yang telah diolah untuk mengisi keperluan penghunian bagi masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana. Oleh itu, kesesuaian reka bentuknya pada hari ini mungkin masih dibelenggu oleh ideologi lama yang sudah tidak lagi sesuai dengan budaya masyarakat moden Malaysia yang berbilang kaum kini. Maka hal ini akan dikupas menerusi adaptasi budaya tipologi rumah teres dari sudut budaya yang akan dilakukan pada bahagian akhir buku ini bagi melihat di manakah kepincangan reka bentuk terhadap budaya penghuni.
Reviews
There are no reviews yet